>

PENJELASAN LANJUT TENTANG SAMAN MALU

saman malu, peguam fitnah

PENJELASAN LANJUT TENTANG SAMAN MALU

Adakah kita boleh memfailkan saman malu sekiranya pemfitnah telah menurunkan atau memadam kenyataan fitnah? Bagaimana pula sekiranya pemfitnah membuat permohonan maaf? Apa yang akan berlaku sekiranya kenyataan fitnah itu dituju terus kepada anda atau disebarkan oleh anda sendiri kepada pihak ketiga? Ini adalah soalan-soalan sampingan yang sering ditanya kepada peguam kes fitnah. 

SYARAT-SYARAT SAMAN MALU

1. Sepertimana yang kerap kali kita baca di dalam berbelas-belas rencana tentang Saman Fitnah di norhafeezlaw.com, terdapat elemen-elemen atau dalam bahasa mudahnya, syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum orang yang difitnah dianggap mempunyai kes yang kukuh dalam Saman Fitnah.

2. Oleh yang demikian, di dalam sesuatu kes Saman Fitnah, Mahkamah akan menilai keterangan dan hujahan dari kedua-dua belah pihak secara judicial appreciation of evidence dan akan membincangkannya dari sudut elemen-elemen atau syarat-syarat yang perlu dibuktikan.

3. Di dalam membuat penilaian dan penganalisaan, Mahkamah akan berpandukan kepada prinsip undang-undang yang diputuskan oleh otoriti-otoriti tersohor untuk membuat dapatan sewajarnya.

4. Di dalam kes Syed Husin Ali v. Sharikat Penchetakan Utusan Melayu Berhad & Anor. [1973] 2 MLJ 56 diputuskan bahawa adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa di dalam kes fitnah, Plaintif perlu membuktikan 3 elemen atau syarat seperti berikut:

a. Kata-kata/pernyataan yang diadukan seperti mana yang diterbitkan adalah satu kata-kata fitnah atau bersifat memfitnah terhadap orang yang difitnah;

b. Kata-kata/pernyataan fitnah tersebut merujuk kepada orang yang difitnah;

c. Terdapat penerbitan terhadap orang yang difitnah.

5. Sekiranya kesemua syarat-syarat ini dipenuhi maka orang yang difitnah mempunyai peluang yang baik untuk mendapatkan pampasan dan gantirugi.
 
6. Namun disana terdapat persoalan-persoalan sampingan yang kerap diajukan kepada peguam-peguam yang mengendalikan kes-kes saman fitnah. Apakah persoalan-persoalan tersebut dan apakah pula jawapan-jawapannya?

Adakah orang yang difitnah masih boleh memfailkan saman sekiranya Pemfitnah telah menurunkan kenyataan fiitnah tersebut?

7. Adalah menjadi kebiasaan kepada pemfitnah untuk menurunkan atau memadam kenyataan-kenyataan yang mempunyai unsur fitnah selepas menerima Notis Tuntutan daripada peguam.

8. Lebih-lebih di dalam era media sosial yang membolehkan apa-apa kandungan yang di muat naik oleh seseorang itu, diturunkan, dihapuskan atau dipadam dengan tujuan kononnya untuk menghapuskan bukti.

9. Jadi, adakah tindakan memadam kenyataan itu akan menyelematkan pemfitnah daripada disaman?

10. Jawapannya tidak. Walaupun kenyataan tersebut dipadam, ianya tidak akan menyelamatkan pemfitnah daripada disaman. Pemfitnah masih boleh di saman di Mahkamah.

11. Oleh sebab itu, peguam-peguam lazimnya akan menyarankan agar tangkapan skrin dibuat serta-merta apabila orang yang difitnah mendapati terdapat kenyataan fitnah dibuat terhadap orang yang difitnah.

Adakah orang yang difitnah masih boleh memfailkan saman sekiranya pemfitnah itu membuat permohonan maaf?


12. Sudah menjadi kebiasaan juga, pemfitnah, setelah menerima Notis Tuntutan Peguam berkenaan dengan perbuatan fitnah beliau, akan memohon maaf kepada orang yang difitnah.

13. Persoalan yang sering ditanya adalah; adakah permohonan maaf ini akan menyelamatkan pemfitnah daripada di saman di Mahkamah?

14. Jawapannya, ia bergantung kepada orang yang difitnah. Sekiranya beliau menerima permohonan maaf tersebut dan tidak meneruskan dengan tindakan, maka perkara tersebut dianggap selesai.

15. Namun jika orang yang difitnah enggan menerima permohonan maaf daripada pemfitnah, maka orang yang difitnah tersebut berhak untuk meneruskan tindakan saman terhadap pemfitnah.

16. Adakah ini bermakna si pemfitnah patut merasakan beliau tidak perlu membuat permohonan maaf di atas alasan sekiranya permohonan maaf dibuat sekalipun, pemfitnah masih akan di saman?

