Membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat seorang peguam untuk menyelesaikan sebarang masalah yang melibatkan undang-undang yang sedang kita hadapi adalah satu langkah yang sangat-sangat penting.
Namun, salah satu perkara utama yang sering mencetuskan kebimbangan kita tentang perkhidmatan peguam adalah mengenai caj-caj atau bayaran yang dikenakan oleh peguam. Apa yang perlu kita tahu dan faham tentang caj-caj atau bayaran-bayaran peguam?
Jenis-jenis Bayaran Peguam di Malaysia
1. Para peguam secara lazim atau kebiasaannya akan mengenakan beberapa jenis bayaran untuk perkhidmatan mereka.
2. Bayaran-bayaran tersebut adalah Yuran Guaman, Yuran Penyelenggaraan / Belanja Hangus dan Cukai Perkhidmatan. Ketiga-tiga jenis bayaran ini masing-masing adalah untuk tujuan dan objektif yang berbeza.
i. Yuran Guaman:
Yuran Guaman (Legal Fees) secara mudahnya bermaksud upah peguam. Upah atau bayaran yang diberikan kepada peguam untuk perkhidmatannya.
Terdapat jenis-jenis kes di mana amaun yuran guamannya ditentukan atau dikawal selia oleh undang-undang, contohnya kes-kes yang melibatkan pembelian, penyewaan atau pajakan hartanah.
Maksudnya? Ini bererti undang-undang telahpun menetapkan kadar yuran guaman yang boleh dikenakan ke atas anak guam untuk pembelian sesuatu aset hartanah seperti rumah atau tanah.
Namun untuk kes-kes sivil, korporat atau jenayah, Yuran Guaman seseorang peguam itu tidak dikawalselia oleh undang-undang dimana kadar dan- amaun caj guaman seseorang peguam tersebut adalah berdasarkan persetujuan di antara peguam dan anak guamnya.
ii. Yuran Penyelenggaraan/Belanja Hangus:
Yuran Penyelenggaraan atau Belanja Hangus (Disbursements) pula melibatkan kos-kos yang berkaitan dengan urusan menyelenggara sesuatu fail itu.
Urusan-urusan ini termasuklah kos penyimpanan dokumen dan fail, kos percetakan, kos perjalanan ataupun sebarang fi atau caj-caj pemfailan (filing fees) kepada badan-badan khusus seperti Mahkamah, Pejabat Tanah, Jabatan Insolvensi atau Jabatan Pendaftaran Negara.
Ini adalah belanja hangus yang peguam perlu keluarkan semasa menjalankan kes dan ianya akan dibilkan kepada anak guam.
iii. Cukai Perkhidmatan:
Selain daripada yuran guaman dan yuran penyelenggaraan, anak guam juga perlu membayar Cukai Perkhidmatan SST yang dikenakan oleh kerajaan ke atas yuran guaman.
Pentingnya Memahami Jenis Bayaran Peguam
Mengambil tahu atau memahami bayaran-bayaran guaman adalah penting untuk memastikan kita tahu apa yang kita bayar dan agar kita dapat merancang bajet dan kewangan dengan betul dan cermat.
Selain itu, kita juga akan dapat mengelakkan sebarang kecelaruan atau salah faham apabila menerima bil daripada peguam.
Saranan terbaik adalah berkomunikasi dengan jelas dengan peguam kita berkenaan dengan bayaran-bayaran yang perlu kita sediakan. Mintalah penjelasan terperinci mengenai semua caj dan yuran yang mungkin dikenakan. Pastikan juga untuk membayar yuran yang disepakati tepat pada masanya untuk memastikan kes kita berjalan dengan lancar.
_________________________
Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.