Anda telah menjadi mangsa penipuan hartanah dan telah kehilangan tanah anda kerana penipu (fraudster) telah menjual tanah milik anda kepada pihak yang seterusnya. Adakah tiada sebarang pampasan yang anda boleh tuntut? Bagaimana anda boleh mendapatkan pampasan daripada penipu? Adakah anda boleh memfailkan tindakan terhadap pejabat tanah yang mendaftarkan hak milik tersebut?
1. Seperti mana yang dikongsi pada rencana-rencana yang lepas, apabila sesuatu tanah telah ditukar milik secara salah melalui penipuan atau frod, pemilik asal masih mempunyai peluang untuk mendapatkan semula hartanah tersebut, sekiranya tanah itu masih berada dalam milikan penipu.
2. Mudahnya, sekiranya tindakan saman di ambil dengan segera kepada pihak yang terbabit dan nama pada geran tersebut masih lagi didaftarkan atas nama penipu yang merupakan pembeli terdekat yang pertama (immediate purchaser), maka dengan bukti yang mencukupi, pemilik asal tanah masih berpeluang untuk mendapatkan tanah tersebut semula.
3. Namun, keadaan menjadi lebih rumit apabila tanah tersebut telah dijual kepada pihak ketiga.
4. Lebih-lebih lagi apabila pihak ketiga yang membeli daripada penipu tadi dapat membuktikan di Mahkamah bahawa beliau adalah pembeli yang jujur, telah membayar harga pasaran hartanah tersebut, dan tidak menyedari bahawa terdapat penyelewengan dalam pemilikan asal (bona fide purchaser for value without notice).
5. Dalam situasi tersebut, hak pemilik tanah yang asal untuk mendapatkan kembali tanahnya boleh hilang berdasarkan prinsip hak milik tidak boleh disangkal yang tertangguh atau deferred indefeasibility.
6. Namun begitu, pemilik tanah yang asal sebenarnya mempunyai peluang untuk mendapatkan pampasan dan ganti rugi melalui tindakan undang-undang terhadap penipu (fraudster).
7. Tindakan saman terhadap penipu adalah asas utama dalam situasi ini.
8. Penipu yang telah secara salah memperoleh dan memindahmilikkan tanah tersebut kepada namanya sendiri, boleh di saman atas dasar penipuan dan beberapa jenis tort lain yang diiktiraf di Mahkamah.
9. Pemilik tanah yang asal boleh memfailkan tuntutan ganti rugi untuk menuntut pampasan akibat kehilangan tanah tersebut dan menuntut pampasan terhadap perbuatan penipuan tersebut.
10. Ganti rugi ini boleh sahaja meliputi nilai semasa tanah, kos perundangan, dan kerugian lain yang timbul akibat perbuatan frod tersebut.
11. Tindakan saman sivil ini boleh dilakukan seiringan dengan laporan kepada pihak polis di raja malaysia. Ini kerana perbuatan penipuan tersebut juga adalah kesalahan jenayah yang boleh menyebabkan penipu tersebut di dakwa di Mahkamah.
12. Sehubungan dengan itu, adakah pemilik tanah yang asal boleh memfailkan saman terhadap pejabat tanah yang mendaftarkan hak milik penipu tersebut? Jawapannya boleh.
13. Pemilik tanah yang asal boleh memfailkan tindakan terhadap pejabat tanah atas dasar kecuaian. Lazimnya tindakan ini di ambil di atas dasar bahawa pejabat tanah mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk memastikan proses pendaftaran hak milik dilakukan dengan teliti dan mengikut prosedur yang sah.
14. Sekiranya kecuaian berlaku kerana kelemahan atau kegagalan pihak pejabat tanah dalam mematuhi peraturan, peruntukan dan prosedur tertentu, pemilik tanah yang asal boleh menyaman dan memfailkan tuntutan terhadap pejabat tanah kerana di atas kecuaian tersebut.
15. Tuntutan ini bertujuan untuk mendapatkan pampasan yang setimpal dengan kerugian yang ditanggung oleh pemilik asal akibat daripada kegagalan pihak pejabat tanah menjalankan tanggungjawab mereka dengan cekap.
16. Namun sebagaimana mana-mana kes yang difailkan di Mahkamah, ianya memerlukan bukti tuntutan yang kukuh. Malah Mahkamah sendiri tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan mana-mana tuntutan tanpa bukti yang cukup dan lengkap berdasarkan nas undang-undang yang sedia ada.
17. Dalam kedua-dua tindakan (samada terhadap fraudster atau terhadap pejabat tanah), masa memainkan peranan yang sangat penting.
18. Oleh itu, adalah penting bagi pemilik tanah yang asal untuk mendapatkan khidmat nasihat guaman dengan segera dan memfailkan tindakan undang-undang sebelum hak mereka menjadi semakin sukar dituntut di mahkamah. Perjuangan untuk mendapatkan semula hak milik tanah yang terjejas akibat penipuan adalah proses yang mencabar, namun melalui saluran undang-undang yang betul, keadilan masih boleh cuba untuk ditegakkan.
Apa yang perlu anda lakukan apabila atau sekiranya anda mendapati hartanah anda atau ibu bapa anda telah didaftarkan ke atas nama orang lain tanpa anda sedar atau tanpa kebenaran anda? Rujuk rencana ini:
https://www.norhafeezlaw.com/2022/09/kes-tipu-tanah.html
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.