SISTEM RAYUAN KES DI MALAYSIA - MEMAHAMI PROSES DAN PERINGKAT MAHKAMAH
Sistem kehakiman di Malaysia menyediakan proses rayuan sebagai salah satu mekanisme penting untuk memastikan keadilan ditegakkan. Proses rayuan membolehkan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah peringkat pertama (first instance court) membawa kes mereka untuk dipertimbangkan semula oleh mahkamah yang lebih tinggi. Sistem ini bukan sahaja memberikan ruang untuk membetulkan sebarang kekhilafan dalam keputusan asal tetapi juga memastikan semua isu perundangan diadili dengan teliti mengikut prinsip undang-undang.
1. Sistem rayuan di Malaysia mengamalkan konsep two-tier appeal system, di mana sesuatu kes boleh dirayu sebanyak dua peringkat sahaja.
2. Ini bermakna selepas sesuatu keputusan dibuat di mahkamah peringkat pertama, pihak yang tidak berpuas hati mempunyai dua peluang untuk merayu ke mahkamah yang lebih tinggi.
3. Untuk memudahkan pemahaman, sistem rayuan dua peringkat ini bermula daripada mahkamah yang mendengar kes pada peringkat pertama atau yang turut dikenali sebagai first instance court.
RAYUAN KES MAHKAMAH RENDAH
4. Seseorang yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah rendah seperti Mahkamah Majistret atau Mahkamah Sesyen (samada Plaintif yang kalah kes ataupun Defendan yang kalah kes) boleh memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi.
5. Mahkamah Tinggi berfungsi sebagai mahkamah yang lebih tinggi dan mempunyai kuasa untuk menilai semula keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah rendah.
6. Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk menolak rayuan pihak yang merayu (Defendan atau Plaintif yang dikenali sebagai Perayu di peringkat rayuan) dan mengekalkan keputusan yang dibuat di Mahkamah Rendah ataupun menerima rayuan dan membuat keputusan sewajarnya.
7. Ini adalah rayuan peringkat pertama (first tier) dalam sistem rayuan dua peringkat bagi kes - kes yang dimulakan di Mahkamah rendah.
8. Jika pihak yang merayu tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, mereka boleh mengemukakan rayuan kedua (second tier) kepada Mahkamah Rayuan, yang merupakan peringkat kedua dan terakhir untuk rayuan kes Mahkamah Rendah.
8. Mahkamah Rayuan merupakan mahkamah yang lebih tinggi daripada Mahkamah Tinggi dan akan memutuskan sama ada keputusan Mahkamah Tinggi itu boleh diterima atau sebaliknya.
9. Ini bermaksud, Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa untuk mengekal keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi atau membalikkan (reverse) keputusan tersebut.
RAYUAN KES MAHKAMAH TINGGI
10. Sekiranya perbicaraan pertama berlaku di Mahkamah Tinggi, sistem rayuan masih mengekalkan prinsip dua peringkat. Rayuan pertama akan difailkan ke Mahkamah Rayuan, yang bertindak sebagai mahkamah kedua dalam sistem ini.
11. Namun, jika terdapat keperluan yang kukuh dan memenuhi syarat-syarat tertentu, rayuan seterusnya boleh dimohon ke Mahkamah Persekutuan, yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia.
12. Untuk membolehkan rayuan dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan, permohonan perlu dibuat dan mendapat kebenaran daripada mahkamah tersebut terlebih dahulu.
PERSEDIAAN DAN KOS RAYUAN
13. Keputusan-keputusan yang dibuat di peringkat rayuan kedua adalah muktamad dalam banyak kes, dan ini memberikan kepastian kepada semua pihak yang terlibat dalam sistem perundangan.
14. Oleh yang demikian, proses rayuan ini mempunyai syarat dan prosedur yang ketat. Setiap rayuan mesti difailkan dalam tempoh masa yang ditetapkan selepas keputusan mahkamah terdahulu.
15. Sebarang kelewatan dalam memfailkan rayuan boleh menyebabkan hak untuk merayu hilang.
16. Selain itu, pihak yang merayu perlu mengemukakan alasan kukuh mengapa keputusan mahkamah sebelumnya perlu diketepikan atau diubah. Ini termasuk menunjukkan sebarang kekhilafan penilaian fakta atau pemakaian undang-undang yang mungkin berlaku semasa perbicaraan asal.
17. Kos dalam proses rayuan juga berbeza mengikut peringkat mahkamah. Kos guaman dan perbelanjaan akan meningkat apabila kes dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi, kerana proses rayuan memerlukan persediaan yang lebih mendalam, masa yang lebih panjang, serta penglibatan peguam yang berpengalaman dalam bidang rayuan.
18. Oleh itu, pihak yang ingin merayu perlu mempertimbangkan kos dan manfaat sebelum mengambil langkah untuk memfailkan rayuan.
19. Secara keseluruhannya, sistem rayuan di Malaysia berfungsi sebagai satu mekanisme semakan yang penting dalam sistem keadilan. Ia memastikan setiap keputusan mahkamah dibuat dengan adil dan mengikut prinsip undang-undang yang betul.
20. Dengan adanya proses rayuan, individu dan syarikat yang terlibat dalam pertikaian sivil mempunyai jaminan bahawa hak dan kepentingan mereka dilindungi sepenuhnya oleh sistem kehakiman yang adil dan saksama.
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.