5 JENIS KONTRAK TIDAK SAH DI MALAYSIA YANG PERLU ANDA ELAK BERDASARKAN AKTA KONTRAK 1950
Pernahkah anda terfikir tentang keesahan (legality) sesuatu kontrak atau perjanjian dalam konteks undang-undang Malaysia?
Artikel ini akan menerangkan mengenai kontrak-kontrak yang dianggap tidak sah menurut Seksyen 24 Akta Kontrak 1950 dan memberi panduan mudah untuk memahami undang-undang yang berkaitan dengan perkara ini.
1. Kontrak merupakan perjanjian yang lazimnya bertulis di sisi undang-undang di antara dua atau lebih pihak yang mempunyai kewajipan yang boleh dikuatkuasakan oleh mahkamah.
2. Kontrak juga secara lazimnya adalah asas bagi pelbagai transaksi peribadi dan profesional dalam kehidupan seharian kita, seperti jual beli harta, perkhidmatan, pekerjaan, dan banyak lagi.
3. Oleh itu, adalah penting untuk kita memahami jenis kontrak yang dianggap tidak sah oleh mahkamah.
(a) Kontrak yang dilarang oleh undang-undang (forbidden by a law)
4. Kontrak yang melanggar undang-undang adalah tidak sah. Contohnya, perjanjian atau kontrak untuk menjual dadah atau barangan yang dicuri. Kontrak sebegini adalah dilarang oleh undang-undang dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh mahkamah.
(b) Kontrak yang akan mengalahkan undang-undang jika dibenarkan (it is of such a nature that, if permitted, it would defeat any law)
5. Kontrak yang bersifat sedemikian rupa sehingga jika dibenarkan akan mengalahkan tujuan undang-undang (defeats the purpose of the law) juga dianggap tidak sah.
6. Sebagai contoh, perjanjian yang mengecualikan seseorang daripada tanggungjawab ke atas kesalahan jenayah adalah tidak sah kerana ia bertentangan dengan prinsip undang-undang.
(c) Kontrak yang bersifat penipuan (fraudulent)
7. Kontrak yang melibatkan penipuan juga dianggap tidak sah. Penipuan boleh berlaku dalam bentuk pemalsuan dokumen, penipuan identiti, atau mengelirukan pihak lain.
8. Kontrak yang melibatkan penipuan sebegini tidak boleh dikuatkuasakan oleh mahkamah dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang melakukan penipuan.
(d) Kontrak yang melibatkan perbuatan mencederakan kepada orang atau harta benda orang lain (it involves or implies injury to the person or property of another)
9. Kontrak yang melibatkan perbuatan mencederakan orang atau harta benda orang lain juga dianggap tidak sah.
10. Sebagai contoh, perjanjian untuk menyewa pembunuh upahan adalah tidak sah kerana ia melibatkan kecederaan kepada orang lain.
11. Kontrak yang melibatkan vandalisme atau pencemaran harta benda orang lain juga dianggap tidak sah.
(e) Kontrak yang dianggap tidak bermoral atau bertentangan dengan dasar awam oleh mahkamah (the court regards it as immoral, or opposed to public policy. In each of the above cases, the consideration or object of an agreement is said to be unlawful. Every agreement of which the object or consideration is unlawful is void)
12. Akhir sekali, kontrak yang dianggap tidak bermoral atau bertentangan dengan dasar awam oleh mahkamah juga dianggap tidak sah.
13. Contohnya, perjanjian yang melibatkan eksploitasi pekerja, pelacuran, atau perjudian adalah dianggap tidak bermoral dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh mahkamah.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN SEKIRANYA ANDA MENDAPATI KONTRAK TIDAK SAH (ILLEGAL CONTRACT)?
14. Sekiranya anda terbabit dalam kontrak yang tidak sah (illegal), berikut adalah beberapa langkah tindakan yang boleh diambil:
a. Bincang dengan pihak lawan: Jika anda menyedari bahawa kontrak yang anda tandatangani adalah tidak sah, berbincanglah dengan pihak lawan untuk mencuba menyelesaikan isu tersebut secara aman dan adil. Mungkin anda boleh mencadangkan untuk mengubah beberapa syarat kontrak atau menamatkan kontrak dengan persetujuan kedua-dua pihak.
b. Rujuk kepada peguam: Jika perbincangan dengan pihak lawan tidak menghasilkan penyelesaian yang memuaskan, anda disarankan untuk merujuk kepada peguam yang berpengalaman dalam undang-undang kontrak. Peguam akan memberi nasihat mengenai hak dan tindakan undang-undang yang boleh diambil.
c. Tuntutan mahkamah: Jika tidak ada penyelesaian yang dicapai secara sukarela, anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak lawan. Walau bagaimanapun, ingatlah bahawa mahkamah tidak akan menguatkuasakan kontrak yang tidak sah. Sebaliknya, tuntutan anda mungkin berdasarkan pembatalan kontrak, penipuan, atau sebarang tindakan lain yang relevan menurut undang-undang.
d. Membuat aduan kepada pihak berkuasa: Jika kontrak tersebut melibatkan aktiviti yang jelas melanggar undang-undang seperti penipuan, jualan barangan haram atau aktiviti yang tidak bermoral, anda boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa yang berkenaan seperti polis atau agensi penguatkuasaan undang-undang lain.
15. Dengan memahami jenis kontrak yang tidak sah dan langkah tindakan yang boleh diambil, anda akan lebih bersedia untuk melindungi diri daripada masalah undang-undang dan memastikan kontrak yang anda tandatangani adalah sah dan dapat dikuatkuasakan.
16. Jangan ragu untuk mencari nasihat peguam jika anda tidak pasti tentang kesahihan kontrak atau jika anda menghadapi sebarang masalah berkaitan dengan kontrak yang tidak sah.
_________________________
Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.