APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN APABILA MENERIMA PENGHAKIMAN INGKAR - PANDUAN PRAKTIKAL
Menerima salinan Penghakiman Ingkar atau judgment in default boleh menjadi pengalaman yang mengejutkan dan mencabar, terutama jika anda tidak memahami implikasinya. Rencana ini bertujuan memberi panduan kepada anda tentang apa yang perlu dilakukan apabila menerima salinan Penghakiman Ingkar.
Apa itu Penghakiman Ingkar?
1. Penghakiman Ingkar adalah keputusan yang dibuat oleh Mahkamah apabila pihak defendan gagal mematuhi prosedur perundangan tertentu. Ia dibahagikan kepada dua jenis:
a. Penghakiman Ingkar Kehadiran (Judgment in Default of Appearrance): Ini berlaku apabila defendan gagal memfailkan Memorandum Kehadiran dalam tempoh masa yang ditetapkan.
b. Penghakiman Ingkar Pembelaan (Judgment in default of Defence): Ini berlaku apabila defendan gagal memfailkan Pembelaan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Kenapa Seseorang Menerima Salinan Penghakiman Ingkar?
2. Apabila seseorang kita gagal memfailkan kehadiran atau pembelaan di dalam jangka masa tertentu, Plaintif akan memperolehi sesalinan Penghakiman Ingkar terhadap kita.
3. Jadi apabila kita telah diserahkan dengan sesalinan Penghakiman Ingkar maka ketahuilah bahawa ianya disebabkan oleh kegagalan untuk mematuhi beberapa prosedur penting dalam proses litigasi, seperti yang disebutkan sebelum ini.
Langkah Pertama: Membaca dan Memahami Kandungan Penghakiman
4. Apabila menerima salinan Penghakiman Ingkar, langkah pertama adalah membaca dan memahami apa yang telah dihakimkan dan diputuskan oleh Mahkamah terhadap kita.
Langkah Kedua: Pastikan Ketepatan Butir-Butir Defendan
5. Langkah kedua adalah memastikan butir-butir tentang kita adalah tepat. Kesilapan dalam detail ini boleh menjadi alasan untuk mengenepikan Penghakiman Ingkar.
Langkah Ketiga: Pastikan Tempoh Masa yang Diberikan untuk Mematuhi Penghakiman dan Tarikh Penyerahan Penghakiman.
6. Langkah ketiga adalah memastikan kita ambil maklum tempoh masa yang diberikan untuk mematuhi Penghakiman tersebut.
7. Tidak kurang pentingnya adalah mengambil maklum tarikh tepat bila Penghakiman tersebut diterima oleh kita. Butiran ini penting untuk proses pengenepian Penghakiman (setting aside of judgment) kelak.
Langkah Keempat: Mendapatkan Nasihat Perundangan
8. Langkah keempat adalah mendapatkan nasihat perundangan dengan kadar segera. Peguam anda boleh membantu anda memahami hak dan pilihan anda, termasuk potensi untuk mengenepikan (set aside) Penghakiman Ingkar, jika memungkinkan dan perlu.
Apa yang Berlaku jika Penghakiman Ingkar Tidak Dipatuhi atau Diketepikan?
9. Jika Penghakiman Ingkar tidak dipatuhi atau diketepikan, plaintif boleh mengambil langkah-langkah untuk melaksanakan atau menguatkuasakan Penghakiman tersebut, samada melalui prosiding kebankrapan, prosiding penggulungan syarikat, writ sita dan jual, saman penghutang penghakiman, atau prosiding garnisi.
RENCANA TAMBAHAN
(a) Panduan setelah menerima Writ Saman atau Saman Pemula
(b) Panduan setelah menerima Notis Tuntutan
_________________________
Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.