APA ITU LATENT DEFECTS DAN PATENT DEFECTS
Apa itu Latent Defects atau Kerosakan dan Kecacatan Tersembunyi pada sesuatu bangunan? Apakah pula perbezaan di antara Latent Defects dengan Patent Defects atau Kerosakan dan Kecacatan Nyata pada sesuatu bangunan? Apakah hak yang ada pemilik bangunan apabila berhadapan dengan isu-isu Latent Defects dan Patent Defects?
LATENT DEFECTS
1. Sepertimana yang kita semua sedia maklum melalui rencana ringkas kami tentang Latent Defects sebelum ini, pindaan kepada seksyen 6 Akta Had Masa telah memperkenalkan kausa tindakan untuk Latent Defects melalui seksyen 6A Akta Had Masa.
2. Secara mudahnya, pemilik unit bangunan berhak untuk mengambil tindakan saman ke atas Pemaju untuk kerosakan dan kecacatan yang bersifat Latent atau tersembunyi.
3. Namun begitu, kerosakan yang bagaimanakah yang boleh diertikan sebagai Latent Defects atau kerosakan dan kecacatan yang tersembunyi ini?
4. Latent Defects adalah kerosakan dan kecacatan pada bangunan yang tidak kelihatan atau tidak apparent sewaktu ianya mula-mula diperiksa (initial inspection).
5. Lazimnya ia berpunca daripada kecuaian-kecuaian atau kelemahan-kelemahan yang dilakukan pemaju sewaktu proses pembinaan sedang dijalankan.
6. Kecuaian atau kelemahan ini boleh berpunca daripada kualiti bahan-bahan binaan (material) yang digunakan atau kualiti hasil kerja pembinaan (workmanship) itu sendiri.
7. Bila selalunya Latent Defects ini akan mula nampak kelihatan atau mula menjadi ketara dan apparent?
8. Selalunya ianya akan menjadi jelas dan mula kelihatan selepas beberapa tempoh masa yang agak lama.
9. Bahkan, sesuatu Latent Defects boleh mula kelihatan selepas tempoh lima atau enam tahun selepas pemilik mendiami bangunan tersebut.
10. Apakah terdapat tempoh had masa untuk pemilik mengambil tindakan terhadap pemaju untuk Latent Defects? Jawapannya ya, ada.
11. Pemilik hendaklah mengambil tindakan terhadap pemaju di dalam tempoh tiga (3) tahun daripada tarikh kali pertama pemilik tersebut menemui Latent Defects tersebut.
12. Pemilik juga hanya boleh mengambil tindakan terhadap pemaju sekiranya kerosakan latent defects tersebut berusia tidak lebih daripada lima belas (15) tahun daripada tarikh kerosakan itu dikenalpasti bermula.
13. Tarikh kerosakan ditemui adalah tarikh pemilik pertama menemui kerosakan. Tarikh mula kerosakan adalah tarikh yang dikenal pasti oleh building inspector kerosakan mula berlaku.
PATENT DEFECTS
14. Apa pula kerosakan yang dikenali sebagai Patent Defects?
15. Berbeza dengan Latent Defects yang bersifat tersembunyi, Patent Defects pula adalah kerosakan-kerosakan pada bangunan yang jelas kelihatan sewaktu kali pertama bangunan tersebut diperiksa.
16. Kerosakan-kerosakan Patent Defects ini adalah lebih mudah dikenal pasti kerana ianya tidak bersifat pendam atau tersembunyi.
17. Secara lazimnya undang-undang memperuntukkan hak kepada pemilik untuk membuat laporan berkenaan dengan sesuatu Patent Defect di dalam tempoh masa dua (2) tahun.
18. Di dalam tempoh ini, Pemaju yang menerima aduan kerosakan, bertanggung jawab untuk memperbaiki kerosakan-kerosakan ini tanpa sebarang kos kepada pemilik. Tempoh ini dikenali sebagai Defect Liability Period.
19. Selepas daripada tamatnya tempoh Defect Liability Period ini, apa-apa kerosakan Patent adalah dibawah tanggungjawab pemilik itu sendiri.
20. Contoh-contoh Patent Defects adalah jubin yang tertanggal, cat dinding yang merekah dan siling atau slab yang tertanggal.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.