Dalam era digital dan media sosial masa kini, peranan influencers atau pempengaruh, dalam menyebarkan apa sahaja maklumat, telah menjadi begitu penting. Bahkan tidak sedikit syarikat-syarikat korporat di Malaysia dan luar negara yang menggunakan influencers dan personaliti media sosial popular sebagai medium dan ejen pemasaran untuk membantu membawa brand relevance kepada generasi anak muda.
Apatah lagi dengan populariti platform pemasaran produk secara digital seperti Shopee dan Lazada serta platform-platform media sosial seperti facebook, instagram, tiktok, youtube dan twitter yang telah menjadi salah satu platform pilihan utama bagi maksud pengiklanan digital sesuatu produk atau perkhidmatan, maka tidak boleh dinafikan bahawa influencers turut memainkan peranan di dalam ekosistem pasaran era baru ini.
Walaubagaimanapun, di dalam keghairahan generasi hari ini mencipta dan membina populariti mereka sebagai influencers dan personaliti media sosial, terdapat tanggungjawab dan risiko undang-undang yang seringkali diabaikan dan diambil mudah. Maka artikel ini adalah bertujuan untuk memberikan panduan ringkas tentang aspek-aspek undang-undang yang perlu diberi perhatian oleh setiap influencer.
Apakah itu Influencer atau Pempengaruh?
1. Influencer, atau dikenali juga sebagai pempengaruh, adalah individu yang mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi massa lebih-lebih lagi dalam mempengaruhi keputusan pembelian para pengikut (followers) mereka berdasarkan otoriti, pengetahuan, kedudukan, atau hubungan persahabatan di antara influencer tersebut dengan pengikut mereka, terutamanya di media sosial.
2. Mahkamah Tinggi di dalam SARA NADZIRAH ZULKIFLI v. KHIRULANUAR MOHAMADIAH telah mendefinisikan seorang Influencer sebagai berikut:
An influencer on social media is someone who has established credibility in a specific area or industry and through social media is able to persuade or influence others to act on his or her recommendations for purchasing goods or services. It can be a rather effective marketing tool.
3. Seorang pengaruh di media sosial adalah seseorang yang mempunyai kredibiliti dalam bidang atau industri tertentu, dan melalui media sosial, dia mampu memujuk atau mempengaruhi orang lain untuk bertindak mengikut cadangannya dalam pembelian barangan atau perkhidmatan. Ia boleh menjadi alat pemasaran yang agak berkesan.
Mengapa Influencers Perlu Ambil Berat Tentang Undang-Undang?
4. Media sosial telah mengubah cara komunikasi dan interaksi dalam masyarakat kita. Dengan kebebasan untuk berkongsi maklumat, datanglah tanggungjawab untuk memastikan maklumat tersebut adalah sah dan tidak melanggar hak orang lain. Dalam konteks ini, influencer mempunyai risiko untuk terdedah kepada isu-isu undang-undang yang memudaratkan dan serius.
5. Ini adalah kerana sebagai seorang influencer, setiap kata dan tindakan yang diambil bukan sahaja mempunyai pengaruh dan kesan kepada masyarakat terhadap sesuatu jenama, produk atau syarikat yang dipromosikan, tetapi turut juga mempengaruhi reputasi peribadi mereka secara khusus. Sebarang kesilapan kecil dalam memahami hak dan tanggungjawab disisi undang-undang boleh membawa kepada komplikasi undang-undang yang berat dan rumit.
6. Secara ringkasnya, terdapat dua kawasan (area) yang perlu diberi perhatian oleh para influencers. Yang pertama adalah berhubung dengan perkhidmatan yang disediakan yang dikawal selia oleh undang-undang kontrak (Law of Contract) dan yang kedua adalah keterdedahan seorang influencer kepada tindakan undang-undang akibat berdasarkan tindakan dan perbuatan influencer itu sendiri. Ini merangkumi kes-kes seperti fitnah (defamation), perlanggaran hak cipta (copyright infringement), kacau ganggu perniagaan (unlawful interference of trade) dan sebagainya.
Undang-Undang Kontrak
7. Apabila seorang influencer menyediakan perkhidmatan promosi atau ulasan (review) untuk vendor, seperti mempromosikan sebarang acara, mempromosikan perniagaan atau premis, atau mempromosikan produk atau perkhidmatan, maka adalah penting bagi mereka untuk memahami bahawa setiap janji atau perjanjian yang dibuat adalah satu kontrak. Tidak kira sama ada perjanjian tersebut dibuat secara lisan atau bertulis.
8. Sebagai contoh, jika seorang influencer itu gagal memenuhi janji untuk mempromosikan produk seperti yang dijanjikan, vendor mungkin mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang berdasarkan pelanggaran kontrak. Oleh yang demikian, adalah penting bagi influencer tersebut memahami kepentingan sesuatu kontrak atau perjanjian bertulis yang akan mengawal selia hubungan diantara mereka dengan vendor yang mengupah mereka.
Undang-Undang Fitnah dan Tanggungjawab Influencers
9. Bak kata Ben Parker, dengan pengaruh yang besar datanglah tanggungjawab yang besar. Setiap kata yang diucapkan oleh influencer, terutama di hadapan ribuan atau jutaan pengikut, mempunyai kesan yang mendalam. Oleh itu, mereka harus berhati-hati agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memfitnah orang lain.
10. Tindakan saman fitnah atau kacau ganggu perniagaan boleh diambil oleh individu atau syarikat yang merasa reputasinya telah dirugikan oleh kenyataan-kenyataan seorang influencer tersebut.
11. Bukan itu sahaja, kegagalan seseorang influencer itu untuk cakna tentang penggunaan hak cipta (copyright), buli cyber (cyberbullying), kecuaian (negligence), penipuan atau ejen penipuan (fraud or agents of fraud), salah nyata (misrepresentation), pengiklanan salah (false advertising) hingga ke intimidasi jenayah (criminal intimidation) juga boleh membuka dan mendedahkan ruang kepada influencers untuk dikenakan tindakan undang-undang di Mahkamah.
12. Secara kesimpulannya, sebagai seorang influencer, adalah penting untuk memahami dan menghormati undang-undang. Dengan memahami hak dan tanggungjawab kita, kita bukan sahaja melindungi diri dari potensi tindakan undang-undang tetapi juga meningkatkan kredibiliti dan integriti sebagai seorang pempengaruh yang bertanggungjawab.
13. Dapatkan khidmat peguam pilihan dan berkonsultasilah dengan peguam yang berpengalaman dalam isu-isu media sosial dan undang-undang boleh memberikan perlindungan tambahan dan ketenangan fikiran.
14. Apakah sebab lazim seorang influencer menerima saman? Baca disini: https://www.norhafeezlaw.com/2023/10/saman-influencer-5-sebab-utama-kenapa.html
_________________________
Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.