>

KOS PEGUAM UNTUK RAYUAN KES SIVIL

rayuan di mahkamah, rayuan sivil, kos rayuan sivil, kos guaman

KOS PEGUAM UNTUK RAYUAN KES SIVIL

Apabila sesuatu keputusan tidak berpihak kepada kita, itu tidak beerti ianya adalah muktamad dan kita tidak lagi boleh berbuat apa-apa mengenainya. Undang-undang memperuntukkan bahawa pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan di Mahkamah, dibenarkan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah yang lebih tinggi. Namun bagaimana dengan kos guaman (legal fees) peguam untuk kes-kes rayuan?

1. Secara lazimnya, kos guaman untuk sesuatu rayuan yang difailkan adalah tinggi. Kadang-kadang boleh mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit dan di dalam kes-kes tertentu boleh mencecah jutaan. 

2. Namun apakah faktor-faktor yang mungkin menyebabkan kos-kos guaman untuk rayuan ke Mahkamah ini menjadi tinggi?

KEDUDUKAN MAHKAMAH YANG LEBIH TINGGI

3. Secara lazimnya, lebih tinggi sesebuah Mahkamah itu di dalam hirarki ataupun aras tingkat sistem kehakiman di Malaysia, maka lebih tinggi lah kos-kos guaman yang akan dikenakan.

4. Didalam permulaan sesuatu kes sivil sebagai contoh, adalah menjadi kelaziman untuk kos guaman bagi kes yang difailkan di Mahkamah Majistret adalah tidak setinggi kos guaman untuk kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi. 

5. Begitu juga dengan kos rayuan. Kos untuk Rayuan yang difailkan di Mahkamah Tinggi lazimnya tidak setinggi rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.

6. Setiap kali rayuan difailkan ke Mahkamah yang lebih tinggi maka kos untuk setiap rayuan itu juga kebiasaannya akan menjadi lebih tinggi.

DOKUMEN RUJUKAN YANG BANYAK

7. Kes-kes rayuan fasa ketiga yang dijalan samada di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan yang kedua-duanya terletak di Istana Kehakiman (Palace of Justice), Putrajaya, lazimnya mengandungi jilid-jilid dokumen yang jauh lebih banyak.

8. Ini bermaksud, seseorang peguam yang mengendalikan sesuatu kes rayuan itu perlu memberikan masa untuk membaca, menyemak, memahami dan meneliti jilid-jilid dokumen yang sangat banyak.

9. Ini adalah kerana, dokumen-dokumen yang dirujuk dan dibaca bukan sahaja dokumen-dokumen yang difailkan di Mahkamah-Mahkamah Rayuan, bahkan dokumen-dokumen Mahkamah yang difailkan di Mahkamah-Mahkamah yang sebelumnya.

10. Peguam yang mengendalikan rayuan anda di Mahkamah Persekutuan, sebagai contoh, perlu membaca dan memahami isu-isu dan hujahan-hujahan yang telah difailkan bukan sahaja di Mahkamah Tinggi malah juga di Mahkamah Rayuan.

PENGALAMAN

11. Tidak semua peguam mempunyai pengalaman untuk ke Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan. Bahkan adalah menjadi cita-cita untuk setiap peguam untuk mengendalikan kes-kes di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

12. Namun hakikatnya, untuk mengendalikan kes-kes di Mahkamah-Mahkamah Puncak (Apex Courts) ini memerlukan pengalaman.

13. Jika di Mahkamah Rendah atau Mahkamah Tinggi, seseorang peguam itu hanya perlu memuaskan hati seorang sahaja Hakim, di Mahkamah Rayuan pula, seseorang peguam itu perlu memuaskan hati tiga (3) orang Hakim-Hakim yang bijaksana.

14. Di Mahkamah Persekutuan pula, bilangan Hakim-Hakim yang akan menilai rayuan anda di dalam satu-satu masa adalah lima (5). Dalam sesetengah kes yang unik, bilangan Hakim-Hakim yang akan bersidang dan menilai sesuatu kes itu pernah mencecah sembilan (9) orang.

15. Bukan mudah untuk berhujah dan memuaskan hati seorang Hakim yang cukup mahir dalam undang-undang, inikan pula tiga atau lima atau sembilan orang Hakim yang setiap seorang daripadanya cukup mahir dan hebat dilapangan undang-undang.

KESIMPULAN

16. Jadi sekiranya anda mempersoalkan kenapa kos guaman atau lawyer fee bagi rayuan-rayuan anda itu tinggi, maka di atas adalah diantara faktor-faktor yang mungkin menyebabkan ianya menjadi tinggi.

Untuk memahami serba sedikit tentang sistem rayuan kes sivil di Malaysia, rujuk pautan ini:

https://www.norhafeezlaw.com/2022/04/rayuan-kes-sivil.html


penghakiman ingkar

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut. 


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.