>

BIASISWA PELAJARAN, APA YANG MENYEBABKAN ANDA DI SAMAN?

saman loan belajar

MENGAPA ANDA BOLEH DI SAMAN KERANA PERJANJIAN BIASISWA PELAJARAN? 

Sepertimana yang kita sedia maklum, perjanjian biasiswa pelajaran adalah perjanjian kontrak antara pemberi biasiswa dan penerima, yang memuatkan tanggungjawab serta syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh penerima untuk menerima pembiayaan kos pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi samada di dalam atau luar negara. Namun, apakah sebab-sebab lazim yang boleh menyebabkan seseorang penerima biasiswa di saman oleh pemberi biasiswa?

1. Gagal Mendapat Pencapaian Akademik Minimum

1.1 Sekiranya perjanjian biasiswa yang ditandatangani itu telah menetapkan pencapaian akademik minimum yang perlu dicapai oleh penerima, kegagalan untuk mencapai syarat ini boleh menyebabkan perjanjian biasiswa terbatal atau boleh dibatalkan. 

1.2 Sebagai contoh, sekiranya perjanjian mengandungi syarat bahawa penerima biasiswa mestilah mengekalkan purata CGPA 3.0 setiap semester dan beliau didapati gagal untuk melakukannya atau mengekalkan pencapaian tersebut, pemberi biasiswa boleh dan berhak untuk membatalkan perjanjian biasiswa tersebut.

2. Gagal Menamatkan Pengajian atau Menghabiskan Pengajian Dalam Tempoh Yang Ditentukan

2.1 Adalah menjadikan kebiasaan bahawa di antara syarat utama sesuatu Perjanjian Biasiswa adalah Penerima biasiswa hendaklah berjaya menamatkan pelajaran atau menamatkan pengajian dalam tempoh masa tertentu. 

2.2 Namun jika penerima biasiswa gagal menamatkan pengajian, atau mengambil cuti panjang tanpa kelulusan pihak pemberi biasiswa, tindakan ini boleh dianggap sebagai pelanggaran perjanjian. 

2.3 Contohnya, jika perjanjian menetapkan bahawa penerima mesti menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun tetapi mereka gagal melakukannya, pemberi biasiswa boleh dan berhak menamatkan Perjanjian tersebut.

3. Enggan Berkerja dengan Pemberi Biasiswa

3.1 Sekiranya perjanjian biasiswa mempunyai terma atau klausa yang mewajibkan penerima biasiswa untuk berkhidmat dengan syarikat atau institusi yang menawarkan biasiswa selepas tamat pengajian dan penerima biasiswa gagal atau enggan berbuat demikian, ianya boleh dianggap sebagai satu perlanggaran perjanjian. 

3.2 Contohnya, jika penerima biasiswa menolak atau enggan untuk bekerja dengan syarikat yang menawarkan biasiswa kepada beliau selepas tamat pengajian, di atas sebarang alasan, syarikat tersebut boleh mengganggap bahawa perjanjian tersebut telah dilanggar dan batal.

4. Berhenti Kerja Sendiri atau Dibuang Sebelum Tamat Tempoh Wajib Perkhidmatan

4.1 Jika perjanjian biasiswa menetapkan tempoh wajib perkhidmatan dengan syarikat yang menawarkan biasiswa, seperti dua atau tiga tahun, penerima biasiswa yang membuat keputusan untuk berhenti atau dibuang kerja, atas apa-apa alasan sekalipun, sebelum tamat tempoh yang ditetapkan boleh dianggap sebagai telah melanggar perjanjian. 

4.2 Syarikat boleh mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut pemulangan jumlah wang yang telah diberikan sebagai biasiswa atau tuntutan ganti rugi.

5. Tindakan Undang-Undang dan Gantirugi

5.1 Kausa tindakan utama yang membolehkan syarikat atau institusi yang memberi biasiswa pelajaran untuk menyaman atau mengambil tindakan undang-undang terhadap penerima biasiswa lazimnya adalah untuk perlanggaran kontrak atau perjanjian.

5.2 Oleh itu kandungan, syarat dan terma yang terkandung di dalam sesuatu perjanjian biasiswa yang ditandatangani itu adalah sangat penting di dalam sesuatu tindakan di Mahkamah, samada untuk mengambil tindakan atau mencabar tindakan saman.

5.3 Syarikat atau pemberi biasiswa mempunyai hak untuk menyaman penerima biasiswa yang melanggar perjanjian. Tindakan undang-undang yang lazimnya diambil adalah tindakan menuntut agar jumlah wang yang telah diberikan sebagai biasiswa dikembalikan sepenuhnya, atau menuntut ganti rugi dan pampasan untuk kos yang telah dikeluarkan.

5.4 Dalam kesimpulannya, perjanjian biasiswa pelajaran adalah ikatan undang-undang yang mengikat penerima dengan syarat-syarat tertentu. Penting untuk memahami dan mematuhi syarat-syarat ini untuk mengelakkan tindakan undang-undang yang mungkin timbul akibat pelanggaran perjanjian.

 ________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.