>

BIDANG KUASA SIVIL MAHKAMAH MAJISTRET, MAHKAMAH SESYEN DAN MAHKAMAH TINGGI DI MALAYSIA

majistret, sesyen dan mahkamah tinggi

BIDANG KUASA SIVIL MAHKAMAH MAJISTRET, MAHKAMAH SESYEN DAN MAHKAMAH TINGGI DI MALAYSIA

Apakah struktur dan peringkat Mahkamah di Malaysia dan apakah yang membezakan setiap satu dengan yang lain? Apakah bidang kuasa Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi dan bagaimana setiap Mahkamah ini menjalankan fungsi - fungsinya di dalam mengangkat dan memastikan kedaulatan undang - undang di dalam negara terjamin?

1. Sistem kehakiman di Malaysia mempunyai struktur yang jelas dan tersusun, di mana Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi, secara asasnya, memainkan peranan dan berfungsi sebagai mahkamah peringkat pertama atau "first instance courts" di dalam sistem kehakiman di Malaysia. 

2. Mahkamah peringkat pertama atau first instance court merujuk kepada mahkamah di mana sesuatu kes sivil atau jenayah mula-mula dibicarakan dan diputuskan. 

3. Mahkamah peringkat pertama bertanggungjawab mendengar keterangan, menilai bukti dan membuat keputusan berdasarkan fakta, bukti serta undang-undang yang terpakai. Sekiranya pihak yang terlibat tidak berpuas hati dengan keputusan di mahkamah ini, maka mereka boleh memfailkan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi.

MAHKAMAH MAJISTRET

4. Mahkamah Majistret adalah peringkat paling rendah dalam hierarki mahkamah di Malaysia. Dalam bidang kuasa sivil, Mahkamah Majistret hanya mendengar tuntutan yang melibatkan jumlah wang tidak melebihi RM100,000.00. 

5. Ini menjadikan mahkamah ini sesuai untuk kes-kes tuntutan kecil seperti hutang yang tidak dibayar, perjanjian yang dilanggar, atau kerosakan kecil akibat kecuaian, selama mana nilai tuntutan tersebut adalah tidak melebihi RM100,000.00. 

6. Mahkamah Majistret menyediakan platform penyelesaian yang lebih pantas dan kos efektif bagi pihak-pihak yang terlibat dalam tuntutan bernilai rendah. Oleh kerana tuntutannya lebih kecil, maka lazimnya kos guaman bagi kes di Mahkamah Majistret adalah lebih rendah berbanding peringkat mahkamah yang lebih tinggi.

MAHKAMAH SESYEN

7. Mahkamah Sesyen pula mempunyai bidang kuasa yang lebih besar berbanding Mahkamah Majistret. Dalam bidang kuasa sivil, Mahkamah Sesyen boleh mendengar tuntutan yang melibatkan jumlah wang sehingga RM1 juta. 

8. Ini membolehkan kes yang lebih kompleks seperti tuntutan kontrak berskala besar, ganti rugi akibat kecuaian profesional, atau tuntutan komersial dibicarakan di peringkat ini. Walau bagaimanapun, Mahkamah Sesyen tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes-kes yang melibatkan hak milik tanah atau harta pusaka. 

9. Kadar tuntutan yang lebih tinggi yang melibatkan jenis - jenis tuntutan yang lebih kompleks lazimnya menyebabkan kos guaman bagi kes sivil di Mahkamah Sesyen adalah lebih tinggi berbanding kos guaman bagi kes - kes di Mahkamah Majistret.

MAHKAMAH TINGGI

10. Mahkamah Tinggi pula adalah peringkat tertinggi di kalangan mahkamah perbicaraan awal. 

11. Dalam bidang kuasa sivil, Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mendengar kes-kes yang melibatkan tuntutan melebihi RM1 juta. Selain itu, Mahkamah Tinggi juga mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk mendengar kes berkaitan hak milik tanah, admiralti, perceraian, pertikaian harta pusaka, dan perintah injunksi. 

12. Kes-kes di Mahkamah Tinggi selalunya melibatkan isu undang-undang yang rumit, jumlah tuntutan yang besar, serta kepentingan awam atau perlembagaan. Dengan prosedur yang lebih kompleks dan amaun tuntutan yang jauh lebih besar, kos guaman di Mahkamah Tinggi adalah lebih tinggi berbanding Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen.

13. Sebelum Kaedah - Kaedah Mahkamah 2012 diperkenalkan, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen (yang turut dikenali sebagai Mahkamah - Mahkamah rendan atau subordinate courts) ditadbir oleh Akta Mahkamah Rendah 1948 atau Subordinate Court Act 1948 manakala Mahkamah Tinggi ditadbir oleh Kaedah - Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 atau Rules of the High Court 1980.

14. Sebagai mahkamah peringkat pertama bagi tindakan sivil, Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi memastikan setiap tuntutan dinilai dan diadili mengikut tahap nilai tuntutan dan kerumitan isu yang dibawa ke mahkamah. 

RAYUAN

15. Pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat di peringkat ini mempunyai hak untuk memfailkan rayuan. Keputusan daripada Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen boleh dirayu ke Mahkamah Tinggi, manakala keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan. 

16. Dengan memahami peranan serta bidang kuasa setiap mahkamah sivil ini, individu dan syarikat dapat membuat keputusan yang lebih bijak dalam memfailkan tindakan atau tuntutan mereka melalui sistem kehakiman di Malaysia.

_______________________

tipu tanah, tipu pejabat tanah

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.