>

HAK MILIK BERSAMA HARTANAH - KAEDAH MENAMATKANNYA SECARA SAH.

hartanah hak milik bersama

Hak Milik Bersama: Bagaimana Menamatkannya Secara Sah?

Penamatan hak milik bersama bagi sesebuah hartanah adalah satu proses undang-undang yang penting dan sering kali menjadi persoalan di kalangan pemilik bersama yang ingin menamatkan perkongsian mereka atas sebarang sebab.

Isu ini lazimnya timbul apabila sesuatu hartanah itu mempunyai lebih daripada seorang pemilik yang berdaftar dan salah seorang pemilik tersebut ingin menamatkan hak milik bersama tersebut sama ada melalui pembahagian, pemindahan hak milik, atau penjualan hartanah berkenaan.

Artikel ini akan membincangkan prosedur penamatan hak milik bersama mengikut peruntukan - peruntukan berkenaan serta beberapa keputusan mahkamah yang relevan.

1. Di dalam Kanun Tanah Negara 1945 terdapat satu peruntukan yang menyatakan bahawa Mahkamah mempunyai kuasa untuk mempermudah penamatan hak milik bersama bagi sesebuah hartanah.

2. Keadaan ini lazimnya berlaku apabila terdapat situasi di mana salah seorang pemilik bersama sesuatu hartanah tersebut enggan untuk membuat atau bersetuju dengan permohonan pembahagian terhadap hartanah yang dimilik bersama itu. 

3.  Dalam situasi sebegini, undang-undang membenarkan mana-mana pemilik bersama untuk memohon kepada Mahkamah bagi mendapatkan perintah bagi menamatkan hak milik bersama tersebut. 

4. Mahkamah kemudiannya boleh mengeluarkan apa-apa perintah yang difikirkan adil dan wajar, termasuklah memerintahkan hartanah tersebut dibahagikan, dipindah milik, atau dijual.

5. Sebagai contoh, dalam satu kes di Mahkamah Rayuan, Mahkamah telah menegas dan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang sememangnya memberikan kuasa budi bicara kepada Mahkamah untuk memerintahkan pembahagian atau apa-apa perintah yang difikirkan adil bagi membolehkan hak milik bersama ditamatkan ke atas satu hartanah tersebut selama mana syarat-syarat yang ditetapkan oleh undang-undang dipenuhi. 

6. Ini termasuk memerintahkan hartanah tersebut dijual sekiranya pembahagian tidak dapat dilaksanakan. 

7. Mahkamah di dalam kes tersebut menekankan bahawa tujuan utama peruntukan ini adalah untuk mengelakkan situasi di mana seorang pemilik bersama terperangkap dalam perkongsian yang tidak produktif atau yang tidak mempunyai penyelesaian secara damai.

8. Sebagai contoh yang mudah, bayangkan situasi di mana Ali dan Abu memiliki sebuah tanah secara bersama. Ali ingin menjual tanah tersebut tetapi Abu enggan memberikan persetujuan. 

9. Dalam keadaan ini, Ali boleh memohon kepada Mahkamah untuk menamatkan hak milik bersama berdasarkan peruntukan tertentu di dalam Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964. 

10. Mahkamah, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, boleh memerintahkan agar tanah tersebut dijual dan hasil jualan dibahagikan secara saksama antara Ali dan Abu. 

11. Tindakan ini adalah bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang terperangkap dalam perkongsian yang tidak produktif atau menyebabkan ketidakadilan.

12. Kuasa Mahkamah dalam isu ini bukan sahaja terhad kepada perintah jualan hartanah, malah boleh juga termasuk perintah pemindahan hak milik kepada pemilik bersama yang lain dengan bayaran pampasan yang adil. 

13. Perkara ini selaras dengan peruntukan yang terkandung di dalam Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memberikan kuasa tambahan kepada Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan penjualan hartanah jika difikirkan perlu atau wajar. 

14. Pendekatan ini bukan sahaja memberikan keadilan kepada pemilik bersama tetapi juga memastikan penyelesaian yang praktikal bagi mengelakkan pertikaian berpanjangan.

15. Kesimpulannya, Kanun Tanah Negara 1965 memberikan kuasa yang mencukupi kepada Mahkamah untuk mempermudah proses ini sama ada melalui pembahagian, pemindahan hak milik atau penjualan hartanah. 

16. Oleh itu, bagi pemilik bersama yang menghadapi kesukaran dalam menamatkan hak milik bersama, mendapatkan nasihat daripada peguam yang berpengalaman adalah langkah yang bijak bagi memastikan hak-hak mereka terpelihara.

_______________________

tipu tanah, tipu pejabat tanah

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.