APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN APABILA MENERIMA WRIT SAMAN ATAU SAMAN PEMULA - PANDUAN PRAKTIKAL.
Menerima Writ Saman atau Saman Pemula boleh menjadi suatu pengalaman yang mengejutkan dan mencabar, terutama jika anda tidak biasa dengan sistem perundangan. Dalam artikel ini, kita akan melihat beberapa langkah yang perlu diambil jika anda menerima Writ Saman atau Saman Pemula.
Apa Itu Writ Saman dan Saman Pemula?
1. Writ Saman (Writ Summons) dan Saman Pemula (Originating Summons) adalah dokumen-dokumen disisi undang-undang yang difailkan oleh seseorang, lazimnya melalui peguamnya, terhadap kita.
2. Ini secara mudahnya, menunjukkan bahawa tindakan undang-undang atau saman terhadap kita, samada melalui Writ Saman atau Saman Pemula, telahpun difailkan dan telah bermula.
3. Writ Saman (lazimnya berserta Pernyataan Tuntutan) dan Saman Pemula (lazimnya berserta Afidavit Sokongan) ini turut berfungsi sebagai notifikasi bahawa kita telah disaman dan kita perlu memfailkan dokumen-dokumen tertentu di dalam tempoh masa tertentu.
Mengapa Seseorang Menerima Writ Saman atau Saman Pemula?
4. Kelazimannya, kita menerima Writ Saman atau Saman Pemula kerana pihak yang memfailkan tindakan tersebut merasa hak atau kepentingannya telah dilanggar.
5. Hal ini boleh berkaitan dengan pelbagai isu, termasuk hutang, perniagaan, harta, gantirugi, pampasan, atau isu-isu peribadi seperti perceraian atau hak penjagaan anak.
6. Apa yang perlu kita lakukan selepas kita menerima sesalinan Writ Sama atau Sama Pemula?
Langkah Pertama: Membaca dan Memahami Kandungan Writ Saman atau Saman Pemula dan dokumen-dokumen sampingannya.
7. Setelah menerima Writ Saman atau Saman Pemula, langkah pertama yang harus kita lakukan adalah membaca dan memahami isi dokumen-dokumen yang diterima.
Langkah Kedua: Pastikan Ketepatan Butir-Butir Penerima
8. Langkah kedua adalah memeriksa butir-butir kita pada Writ Saman atau Saman Pemula untuk memastikan semuanya tepat.
9. Ini untuk memastikan bahawa orang yang hendak dibawa ke Mahkamah itu adalah kita dan bukan orang lain.
Langkah Ketiga: Catat Tempoh Masa yang Diberikan untuk Menjawab
10. Langkah ketiga adalah memastikan tempoh masa yang diberikan untuk melantik peguam atau memfailkan dokumen-dokumen yang perlu difailkan.
11. Lazimnya, kita akan diberi tempoh selama 14 hari daripada tarikh dokumen-dokumen tersebut sampai ke premis kita.
Langkah Keempat: Kenal Pasti Lokasi Mahkamah
12. Lokasi mahkamah yang dinyatakan dalam Writ Saman atau Saman Pemula juga sangat penting. Ini kerana proses-proses seterusnya akan berlangsung di mahkamah tersebut.
13. Pastikan samada anda di saman di Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi serta daerah dan negeri lokasi Mahkamah tersebut.
Langkah Kelima: Mendapatkan Nasihat Perundangan
14. Langkah terakhir, tetapi sama pentingnya, adalah mendapatkan nasihat perundangan daripada seorang peguam yang berpengalaman. Writ Saman atau Saman Pemula adalah dokumen undang-undang yang serius dan memerlukan pengetahuan khusus untuk menanganinya dengan betul.
Apa yang Berlaku jika Writ Saman atau Saman Pemula Tidak Dijawab?
15. Jika Writ Saman atau Saman Pemula tidak dijawab, atau kita gagal memfailkan dokumen-dokumen sebagai rekod kehadiran, dalam tempoh masa yang dibtetapkan, pihak yang memfailkan tindakan tadi boleh memohon kepada Mahkamah untuk memfailkan Penghakiman Ingkar atau Penghakiman Interlokutori atau apa-apa Perintah berkenaan terhadap kita.
RENCANA TAMBAHAN
(a) Panduan setelah menerima Penghakiman Ingkar
(b) Panduan setelah menerima Notis Tuntutan
_________________________
Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.