Rencana ini akan membincangkan secara ringkas dan mudah berkenaan dengan pampasan atau gantirugi fitnah yang boleh dituntut melalui saman malu atau saman fitnah dan juga faktor-faktor yang diambil kira sebelum Mahkamah menentukan amaun pampasan atau gantirugi fitnah yang akan diberikan sekiranya anda berjaya di dalam tindakan anda dan juga persoalan samada masih terdapatkah jumlah pampasan fitnah dengan nilai jutaan ringgit.
APA ITU PAMPASAN ATAU GANTIRUGI FITNAH?
1. Pampasan (compensation) atau gantirugi (damages) fitnah secara lazimnya adalah amaun pampasan dalam bentuk wang ringgit, yang perlu dibayar oleh orang yang memfitnah kepada anda.
2. Mahkamah akan memberikan penghakiman berkenaan dengan bayaran pampasan atau gantirugi ini hanya selepas anda memenangi kes anda di Mahkamah.
3. Namun begitu, maruah, air muka atau reputasi bukanlah sesuatu yang boleh diberikan anggaran nilai di dalam bentuk wang ringgit.
4. Oleh sebab itu, Mahkamah akan menggunakan budibicaranya untuk membuat sebaik-baik penilaian dengan melihat kepada beberapa faktor sebelum memutuskan jumlah pampasan atau gantirugi yang akan anda diterima.
FAKTOR MENENTUKAN JUMLAH PAMPASAN ATAU GANTIRUGI FITNAH
5. Di antara Faktor-faktor yang akan diambil kira oleh Mahkamah di dalam menentukan amaun gantirugi fitnah adalah termasuk seperti berikut:
(i) KEDUDUKAN - Apakah kedudukan atau status anda di dalam tangga sosial masyarakat setempat? Lebih tinggi kedudukan anda di dalam masyarakat, maka lebih besarlah kesan dan impak sesuatu fitnah itu terhadap anda. Contoh: Pemimpin masyarakat berbanding orang awam.
(ii) TAHAP KESERIUSAN - Apakah tahap keseriusan atau graviti kenyataan fitnah yang dibuat terhadap anda? Lebih serius tuduhan fitnah yang dibuat maka lebih besar kesannya terhadap anda. Contoh: Tuduhan membunuh berbanding tuduhan
(iii) SKOP PENYEBARAN - Sebesar manakah skop kenyataan fitnah itu telah disebarkan? Sekiranya lebih luas atau lebih ramai orang dapat membaca kenyataan fitnah tersebut maka lebih tinggilah pampasan yang akan diperolehi. Contoh: Fitnah secara terbuka di facebook berbanding fitnah yang disebar hanya kepada beberapa orang.
(iv) KELAKUAN - Mahkamah juga akan menilai kelakuan pemfitnah dan juga orang yang memfitnah sewaktu proses bicara dijalankan. Contoh: Pemfitnah yang angkuh berbanding pemfitnah yang menunjukkan kekesalan.
(v) PERMOHONAN MAAF - Permohonan maaf daripada Pemfitnah adalah faktor penting di dalam mengurangkan jumlah pampasan atau gantirugi saman malu.
6. Terdapat beberapa faktor yang lazimnya akan dinilai oleh Mahkamah dan faktor-faktor yang dinyatakan disini bukanlah bersifat tetap. Mahkamah boleh dan bebas menggunakan apa-apa cara atau formula yang berbeza dan sesuai daripada satu kes ke satu kes yang lain.
PAMPASAN ATAU GANTIRUGI 7 ANGKA (JUTA)
7. Kadang kala kita kerap mendengar tentang saman-saman fitnah yang menuntut pampasan atau gantirugi dengan amaun jutaan ringgit.
8. Adakah realiti atau keadaan sebenarnya begitu? Adakah Mahkamah akan memberikan gantirugi sebanyak jutaan ringgit sekiranya anda memenangi sesuatu kes saman malu?
9. Sebenarnya trend Mahkamah memberi dan membenarkan jumlah pampasan bagi sesuatu kes fitnah yang mencecah angka jutaan ringgit ini sudah lama tidak dipraktik dan di amalkan di Mahkamah Malaysia.
10. Ianya mungkin trend yang popular dan kerap berlaku di awal era 90an ke pertengahan 90an. Namun selepas daripada era tersebut, Mahkamah tidak lagi memberikan pampasan atau gantirugi fitnah yang hingga mencecah jutaan ringgit.
11. Malah, sekarang anda tidak lagi dibenarkan meletakkan nilai tertentu untuk jumlah pampasan atau gantirugi am yang anda ingin tuntut di dalam Writ anda.
12. Gantirugi ini hanya akan ditentukan oleh Mahkamah.
_________________________
Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej dibawah.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.