Didalam Siri Soal Jawab Peguam ini, saya akan cuba menghimpunkan soalan-soalan lazim kepada peguam yang kerap ditanya kepada saya berkenaan dengan pelbagai jenis isu, terutamanya isu-isu mengenai undang-undang dan juga proses mengaplikasikan sesuatu undang-undang. Saya berharap agar pembaca sekalian mendapat manfaat daripada perkongsian ini.
MELANTIK PEGUAM
1. Bukan semua orang awam tahu atau ambil tahu tentang hak-hak mereka disisi undang-undang. Ya lah, orang awam tidak menghabiskan masa mereka berfikir dan membaca tentang undang-undang sehinggalah terdapatnya keperluan untuk mendapatkan maklumat.
2. Keperluan tersebut mungkin disebabkan anda kena saman atau anda ingin menyaman seseorang. Ataupun kerana anda inginkan kepastian tentang peruntukan sesuatu undang-undang tentang kedudukan anda.
3. Tidak kira lah apa pun faktornya. Hakikatnya, adalah normal untuk kita ingin mendapatkan sesuatu maklumat apabila keperluan untuk mendapatkan maklumat itu timbul. Untuk undang-undang, disitulah para peguam memainkan peranan.
4. Secara santai, saya kumpulkan disini, soalan-soalan lazim berkenaan dengan perlantikan peguam.
1. Apa fungsi Peguam?
Secara mudahnya, fungsi peguam adalah untuk memberikan bantuan berkenaan dengan apa sahaja yang berkaitan dengan undang-undang, baik dari segi mendapatkan penjelasan atau nasihat berkenaan dengan undang-undang (legal advice) dan juga untuk mewakili anda (representation) dalam sesuatu kes atau prosiding di dalam Mahkamah, Tribunal, Mediasi atau Arbitrasi. Selain itu, peguam juga boleh berfungsi sebagai jururunding, konsultan atau dilantik sebagai orang tengah untuk apa-apa proses rundingan,
2. Bagaimanakah cara untuk mencari peguam?
Sekiranya anda tidak mempunyai pengalaman berurusan dengan peguam, anda boleh boleh mula dengan mencari peguam yang berdekatan dengan anda melalui enjin carian google.
Anda boleh guna kata kunci "peguam + lokasi anda" sekiranya anda berhasrat untuk mencari peguam yang berdekatan. Contoh: Peguam Cheras Baru atau Peguam Sri Gombak.
Sekiranya anda ingin mendapatkan peguam yang khusus untuk sesuatu kes, anda boleh guna kata kunci "peguam + jenis kes". Contoh: Peguam Saman Malu atau Peguam Latent Defects.
Sekiranya carian google tidak membantu, anda juga boleh mencari firma-firma guaman melalui legal directory laman web Majlis Peguam.
3. Apakah kriteria yang saya perlu ambil kira sebelum melantik peguam?
Kriteria utama yang perlu anda ambil kira sebelum melantik peguam adalah pengalaman peguam tersebut dalam mengendalikan kes-kes seperti kes anda.
Contohnya, sekiranya anda ingin mendapatkan peguam untuk tuntutan hutang, maka anda perlu ambil kira pengalaman peguam tersebut dalam mengendalikan kes-kes tuntutan hutang.
Sekiranya anda yakin dan selesa dengan peguam tersebut, maka anda bolehlah melantik peguam itu untuk mewakili anda.
4. Bagaimanakah cara untuk melantik peguam?
Apabila anda telah bersetuju untuk melantik peguam dan bersetuju dengan kos guaman yang diberikan, maka lazimnya peguam akan meminta anda menandatangani satu dokumen perlantikan yang kebiasaannya dikenali sebagai Waran Perlantikan (Warrant to Act). Namun dokumen ini tidaklah wajib dan keperluannya bergantung dari satu peguam ke peguam yang lain.
5. Bagaimanakah cara menentukan kos peguam kes sivil?
Kos peguam secara lazimnya ditentukan oleh beberapa faktor. Di antaranya adalah jenis-jenis kes atau kausa tindakan, kerumitan sesuatu kes, bilangan dokumen yang perlu diteliti, aras mahkamah yang terlibat dan sebagainya.
Kos guaman kes-kes sivil secara umumnya tidak ditentukan oleh satu skala khusus. Ianya bergantung dari satu peguam ke satu peguam yang lain berdasarkan faktor-faktor yang disebut di atas.
Contohnya, kos peguam untuk kes saman malu adalah tidak sama untuk kes tuntut hutang. Kes saman malu yang difailkan di Mahkamah Sesyen juga tidak sama dengan kes saman malu yang difailkan di Mahkamah Tinggi.
6. Bagaimanakah cara untuk mengatur temujanji dengan peguam untuk konsultasi?
Selepas anda mendapat maklumat berkenaan dengan peguam yang ingin anda pilih, hubungi peguam tersebut dan aturkan satu tarikh untuk anda adakan sesi konsultasi dengan peguam tersebut. Sesi konsultasi ini biasanya boleh dibuat dengan menghadiri pejabat peguam atau dibuat secara online.
7. Apa fungsi sesi konsultasi dengan peguam?
Sesi konsultasi peguam adalah satu sesi dimana anda berhubung dengan peguam secara bersemuka (secara fizikal atau atas talian). Di dalam sesi ini, anda boleh menceritakan kes anda secara terperinci untuk penilaian dan penjelasan peguam. Sesi ini juga boleh digunakan sebagai platform untuk anda bertanya apa-apa soalan berkaitan dengan kes anda dan proses serta prosedur yang berkaitan.
8. Apa jenis soalan yang saya boleh tanya kepada peguam?
Soalan-soalan asas yang anda boleh kepada peguam sewaktu sesi konsultasi ini adalah berkenaan dengan status dan keadaan kes anda, apa yang persediaan yang anda perlu lakukan, tempoh masa sesuatu kes, kos peguam untuk kes anda dan proses asas sesebuah kes.
9. Adakah saya boleh menukar peguam?
Boleh. Anda boleh menukar peguam walaupun anda telah melantik beliau. Peguam baru anda akan memfailkan satu dokumen yang dinamakan Notis Penukaran Peguamcara sebelum mengambil alih kes itu daripada peguam lama anda.
10. Adakah saya boleh memfailkan Saman tanpa menggunakan peguam?
Sekiranya anda arif dan cukup mahir dengan format-format prosiding pemula, tatacara menyediakan dan pemfailan saman, syarat kandungan saman, syarat penyerahan saman, syarat afidavit-afidavit yang berkaitan, syarat dan tatacara menghadiri pengurusan kes, bicara dan keputusan, syarat pemfailan kertas-kertas kausa, syarat dan cara menyediakan hujahan bertulis, maka ya, undang-undang tidak menghalang anda untuk memfailkan Saman secara sendiri tanpa menggunakan peguam.
Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.