>

BAGAIMANA UNTUK MEMBATALKAN PENGHAKIMAN INGKAR?

penghakiman ingkar

Penghakiman Ingkar atau Judgment in Default (JID) merupakan salah satu prosedur yang membolehkan pihak yang menyaman atau Plaintif memperolehi Penghakiman tanpa perbicaraan terhadap orang yang disaman atau Defendan. 

Dalam rencana ini, kita akan kongsikan maklumat asas secara ringkas berkenaan dengan proses, syarat dan kaedah untuk mengenepikan Penghakiman Ingkar menurut tatacara undang-undang di Malaysia.


1. Penghakiman Ingkar secara lazimnya akan diperolehi apabila Defendan gagal memberi respons atau bertindak mengikut peraturan-prosedur tertentu.

2. Walaupun JID boleh berlaku dengan cepat, namun ianya bukanlah satu Penghakiman yang mutlak. Pihak Defendan masih mempunyai hak untuk memohon untuk mengenepikan Penghakiman tersebut. 
 
3. Persediaan asas untuk mengenepikan Penghakiman Ingkar adalah sebagaimana berikut:

MENENTUKAN JENIS PENGHAKIMAN


4. Secara lazimnya, sebagai persediaan awal untuk mengenepikan sesuatu Penghakiman Ingkar, para peguam akan terlebih dahulu meneliti Penghakiman Ingkar yang diterima. 
 
5. Ini adalah untuk memastikan samada Penghakiman yang diterima tersebut adalah Penghakiman yang teratur atau tidak teratur (regular or irregular judgment). 
 
6. Faktor yang menentukan samada sesuatu Penghakiman itu teratur atau tidak teratur adalah samada sesuatu penghakiman itu diperolehi melalui tatacara yang telah ditetapkan oleh Kaedah-Kaedah Mahkamah atau sebaliknya.
 
7. Sekiranya Penghakiman Ingkar yang diperolehi itu teratur maka faktor yang akan dinilai oleh Mahkamah samada untuk membenarkan permohonan untuk mengenepikan Penghakiman itu adalah kekuatan pembelaan yang akan difailkan atau apa yang disebut sebagai merit of defence.
 
8. Sekiranya Penghakiman Ingkar yang diperolehi itu tidak teratur maka Penghakiman Ingkar tersebut berhak diketepikan secara hak tanpa membuat penilaian terhadap kekuatan pembelaan.

TEMPOH MASA


9. Selepas para peguam menilai jenis Penghakiman yang diperolehi, secara kebiasaannya, peguam akan menyemak tempoh masa untuk memfailkan Notis Permohonan untuk mengenepikan Penghakiman. 
 
10. Undang-undang telah menetapkan tempoh masa yang tertentu untuk memfailkan permohonan. 
 
11. Kelewatan untuk mengambil sebarang tindakan proaktif selepas mendapat tahu tentang Penghakiman Ingkar ini adalah sangat-sangat memudaratkan permohonan. Mahkamah akan mengambil kira faktor tempoh masa ini dalam membuat keputusan.

PEMBELAAN


12. Selain daripada itu, secara lazimnya peguam akan turut menyediakan satu draf pembelaan yang akan disertakan bersama di dalam permohonan untuk mengenepikan penghakiman ingkar tersebut. 
 
13. Mahkamah akan turut meneliti kekuatan atau merit pembelaan yang difailkan sebelum membuat sebarang keputusan terhadap permohonan tersebut.

14. Selepas mengambil kira kesemua faktor-faktor ini, baru lah Mahkamah akan membuat keputusan samada untuk membenarkan atau menolak permohonan untuk mengenepikan Penghakiman Ingkar tersebut. 
 
15. Perkara yang paling penting adalah untuk tidak sekali-kali mengambil lewa atau berlengah-lengah untuk mendapatkan nasihat peguam dengan kadar segera tidak kira samada kita menerima sesalinan saman atau menerima sesalinan Penghakiman. 
 
16. Tempoh masa yang ditetapkan undang-undang tidak mengambil kira masa sesuai kita.
 _________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

 

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.