>

BICARA DALAM KAMAR - Episod 12 - Ingin menjadi peguam di Malaysia?

peguam malaysia, cara menjadi peguam, tips sebagai peguam

BICARA DALAM KAMAR - Episod 12

BERCITA-CITA UNTUK MENJADI PEGUAM DI MALAYSIA?

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Norhafeezlaw. Saya doakan anda semua di dalam keadaan sihat walafiat. Nama saya Hafeez dan saya merupakan peguam yang mengendalikan blog ini. Siri Bicara Dalam Kamar ini saya mulakan bagi memberi ruang untuk saya berceloteh dan berkongsi pengalaman harian saya mengendalikan kes-kes sebagai seorang peguam secara santai dan padu. Harapan saya adalah agar setiap perkongsian didalam siri ini boleh memberi sentapan, manfaat, panduan, tauladan dan sempadan kepada para pembaca.

Anda bercita-cita untuk menjadi seorang peguam? Atau anda mempunyai anak yang anda impikan untuk menyarung jubah peguam suatu hari nanti? Apakah tips yang boleh disemai sedari awal sekiranya kepeguaman adalah profesyen impian anda?

1. Terdapat pelbagai jenis peguam di Malaysia mengikut lapangan undang-undang yang dipilih. 

2. Diantaranya adalah peguam litigasi sivil, peguam litigasi jenayah, peguam konveyansing, peguam syariah, peguam korporat dan banyak lagi.

3. Namun begitu, lapangan seorang peguam tidak terhad kepada satu sahaja. Seorang peguam litigasi sivil boleh sahaja berkhidmat sebagai peguam litigasi jenayah atau konveyansing.

4. Kadangkala, ada peguam yang memilih untuk memakai kesemua topi lapangan yang ada mengikut kesesuaian kes-kes yang diuruskan oleh beliau.

5. Disini saya kongsikan serba sedikit asas-asas yang boleh disemai, dipupuk dan dibaja sekiranya anda ingin menjadikan profesyen guaman sebagai kerjaya atau anda mengimpikan salah seorang daripada anak-anak anda untuk menjadi peguam pertama dalam keluarga.

6. Asas-asas ini adalah untuk yang berminat menjadi peguam litigasi sivil sahaja. Ini adalah kerana litigasi sivil adalah lapangan saya sendiri. Setiap lapangan undang-undang mungkin mempunyai tips-tips yang berbeza. Mungkinlah. 

ASAS PERTAMA - MINAT MEMBACA

7. Membaca itu adalah jambatan ilmu. Malah peguam dengan membaca adalah regu yang tidak boleh dipisahkan.

8. Kenapa peguam perlu membaca? Kerana bahan bacaan undang-undang seperti jurnal hukum, akta-akta dan buku-buku teks adalah working tools untuk seseorang peguam.

9. Sekiranya seorang tukang kayu mempunyai tukul dan pahat sebagai working tools mereka, maka para peguam menjadikan bahan-bahan bacaan ini sebagai working tools mereka.

10. Peguam tanpa bahan bacaan adalah seperti tukang kayu tanpa tukul dan pahat. Dia hanya akan berdiri terkebil-kebil ditepi pintu tanpa tahu dan boleh berbuat apa-apa.

11. Kenapa? Kerana dengan bahan-bahan bacaan ini lah sahaja, seorang peguam, bukan sahaja boleh melengkapkan diri dengan pengetahuan berkenaan undang-undang malah melengkapkan diri dengan perkembangan undang-undang yang sentiasa berkembang dari semasa ke semasa melalui kes-kes terbaru.

12. Bahkan untuk menyediakan Hujahan-Hujahan pun seorang peguam tidak boleh lari daripada membaca kes-kes dan keputusan-keputusan di Mahkamah.

13. Saya sendiri, apabila perlu menyediakan sesuatu hujahan bahkan untuk menyediakan saman atau permohonan untuk anak guam saya, paling minima saya perlu membaca dari 10 ke 20 kes. Itu paling minima lah. 

14. Itu saya, seorang peguam kecil-kecilan dihujung bukit. Peguam-peguam lain yang jauh lebih hebat, kadang-kadang sehingga beratus-ratus kes yang mereka akan rujuk dan baca.

15. Jadi, sekiranya anda ingin menjadikan profesyen ini menyeronokkan untuk anda, semai minat membaca untuk anda atau anak-anak anda.

ASAS KEDUA - KEMAHIRAN MENGARANG

16. Yang kedua adalah kemahiran menulis dan mengarang. 

17. Kenapa seorang peguam sivil yang bagus, memerlukan kemahiran menulis dan mengarang? Kerana, selain dari membaca, tugas hakiki seorang peguam adalah untuk menulis dan mengarang.

18. Baik mengarang surat untuk anak guam, mengarang tuntutan dalam saman, mengarang hujahan-hujahan bertulis, mengarang pandangan perundangan dan mengarang blog macam saya. Haha.

19. Setiap hari, ada sahaja kerja-kerja mengarang yang perlu dilakukan.

20. Jadi, sepertimana peguam dan buku adalah regu yang tidak dapat dipisahkan, peguam dan Microsoft Word juga adalah regu yang turut tidak boleh dipisahkan.