17. Jawapannya, pemfitnah tetap disarankan untuk membuat permohonan maaf kerana ini akan menjadi faktor yang akan dinilai oleh Mahkamah untuk mengurangkan (mitigate) jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh pemfitnah. 

18. Ini adalah kerana Akta Fitnah 1957 mempunyai peruntukan khusus untuk permohonan maaf yang dilakukan oleh pemfitnah selepas beliau diheret ke Mahkamah.

Sekiranya tuduhan bersifat fitnah dibuat secara terus kepada orang yang difitnah dan tidak disebarkan kepada orang, adakah orang yang difitnah boleh memfailkan tindakan terhadap pemfitnah?

19. Kadangkala orang yang difitnah menerima mesej secara terus daripada pemfitnah dimana mesej-mesej peribadi tersebut mengandungi kata-kata berunsur fitnah.

20. Mesej-mesej peribadi ini mungkin dibuat secara terus kepada orang yang difitnah melalui mesej whatsapp, facebook, DM instagram dan seumpanya. Adakah orang yang difitnah boleh memfailkan Saman Malu terhadap pemfitnah?

21. Jawapannya, tidak boleh. Kerana diantara tiga syarat utama untuk berjaya dalam Saman Malu adalah kenyataan fitnah itu hendaklah disebarkan kepada orang lain atau pihak ketiga. 

22. Oleh yang demikian, sekiranya kenyataan tersebut dibuat secara terus kepada orang yang difitnah, maka syarat penyebaran ini tidak akan dapat dipenuhi dan keadaan ini mungkin akan mengagalkan tindakan di Mahkamah.

23. Apakah alternatifnya? Alternatifnya, orang yang difitnah boleh membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

penjelasan lanjut tentang saman malu


Bagaimana pula sekiranya kenyataan itu dikongsi atau disebarkan oleh orang yang difitnah itu sendiri? Adakah ianya dianggap sebagai penyebaran disisi undang-undang fitnah?

24. Sepertimana yang kita sedia maklum, syarat Saman Malu adalah kenyataan fitnah itu hendaklah disebarkan kepada pihak ketiga. 

25. Namun penyebaran kepada pihak ketiga itu hendaklah dilakukan oleh siapa, sebelum orang yang difitnah boleh mengambil tindakan? Jawapannya, penyebaran itu hendaklah dibuktikan dilakukan oleh pemfitnah.

26. Sekiranya penyebaran itu dilakukan oleh orang yang difitnah itu sendiri, untuk apa alasan sekalipun, syarat penyebaran akan dianggap sebagai gagal. 

Sekiranya penyebaran kenyataan fitnah berlaku namun kepada jumlah yang terhad, adakah ianya akan menyelamatkan pemfitnah daripada di saman?

27. Kadang-kadang si pemfitnah akan menggunakan alasan bahawa tiada orang yang membaca kenyataan fitnah beliau yang dimuat naik di media sosial.

28. Ataupun alasan bahawa tidak ramai orang yang membaca kenyataan tersebut di media sosial. Adakah ini akan menyelamatkan pemfitnah daripada di saman?

29. Jawapannya tidak. Pemfitnah tetap boleh dikenakan tindakan saman oleh orang yang difitnah.

30. Oleh sebab itu kami di norhafeezlaw.com sentiasa menyarankan masyarakat awam agar senantiasa berhati-hati dalam memuatnaik, membuat ulasan (comment) atau menyiar semula (share) apa-apa di media sosial.

31. Suka untuk kami ungkapkan disini dapatan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi di dalam kes Veerasingam a/l Ratnam & Anor v Narindar Singh a/l Avtar Singh Chhabra [2021] MLJU 1425 yang telah memutuskan seperti berikut:

Being an online posting on the internet, I am of the opinion that publication of the FB Post to third parties can be presumed. This is due to the global reach of the internet. The online posting is easily accessible worldwide, assuming the Facebook account is public or open. Even if the Facebook account is private and restricted to ‘friends’, the fact remains that such ‘friends’ can see the online posting. Moreover, online postings are capable of being forwarded and shared. They can remain in posterity in the virtual space.

32. Suatu kenyataan di dalam Facebook (atau media sosial) boleh dianggap sebagai disebarkan. Ini adalah kerana capaian internet yang menyeluruh secara global. Posting atas talian amatlah mudah diakses keseluruh dunia sekiranya ia bersifat umum atau terbuka. Sekiranya akaun Facebook tersebut dihadkan kepada rakan talian sekalipun, rakan talian tersebut tetap boleh membaca posting tersebut. Apatah lagi Posting Facebook boleh di forward dan dikongsi dengan mudah. Ianya juga akan kekal selamanya di alam maya.

norhafeezlaw.com



penghakiman ingkar

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut. 

 

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.