Di dalam rencana sebelum ini, kita mempelajari bahawa asas penting dalam pembentukan sesuatu kontrak adalah memastikan setiap pihak yang terlibat bukan sahaja mempunyai kemampuan berkontrak disisi undang-undang, tetapi juga pihak-pihak terbabit mestilah berada dalam keadaan fikiran yang waras. Di samping itu, persetujuan yang diberikan untuk membentuk kontrak mesti benar-benar bebas, tanpa sebarang unsur paksaan, penipuan, atau kesilapan yang boleh mempengaruhi keabsahan kontrak.
Seksyen 12 hingga 19 Akta Kontrak 1950 memberikan panduan yang jelas tentang syarat-syarat yang menentukan keadaan fikiran yang waras, persetujuan bersama, dan persetujuan bebas dalam konteks kontrak.
Apa yang Dimaksudkan Keadaan Fikiran yang Waras?
1. Menurut Seksyen 12 Akta Kontrak 1950, seseorang dianggap mempunyai fikiran yang waras untuk membuat dan memasuki kontrak sekiranya jika dia mampu memahami maksud kontrak dan membuat penilaian rasional tentang kesan dan impak kontrak tersebut terhadap kepentingannya.
2. Dalam erti kata lain, individu tersebut harus dapat memahami terma kontrak dan membuat keputusan berdasarkan kepentingan dirinya tanpa dipengaruhi oleh sebarang gangguan fikiran.
3. Jika seseorang biasanya berada dalam keadaan fikiran yang tidak waras tetapi mempunyai masa-masa tertentu di mana dia waras, maka dia boleh memasuki kontrak hanya apabila dia berada dalam keadaan fikiran yang waras.
4. Sebaliknya, seseorang yang biasanya waras tetapi mempunyai halangan untuk berfikir secara waras sesekali, contohnya seperti berada di bawah pengaruh alkohol atau ubat-ubatan yang menyebabkan khayalan, dia tidak boleh membuat kontrak ketika berada dalam keadaan tersebut.
5. Sebagai contoh, seorang pesakit di hospital mental yang kadang-kadang waras boleh membuat kontrak ketika dia berada dalam keadaan waras. Namun, jika seseorang berada dalam keadaan mabuk yang menghalangnya untuk memahami kontrak, maka kontrak yang dibuat dalam keadaan tersebut tidak sah. Keadaan ini pastinya memerlukan bukti sekiranya ia dipertikaikan di Mahkamah.
Persetujuan Bersama
6. Dalam proses membuat kontrak, Seksyen 13 Akta Kontrak 1950 menegaskan bahawa persetujuan hanya boleh wujud jika kedua-dua pihak bersetuju tentang perkara yang sama dalam maksud yang sama.
7. Ini bermakna, apabila A menawarkan untuk menjual rumahnya kepada B, B perlu memahami tawaran tersebut dalam konteks yang sama seperti yang dimaksudkan oleh A. Sekiranya B menyangka bahawa A menawarkan untuk menjual kenderaan, maka tidak wujud persetujuan yang sah antara A dan B kerana mereka tidak mempunyai pemahaman yang sama terhadap objek kontrak.
Persetujuan Tersebut Hendaklah Persetujuan yang Bebas
8. Apa yang dimaksudkan dengan persetujuan bebas? Seksyen 14 Akta Kontrak 1950 memperincikan bahawa sesuatu persetujuan itu dianggap bebas jika ia tidak dipengaruhi oleh paksaan (coercion), pengaruh tidak wajar (undue influence), penipuan (fraud), salah nyataan (misrepresentation), atau kesilapan (mistake).
9. Paksaan atau coercion merujuk kepada situasi di mana seseorang terpaksa bersetuju dengan kontrak di bawah ancaman atau kekerasan, seperti yang dijelaskan dalam Seksyen 15. Pengaruh tidak wajar atau undue influence pula merujuk kepada situasi di mana pihak yang mempunyai kuasa atau kedudukan dominan menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi pihak yang lemah, seperti dijelaskan dalam Seksyen 16.
10. Penipuan (fraud) dan salah nyataan (misrepresentation), sebagaimana yang dihuraikan dalam Seksyen 17 dan 18, melibatkan situasi di mana maklumat yang disampaikan kepada pihak lain tidak benar dan digunakan untuk menggalakkan persetujuan terhadap kontrak.
11. Kesilapan atau mistake dalam Seksyen 21, 22, dan 23 pula merangkumi keadaan di mana kedua-dua pihak atau salah satu pihak tersalah memahami fakta atau terma kontrak. Jika seseorang bersetuju untuk membuat kontrak hanya kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur ini, maka persetujuan tersebut tidak boleh dianggap sebagai persetujuan bebas.
Kesan Terhadap Kontrak Jika Tiada Persetujuan Bebas
12. Baik. Apakah kesan sekiranya sesuatu kontrak tersebut dimasuki tanpa melalui persetujuan bebas? Seksyen 19 menegaskan bahawa jika persetujuan untuk sesuatu perjanjian diperoleh melalui paksaan, penipuan, atau salah nyataan, kontrak tersebut boleh dibatalkan oleh pihak yang terjejas.
13. Misalnya, jika A memaksa B untuk menjual keretanya melalui ancaman, B mempunyai hak untuk membatalkan kontrak tersebut. Walau bagaimanapun, jika persetujuan diperoleh melalui penipuan atau salah nyataan, pihak yang terjejas boleh memilih sama ada untuk membatalkan kontrak atau meneruskan kontrak dengan syarat dia ditempatkan dalam kedudukan yang sama seolah-olah maklumat yang disampaikan adalah benar.
14. Sebagai contoh, jika A menjual sebuah rumah kepada B dan membuat dakwaan palsu bahawa rumah tersebut bebas daripada sebarang bebanan undang-undang, B boleh memilih untuk membatalkan kontrak tersebut atau meneruskan kontrak dan menuntut agar A menyelesaikan sebarang isu yang berkaitan.
15. Sebagai rumusan, keadaan fikiran yang waras dan persetujuan bebas adalah elemen penting dalam pembentukan kontrak yang sah di sisi undang-undang.
16. Setiap pihak bukan sahaja perlu memahami maksud kontrak dan kesannya terhadap diri mereka, tetapi juga harus bebas daripada sebarang pengaruh luar yang boleh menjejaskan kebebasan mereka dalam membuat keputusan. Pemahaman terhadap konsep ini membantu memastikan bahawa setiap kontrak yang dibentuk adalah sah, adil, dan melindungi kepentingan semua pihak yang terlibat.
Rujuk rencana - rencana lain berkenaan dengan Akta Kontrak 1950:
Jenis Kontrak dan perjanjian yang tidak sah
Pampasan & Gantirugi perlanggaran kontrak
Syarat - syarat Kontrak yang sah
Tandatangan Kontrak tanpa membaca terma
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.