>

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN APABILA MENERIMA NOTIS TUNTUTAN - PANDUAN PRAKTIKAL.

Panduan menerima notis tuntutan

Pada suatu masa dalam kehidupan kita, kita mungkin berhadapan dengan situasi di mana kita menerima Notis Tuntutan dari seorang peguam. Dalam konteks undang-undang, ini boleh menjadi pengalaman yang membimbangkan dan membingungkan. 

Oleh itu, pemahaman yang mendalam mengenai Notis Tuntutan, mengapa ia diterima, dan langkah-langkah yang perlu diambil selepas menerima satu, adalah penting.

Apa Itu Notis Tuntutan?

1. Notis Tuntutan, atau dalam bahasa Inggerisnya 'Letter of Demand', adalah surat yang lazimnya dikirim oleh peguam bagi pihak anak guamnya, meminta penerima untuk melakukan atau berhenti melakukan sesuatu. 

2. Ia biasanya melibatkan tuntutan bayaran wang, samada hutang atau bayaran gantirugi, atau permintaan-permintaan tertentu contohnya seperti tuntutan untuk mematuhi terma-terma kontrak atau menghentikan perbuatan fitnah.

Kenapa Seseorang Itu Menerima Notis Tuntutan?

3. Notis Tuntutan biasanya diterima apabila seseorang didakwa telah melakukan sesuatu yang salah menurut undang-undang atau kontrak, seperti gagal membayar hutang, melanggar perjanjian, atau menyalahi hak orang lain.

4. Di dalam kes-kes tertentu, pengeluaran Notis Tuntutan juga boleh menjadi langkah awal sebelum seseorang tersebut memfailkan Saman di Mahkamah terhadap penerima.

5. Sekiranya kita menerima sesalinan Notis Tuntutan daripada peguam, maka apakah yang perlu kita lakukan selanjutnya?

Langkah Pertama: Membaca dan Memahami Notis Tuntutan

6. Langkah pertama yang perlu diambil apabila menerima Notis Tuntutan adalah membaca dan seterusnya memahami kandungannya. Kita perlu tahu apa yang dituntut daripada kita dan sebab-sebab kenapa tuntuta tersebut dibuat terhadap kita.

Langkah Kedua: Periksa Ketepatan Butir-Butir Penerima

7. Pastikan butir-butir kita seperti nama, alamat, kronologi peristiwa atau tarikh-tarikh yang dinyataka di dalam Notis Tuntutan tersebut adalah tepat. 

Langkah Ketiga: Perhatikan Tempoh Masa yang Diberikan untuk Menjawab

8. Tidak kurang pentingnya, kita perlu memeriksa dan memastikan tempoh masa yang diberikan untuk menjawab Notis Tuntutan tersebut. Biasanya, tempoh masa ini adalah 14 hari daripada tarikh Notis Tuntutan atau tarikh penerimaan Notis.

Langkah Keempat: Mendapatkan Nasihat Perundangan

9. Adalah amat penting untuk mendapatkan nasihat perundangan dari seorang peguam yang berpengalaman mengenai hak kita, undang-undang yang berkaitan, dan seterusnya untuk menjawab Notis Tuntutan tersebut. 

Apa Akibatnya Jika Notis Tuntutan Tidak Dijawab?

10. Jika Notis Tuntutan tidak dijawab dalam tempoh masa yang diberikan, pengirim boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap kita. 

11. Menerima Notis Tuntutan boleh menjadi suatu pengalaman yang menakutkan sekiranya ianya adalah pengalaman pertama kita. Namun, dengan sedikit pengetahuan dan panduan yang tepat, kita boleh menghadapi situasi ini dengan lebih tenang. Ingatlah untuk mencari bantuan profesional secepat mungkin.

RENCANA TAMBAHAN

(a) Panduan setelah menerima Penghakiman Ingkar

(b) Panduan setelah menerima Writ Saman atau Saman Pemula

_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.