Adakah anda tahu apa yang berlaku jika anda menandatangan sesuatu perjanjian atau kontrak tanpa membacanya terlebih dahulu? Apakah kesan perjanjian yang ditandatangan tanpa memahami terma dan syaratnya? Apakah yang dimaksudkan dengan Prinsip undang-undang Non Est Factum.
Dalam kehidupan seharian di dalam era serba pantas ini, kadang-kadang kita seringkali menandatangani pelbagai dokumen tanpa benar-benar membacanya, apatah lagi memahaminya.
1. Sikap mengabaikan pemahaman sesuatu dokumen sebelum menandatanganinya adalah satu sikap sambil lewa yang tidak patut diamalkan.
2. Sesuatu dokumen perjanjian yang ditandatangan boleh memberi kesan yang amat besar sekiranya berlaku sebarang pertikaian berkenaan dengan subjek dokumen tersebut.
3. Apabila kita menandatangani sesuatu dokumen yang mengandungi terma dan syarat ataupun perjanjian, tandatangan kita yang termaktub pada dokumen tersebut bermaksud untuk menunjukkan persetujuan kita terhadap segala terma dan syarat yang terkandung di dalam perjanjian tersebut.
4. Prinsip undang-undang menetapkan bahawa apabila seseorang menandatangani dokumen yang diketahui sebagai kontrak, maka tandatangan itu akan dianggap sebagai bukti kukuh bahawa dia bersetuju dengan semua kandungan kontrak, termasuk sebarang klausa yang terkandung di dalamnya.
5. Apa maksudnya? Maksudnya, melainkan tandatangan tersebut boleh dibuktikan telah diperoleh melalui cara penipuan (fraud) atau salah nyata (misrepresentation), maka Mahkamah lazimnya tidak akan menerima alasan-alasan seperti tidak sengaja, tidak tahu, tidak membaca atau tidak memahami kandungan dokumen yang ditandatangan.
6. Ini bermaksud bahawa walaupun anda tidak membaca atau memahami dokumen tersebut, anda tetap terikat dengan kandungan kontrak selagi tiada unsur penipuan atau salah representasi yang berlaku. Dalam keadaan ini, mahkamah tidak akan menerima alasan bahawa anda tidak membaca dokumen tersebut sebagai alasan untuk tidak terikat dengan kontrak berkenaan.
7. Prinsip non est factum adalah satu doktrin undang-undang yang boleh digunakan oleh seseorang untuk menafikan kewajipan kontrak yang telah ditandatangani olehnya, dengan syarat bahawa tandatangan tersebut dibuat di bawah kepercayaan yang salah tentang sifat dokumen itu.
8. Dalam bahasa Latin, non est factum bermaksud "ini bukan perbuatanku." Prinsip ini hanya boleh digunakan dalam situasi di mana seseorang telah menandatangani dokumen tersebut dengan kepercayaan bahawa dokumen itu adalah sesuatu yang berbeza daripada apa yang sebenarnya.
9. Sebagai contoh, bayangkan seorang individu warga emas, Encik Ahmad, yang kurang memahami bahasa Inggeris, diminta untuk menandatangani dokumen oleh seorang ejen hartanah.
10. Ejen tersebut memberitahu Encik Ahmad bahawa dokumen tersebut hanyalah borang persetujuan untuk menilai nilai rumahnya.
12. Tanpa membaca atau memahami isi kandungan dokumen tersebut, Encik Ahmad menandatangani dokumen tersebut. Beberapa minggu kemudian, Encik Ahmad mendapat tahu bahawa dokumen tersebut sebenarnya adalah perjanjian jual beli rumahnya dengan harga yang sangat rendah.
13. Dalam situasi ini, Encik Ahmad mungkin boleh menggunakan pembelaan non est factum kerana beliau menandatangani dokumen tersebut dengan kepercayaan bahawa dokumen tersebut adalah sesuatu yang lain, dan kekeliruan tersebut berlaku bukan disebabkan oleh kelalaiannya sendiri tetapi kerana salah representasi oleh ejen hartanah.
14. Sebagai kesimpulan prinsip non est factum adalah satu perlindungan penting bagi individu yang secara tidak sengaja menandatangani dokumen yang mereka tidak fahami sepenuhnya. Namun, ia bukanlah alasan yang boleh digunakan sewenang-wenangnya.
15. Oleh itu, adalah amat penting untuk membaca dan memahami setiap dokumen yang anda tandatangani agar anda tidak terperangkap dalam situasi yang sukar dan tidak diingini.
_______________________
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.