>

SOAL JAWAB RINGKAS TENTANG SAMAN SIVIL (BAHAGIAN 1)

peguam saman, saman sivil, mahkamah, undang-undang sivil
 

SOAL JAWAB RINGKAS TENTANG SAMAN SIVIL (BAHAGIAN 1)

SAYA MAHU SAMAN

1.    S - Saya mahu memfailkan Saman. Apa yang perlu saya buat?

J - Sekiranya anda ingin memfailkan Saman di Mahkamah, langkah yang terbaik adalah dengan melantik peguam pilihan anda atau boleh menghubungi saya. Peguam anda akan menyediakan dokumen-dokumen yang perlu difailkan di Mahkamah untuk tujuan Saman tersebut.

2.    S - Saya mahu memfailkan Saman, apa maklumat asas yang saya perlu sediakan?

J - Sekiranya anda ingin memfailkan Saman, maklumat yang paling penting adalah nama penuh, alamat dan nombor kad pengenalan/no pasport individu yang ingin anda saman. 

Sekiranya anda ingin menyaman syarikat, pastikan anda mempunyai butir-butir syarikat tersebut seperti nama penuh syarikat dan nombor pendaftaran SSM syarikat tersebut. Maklumat ini sangat penting bagi memastikan identiti pihak yang ingin anda saman di Mahkamah.

3.     S - Sebelum saya memfailkan saman, apa perkara-perkara atau faktor-faktor yang perlu saya nilai?

J - Sebelum memfailkan Saman, anda perlu dapatkan penjelasan berkenaan dengan kausa tindakan (sebab untuk menyaman) daripada peguam pilihan anda dan juga syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk kausa tindakan tersebut. Selaras dengan itu, anda seterusnya perlu mendapatkan nasihat peguam berkenaan bukti-bukti untuk menyokong tuntutan anda. Selepas daripada itu, anda juga perlu menilai samada tindakan memfailkan Saman itu berbaloi atau tidak dari segi masa, kewangan dan hak anda.

4.    S - Berapa bayaran guaman kalau saya ingin menyaman seseorang?

J - Kos guaman didalam kes saman sivil tidak berskala. Ianya berbeza dari satu kes ke satu kes yang lain. Anda perlu maklumkan kepada peguam pilihan anda berkenaan dengan fakta kes anda sebelum peguam boleh memberi anggaran kos yang perlu anda bayar.

5.    S - Sekiranya saya failkan Saman terhadap seseorang, adakah saya akan menang?

J - Tidak semestinya. Kalah menang sesuatu kes bergantung kepada fakta, bukti dan penilaian Mahkamah bukan sahaja terhadap fakta dan bukti  anda, malah fakta dan bukti orang yang anda saman. 

Sekiranya fakta kes anda sempurna dan anda mempunyai bukti yang kukuh, maka anda mungkin mempunyai satu kes yang baik. 

Persoalan kalah menang itu akan ditentukan oleh Mahkamah dengan mengimbang fakta dan bukti pihak siapa yang lebih berat dan kuat.

6.    S - Kalau saya Saman seseorang, bolehkah saya menuntut kos daripada orang yang saya saman?

J - Boleh. Namun lazimnya amaun kos yang akan diberikan akan ditetapkan oleh budi bicara Mahkamah.

7.    S - Saya sudah melantik peguam. Apakah langkah seterusnya?

J - Anda perlu mendengar dan mengikuti nasihat peguam anda dengan cermat, teliti dan mengikut masa yang ditetapkan. Sediakan dokumen-dokumen yang sewajarnya sebagai bukti dan jika anda mempunyai saksi, maklumkan kepada peguam dan berbincang dengan saksi tersebut berkenaan kesanggupannya untuk hadir ke Mahkamah.

8.    S - Saya sudah memfailkan Saman, tetapi Defendan tidak berbuat apa-apa. Apa boleh saya buat?

J - Peguamcara anda akan memfailkan Penghakiman Ingkar atau Penghakiman Interlokutori terhadap Defendan. 

9.    S - Adakah terdapat apa-apa tempoh masa untuk saya failkan saman?

J - Ya ada tempoh masa. Bergantung pada kausa tindakan anda. Lazimnya, kausa tindakan yang berlainan akan mempunyai tempoh had masa yang berlainan. Sebagai contoh, tempoh masa untuk memfailkan saman bagi menuntut bayaran hutang hendaklah dibuat dalam masa 6 tahun. Saman tidak lagi boleh difailkan sekiranya tempoh masa yang ditetapkan itu telah berakhir kerana ianya di anggap sebagai statute barred (terhalang oleh akta). Dapatkan nasihat peguam anda berkenaan had masa bagi kes anda.

10. Saya ingin menyaman seseorang namun saya tidak mempunyai butir-butir seperti nama penuh, nombor kad pengenalan atau alamat orang yang saya mahu saman itu. Apa perlu saya buat?

J - Tanpa maklumat tersebut, Saman anda tidak boleh didaftarkan di Mahkamah. Anda tidak mempunyai pilihan melainkan untuk mendapatkan maklumat-maklumat tersebut. 

Baca Bahagian 2 - Apa yang perlu dilakukan sekiranya saya disaman?


norhafeezlaw.com
 

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.