>

PENJAMIN PERJANJIAN PINJAMAN ATAU BIASISWA PELAJARAN?

penjamin biasiswa

Peranan dan Tanggungjawab Seorang Penjamin dalam Perjanjian Pinjaman Pelajaran

Penjamin memainkan peranan penting dalam membolehkan penerima pinjaman atau biasiswa mendapatkan pendidikan tanpa beban kewangan yang terlalu besar. Namun demikian, menjadi penjamin juga membawa bersama tanggungjawab tertentu yang perlu difahami dengan teliti. 

1. Penjamin kepada sesuatu perjanjian adalah individu yang bersetuju untuk menjamin dan memastikan pematuhan sesuatu terma dan syarat untuk perjanjian tersebut.

2. Beliau juga akan turut sama memikul beban dan tanggungjawab di atas sebarang kegagalan orang yang dijamin dalam melaksanakan perjanjian tersebut. 

3. Sepertimana perjanjian lain, Perjanjian Pelajaran atau Biasiswa Pelajaran kadangkala turut melibatkan penjamin-penjamin yang boleh menjamin penerima pinjaman atau penerima biasiswa. 

4. Menjadi kelaziman untuk mana-mana universiti, institusi, badan kerajaan atau badan korporat yang menawarkan pinjaman pelajaran atau biasiswa menetapkan syarat agar pinjaman atau biasiswa itu dijamin oleh seorang atau dua orang penjamin. 

5. Ini adalah langkah keselamatan yang diambil untuk memastikan bahawa terdapat jaminan tanggungjawab secara bersama sekiranya penerima pinjaman atau biasiswa tersebut didapati gagal memenuhi kewajipan mereka.

6. Penjamin pinjaman pelajaran atau biasiswa pelajaran tidak hanya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan penerima pinjaman atau biasiswa mematuhi syarat-syarat perjanjian, tetapi mereka juga turut memikul kesan untuk apa-apa syarat perjanjian yang tidak dipatuhi.

7. Walaupun undang-undang mengecualikan penjamin pinjaman pelajaran daripada dibankrapkan atas faktor kapasitinya sebagai penjamin sosial, ini tidak bermakna penjamin tersebut tidak boleh di saman.

8. Penjamin pinjaman pelajaran tetap boleh disaman oleh pemberi pinjaman untuk menuntut pembayaran balik pinjaman atau ganti rugi. Beliau hanya dikecualikan daripada tindakan kebankrapan sahaja.

9. Menjadi penjamin dalam perjanjian pinjaman pelajaran dan menandatangan sesuatu perjanjian sebagai penjamin memang tampak mudah sehingga kadangkala diambil lewa. Namun ianya  membawa bersama satu tanggungjawab yang besar. Oleh yang demikian adalah penting untuk memahami sepenuhnya tanggungjawab dan risiko yang terlibat sebelum bersetuju menjadi penjamin.

________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.