Di era digital ini, peranan influencers atau pempengaruh semakin menonjol di ruang maya. Dengan kuasa yang dimiliki oleh influencers dalam mempengaruhi pendapat dan pilihan ramai, tanggungjawab yang besar juga turut melekat rapat kepadanya.
1. Adakalanya influencers mungkin tidak sedar bahawa tindakan atau perkataan mereka di platform media sosial boleh membawa kepada tindakan undang-undang. Berikut adalah 5 sebab-sebab utama mengapa influencers boleh disaman dan diheret ke Mahkamah.
Apabila Influencer membuat Tuduhan Palsu atau Fitnah di Platformnya:
2. Ini adalah diantara sebab-sebab yang kerap menyebabkan seorang Influencer di heret ke Mahkamah iaitu dengan membuat sesuatu kenyataan tanpa usul dan periksa yang akhirnya menjadi suatu kenyataan fitnah terhadap sesuatu pihak lain.
3. Sebagai contoh, seorang influencer telah menuduh sebuah syarikat kosmetik menggunakan bahan berbahaya atau terlarang dalam produknya tanpa bukti kukuh. Ini boleh menjejaskan reputasi syarikat tersebut. Syarikat tersebut boleh mengheret Influencer tersebut ke Mahkamah untuk fitnah (defamation) atau pemalsuan fakta dengan niat jahat (malicious faslehood).
Apabila Influencer Tidak Memantau Ulasan atau Komen Pengikutnya:
4. Bagi sesuatu kes saman fitnah melalui media sosial, seseorang itu bukan sahaja boleh di saman akibat daripada kenyataan yang dibuatnya semata-mata. Malah seseorang itu turut bertanggungjawab terhadap komen dan ulasan yang ditulis pada dinding (wall) media sosialnya.
5. Sebagai contoh, jika pengikut (follower) influencer tersebut meninggalkan komen fitnah terhadap individu atau jenama di ruangan komen dan influencer tidak mengambil tindakan untuk menghapus atau mengecam komen tersebut, influencer boleh dianggap sebagai membiarkan fitnah untuk tersebar. Ini boleh menyebabkan influencer tersebut diheret ke Mahkamah kerana fitnah.
Apabila Influencer Gagal Menunaikan Tanggungjawab Kontrak dengan Vendor:
6. Rata-rata influencer yang mempunyai jumlah pengikut media sosial yang ramai akan memberikan khidmat promosi atau ulasan berbayar terhadap sesuatu produk, acara atau premis seperti hotel dan restoren melalui platform media sosialnya
7. Influencer tersebut mungkin telah menandatangani kontrak untuk mempromosikan produk selama sebulan, namun promosi tersebut hanya dilakukannya selama seminggu, sebagai contoh.
8. Ini boleh dianggap sebagai pelanggaran kontrak (breach of contract) dan vendor yang melantik Influencer tersebut berhak memfailkan saman terhadap beliau untuk menuntut pampasan (damages) atau perlaksanaan spesifik (Specific Performance).
Apabila Influencer Menyalahgunakan Harta Intelek Tanpa Kebenaran:
9. Jika seorang influencer menggunakan lagu, video, atau gambar milik orang lain dalam kontennya tanpa kebenaran atau lesen, ini boleh dianggap sebagai pelanggaran hak cipta (infringement of copyright).
Apabila Influencer Memburuk-burukkan Perniagaan Orang Lain Secara Salah:
10. Ini lazimnya berlaku di antara dua syarikat yang menjual jenis produk yang sama, di mana salah satu daripada syarikat tersebut menggunakan influencer untuk memburuk-burukkan pesaingnya.
11. Misalnya, seorang influencer mengkritik restoran dengan mengatakan makanan mereka mengandungi bahan yang tidak halal walaupun ini tidak benar. Tindakan ini boleh merosakkan atau menjejaskan reputasi dan nama baik restoran tersebut. Pemilik restoren tersebut boleh menyaman Influencer tersebut di Mahkamah.
Apabila Influencer Menggunakan Platformnya untuk Menggalakkan Cyber Bullying atau Intimidasi Jenayah:
12. Seorang influencer mungkin tidak secara langsung mengancam seseorang, tetapi dengan menunjukkan atau memberikan sokongan kepada komen-komen yang mengancam kecederaan fizikal kepada seorang individu, influencer tersebut boleh diambil tindakan atas dasar menggalakkan gejala-gejala tersebut.
Apabila Influencer Mendedahkan Maklumat Peribadi Seseorang Tanpa Kebenaran.
13. Seorang influencer yang berkongsi maklumat peribadi seseorang tanpa kebenaran, seperti nombor telefon atau alamat, boleh berdepan dengan tindakan undang-undang kerana melanggar privasi individu tersebut.
14. Adalah penting bagi influencers untuk sentiasa berhati-hati dalam setiap perkongsian di media sosial dan memahami batasan undang-undang supaya tidak terjerumus dalam pelbagai masalah perundangan. Sebaiknya, dapatkan nasihat undang-undang jika ragu-ragu atau sebelum membuat tindakan atau kenyataan yang boleh memberi kesan hukuman.
15. Apakah bahagian undang-undang yang perlu diberikan perhatian oleh seorang influencer? Baca disini: https://www.norhafeezlaw.com/2023/11/panduan-undang-undang-influencers-malaysia.html
_________________________
Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.