Dalam dunia pertikaian undang-undang, Notis Tuntutan (Notice of Demand), atau yang juga dikenali sebagai Surat Tuntutan (Letter of Demand), boleh menjadi alat yang penting dan kos-efektif dalam menyelesaikan konflik sebelum konflik atau pertikaian itu dibawa ke mahkamah.
Artikel ini akan menggariskan beberapa kepentingan Notis Tuntutan yang wajar dipertimbangkan sebelum memfailkan sebarang tindakan undang-undang di mahkamah.
MERINGANKAN BEBAN KOS SAMAN
1. Memulakan tindakan saman boleh menjadi proses yang sangat mahal dan memakan masa. Oleh itu faktor ini tidak harus diambil dengan mudah.
2. Notis Tuntutan berfungsi sebagai langkah awal bagi membolehkan pihak-pihak menyelesaikan pertikaian mereka tanpa menanggung kos undang-undang yang tinggi.
3. Dalam banyak kes, surat yang disusun dengan baik lazimnya akan dapat meyakinkan pihak yang lain untuk mematuhi tuntutan yang dinyatakan, sehingga mengelakkan keperluan untuk memfailkan saman dan seterusnya menanggung kos litigasi yang mahal.
4. Sebagai contoh, katakan seorang penyewa gagal membayar sewa selama tiga bulan berturut-turut. Dengan mengeluarkan Notis Tuntutan, tuan rumah mungkin akan mendapat pembayaran sewa tertunggak tersebut tanpa perlu campur tangan mahkamah. Jadi ianya menjimatkan beban kewangan yang berkaitan dengan prosiding undang-undang untuk kedua-dua pihak.
MENJIMATKAN MASA
5. Proses sesuatu prosiding Mahkamah boleh mengambil masa berbulan-bulan, bahkan dalam kes tertentu yang kompleks, hingga bertahun-tahun sebelum mendapat keputusan.
6. Ianya boleh menyebabkan tekanan dan kesulitan kepada kedua-dua pihak.
7. Dengan mengeluarkan Notis Tuntutan, potensi dan kemungkinan untuk mencapai penyelesaian adalah lebih cepat, tanpa perlu melalui prosiding mahkamah yang panjang.
8. Sebagai contoh, penyewa mungkin bersetuju untuk membayar sewa tertunggak dengan segera setelah menerima Notis Tuntutan, dan ini pastinya akan menjimatkan masa bagi kedua-dua pihak.
KATALIS KEPADA PENYELESAIAN
9. Notis Tuntutan juga berfungsi sebagai katalis atau punca atau langkah pertama untuk rundingan dan penyelesaian.
10. Ia membuka pintu komunikasi antara pihak-pihak yang bertelagah, membolehkan mereka untuk membincangkan pertikaian yang di alami dan seterusnya boleh menjurus kepada potensi untuk mencapai satu resolusi atau penyelesaian yang boleh diterima secara bersama.
11. Dalam contoh pertikaian sewa, penyewa mungkin mencadangkan pelan pembayaran atau rundingan jumlah yang dikurangkan untuk menyelesaikan perkara secara aman, tanpa perlu campur tangan mahkamah. Sekiranya cadangan tersebut diterima oleh tuan rumah, maka pertikaian dapat diselesaikan dengan mudah tanpa perlu ianya dibawa ke Mahkamah.
PRASYARAT YANG PERLU DIPENUHI
12. Di beberapa kes, mengeluarkan Notis Tuntutan merupakan pra-syarat sebelum tindakan sivil tertentu boleh dimulakan.
13. Pra-syarat seperti ini lazimnya terkandung di dalam kontrak-kontrak atau perjanjian-perjanjian tertentu.
14. Prasyarat ini memastikan bahawa pihak-pihak yang berkontrak telah mencuba menyelesaikan pertikaian mereka di luar mahkamah sebelum mencari campur tangan kehakiman melalui tindakan saman.
15. Kegagalan memenuhi pra-syarat ini boleh menyebab sesuatu tindakan saman di tolak kerana dianggap sebagai pra-matang (premature).
MEMELIHARA HUBUNGAN BAIK
16. Litigasi mahkamah boleh menyebabkan keluarga atau kenalan, berantakan, bermusuhan dan boleh menyebabkan hubungan retak hingga tidak dapat diperbaiki antara pihak-pihak yang terlibat.
17. Mengeluarkan Notis Tuntutan boleh memberikan peluang kepada pihak-pihak untuk menyelesaikan pertikaian mereka secara aman, menjaga hubungan yang mungkin boleh rosak disebabkan oleh pertelagahan di Mahkamah.
18. Sebagai contoh, jika tuan rumah dan penyewa dapat menyelesaikan pertikaian sewa melalui proses Notis Tuntutan, mereka mungkin dapat mengekalkan hubungan tuan rumah-penyewa yang positif pada masa akan datang.
_________________________
Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.