21. Ya, bukan semua orang dianugerahkan dengan bakat untuk menulis dan mengarang dengan baik. Tapi bagi saya, ianya adalah kemahiran yang boleh dipelajari secara perlahan-lahan.

22. Saya kongsikan disini satu tips yang terbaik didunia yang saya pasti akan membuatkan anda mahir menulis dan mengarang. Tipsnya? Banyakkan membaca. Cheeky grin ensues

ASAS KETIGA - KEMAMPUAN PIDATO

23. Asas ketiga adalah kemampuan berpidato atau berucap di khalayak ramai. Public speaking. 

24. Kemampuan ini juga ada kepentingannya sekiranya anda berhasrat untuk menjadi seorang peguam yang baik. Namun ianya bukanlah kemahiran bersifat be all end all atau kalau tak ada maka tak boleh.

25. Kemampuan berpidato, bagi saya lebih bersifat kemampuan kita untuk menyampaikan hujah dengan baik dan teliti.

26. Di Mahkamah sebenarnya tiada keperluan untuk seorang peguam berpidato secara berapi seperti yang kita lihat di pertandingan pidato sekolah-sekolah atau ceramah-ceramah politik Anwar Ibrahim.

27. Cukup hanya dengan kemampuan untuk menjelaskan kes dan hujah-hujah kita dengan teratur, cermat dan mudah difahami.

28. Sebab itu saya gunakan perkataan kemampuan dan saya tak gunakan perkataan kemahiran. Kerana bukan semua orang boleh mahir berpidato.

29. Saya yang sudah beramal lebih 15 tahun ini pun, sampai sekarang tak reti-reti nak menguasai kemahiran berpidato. Namun saya percaya, ianya adalah sesuatu skil yang boleh dipelajari dan sangat berguna.

30. Namun diluar sana, terdapat begitu ramai peguam-peguam yang cukup mahir menyampaikan hujah baik dalam bahasa melayu mahupun dalam bahasa inggeris. Terpegun kita mendengarnya. Captivating kata orang putih.

ASAS KEEMPAT - KEFAHAMAN BAHASA INGGERIS

31. Asas keempat untuk seseorang itu lebih maju dalam profesyen guaman sivil adalah dengan memperkasakan kefahaman bahasa inggeris.

32. Ya, betul. KEFASIHAN (fluency) berbicara dalam berbahasa inggeris bukanlah syarat untuk menjadi peguam. Apatah lagi bahasa rasmi Mahkamah adalah bahasa Melayu. 

33. Yang saya lebih tekankan disini adalah adalah KEFAHAMAN (comprehension) bahasa itu sendiri. Tidak fasih berbicara tidak mengapa, asalkan boleh memahami bahasa tersebut dengan baik.

34. Hang on? Kenapa kefahaman bahasa inggeris ini penting sedangkan bahasa rasmi Mahkamah di Malaysia adalah bahasa Melayu? Sabar, put down your pitchforks and keris tu.

35. Ini adalah kerana bahan bacaan yang perlu digunakan untuk memantapkan ilmu dan pengetahuan sebagai seorang peguam, majoritinya ditulis dalam bahasa inggeris.

36. Begitu juga majoriti kes-kes di dalam jurnal hukum. Sebahagian besarnya, kes-kes ini dilaporkan di dalam bahasa Inggeris dengan sedikit terjemahan bahasa Melayu.

37. Adakah tidak ada bahan bacaan ilmiah atau kes-kes yang dilaporkan di dalam bahasa melayu? Ada. Tetapi bilangannya tidak sebanyak bahan-bahan yang disediakan di dalam bahasa inggeris.

38. Bahkan, di Mahkamah, adalah menjadi kebiasaan dan kelaziman untuk para peguam merujuk kepada kepada buku-buku teks, akta-akta atau kes-kes dari negara-negara komanwel lain seperti United Kingdom, India atau Singapura sebagai rujukan tambahan. Sumber ilmiah ini tidak datang dalam bahasa Melayu.  

39. Bukan apa, bagi saya, tanpa kefahaman bahasa inggeris yang baik (tak perlu hebat pun, cukup untuk faham), seseorang itu mungkin terlepas peluang untuk menggunakan sumber-sumber ilmu pengetahuan ini. Rugi.

40. Tapi jangan jadikan isu bahasa ini sebagai rintangan. Sebagaimana yang saya katakan, pastikan anda ada kefahaman asas sahaja untuk membolehkan anda menambah pengetahuan. Itu sahaja. Ianya asas yang boleh dipelajari. Tak salah berkawan dengan kamus.

41. Anda tidak perlulah sampai perlu mahir bercakap slang cockney untuk menjadi peguam yang baik. Saya pun sampai sekarang english cukup-cukup makan sahaja. Haha.

You alrite there, bruv? 

TAULADAN

i. Membaca itu jambatan ilmu

ii. Seorang peguam sivil perlukan kemahiran mengarang dengan baik.

iii. Kebolehan pidato atau public speaking itu satu bonus.

iv. Perlu asah kemahiran kefahaman bahasa inggeris untuk lebih maju.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.