MELAWAN SAMAN FITNAH
Apabila anda didapati menyebarkan kenyataan-kenyataan fitnah atau yang boleh difahami sebagai fitnah kepada pihak ketiga, orang yang anda fitnah itu boleh memfailkan Saman Malu terhadap anda. Bagaimana cara untuk melawan Saman Malu atau Fitnah? Bagaimanakah keadaan dimana sesuatu kenyataan tidak dianggap sebagai fitnah? Adakah fitnah boleh dibela?
1. Terdapat pelbagai cara untuk melawan saman malu di Mahkamah. Salah satu daripada cara-cara yang popular dan sering digunakan oleh para peguam untuk mencabar Saman Fitnah adalah dengan menggunakan pembelaan-pembelaan terhadap fitnah (defences to defamation).
2. Sebahagian daripada pembelaan-pembelaan, ada yang dikenali sebagai pembelaan berkanun (statutory defences) dimana undang-undang mempunyai peruntukan khusus untuk pembelaan-pembelaan fitnah tersebut.
3. Sebahagian lagi dikenali sebagai pembelaan-pembelaan yang diputuskan dan diterima pakai oleh Mahkamah. Pembelaan-pembelaan sebegini lazimnya diambil daripada keputusan kes-kes yang berkaitan.
MEMBELA FITNAH (DEFENCES TO DEFAMATION)
4. Membela fitnah dan melawan saman fitnah itu tidaklah beerti seseorang peguam itu menerima dan menyokong perbuatan tersebut.
5. Ini adalah kerana terdapat keadaan-keadaan di mana sesuatu kenyataan itu kelihatan seolah-olah seperti fitnah, tetapi di sisi undang-undang, ianya tidak dianggap sebagai fitnah.
6. Keadaan-keadaan ini dikenali sebagai pembelaan - pembelaan bagi fitnah (defences to defamation).
7. Adalah menjadi kelaziman untuk pembelaan-pembelaan ini digunakan oleh Defendan-Defendan di Mahkamah untuk mencabar tindakan saman fitnah yang difailkan terhadap mereka.
ULASAN YANG ADIL (FAIR COMMENT)
8. Akta Fitnah 1957 memperuntukkan bahawa sesuatu pendapat yang dikeluarkan terhadap seseorang itu tidak akan dianggap sebagai fitnah sekiranya ianya adalah suatu ulasan atau pendapat yang adil.
9. Lebih-lebih lagi sekiranya ia adalah merupakan suatu ulasan berbentuk pendapat (opinion) tentang suatu kenyataan fakta dan dilakukan untuk kepentingan orang ramai.
10. Untuk menggunakan pembelaan ini, diantara ramuan dan syarat penting yang perlu dipenuhi (selain syarat-syarat lain) adalah ketiadaan sebarang niat jahat (malice) dan sesuatu yang diulas itu sendiri adalah fakta benar dan tepat (true and accurate facts).
11. Apa yang akan berlaku sekiranya orang yang menyaman anda dapat membuktikan anda mempunyai niat jahat atau anda gagal membuktikan perkara yang anda ulas itu tidak benar? Pembelaan ulasan yang adil akan gagal.
JUSTIFIKASI (JUSTIFICATION)
12. Akta Fitnah 1959 juga memperuntukan bahawa kenyataan yang dibuat terhadap seseorang itu tidak akan dianggap sebagai fitnah sekiranya kenyataan tersebut adalah benar.
13. Fitnah adalah suatu tuduhan yang tidak benar terhadap seseorang. Namun sekiranya tuduhan yang dibuat itu dapat dibuktikan sebagai benar, maka tuduhan tersebut tidak akan dianggap sebagai fitnah. Ini dikenali sebagai Justifikasi (justification).
14. Terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi sebelum anda boleh bergantung kepada pembelaan justifikasi ini namun ramuan yang paling penting adalah kebenaran sesuatu tuduhan itu.
15. Siapa yang perlu membuktikan kebenaran sesuatu tuduhan itu? Sudah pastinya anda iaitu orang yang menuduh. Sekiranya gagal membuktikan kebenaran tuduhan anda, maka pembelaan justifikasi akan gagal.
TIDAK SENGAJA MEMFITNAH (UNINTENTIONAL DEFAMATION)
16. Di dalam Akta juga memperuntukkan bahawa apa-apa kenyataan yang dibuat terhadap seseorang itu tidak di anggap sebagai fitnah, sekiranya ianya berlaku secara tidak sengaja (unitentional).
17. Lazimnya pembelaan seperti ini terpakai kepada penerbit-penerbit bahan bercetak seperti buku, majalah dan akhbar.
...Bersambung ke Bahagian 2
________________________
Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.