ENGGAN ATAU GAGAL BAYAR YURAN GUAMAN?
Anda mempunyai kes di Mahkamah. Anda pun melantik peguam untuk mewakili anda di Mahkamah. Caj, kos dan yuran guaman telah dipersetujui. Peguam pun menjalankan tugas-tugas nya untuk anda dan menyerahkan caj guaman untuk anda bayar. Anda gagal atau enggan untuk membuat pembayaran kos guaman. Apa akan berlaku?
1. Apabila peguam anda menuntut anda membuat bayaran kos dan yuran guaman, anda bertanggungjawab untuk membuat pembayaran dengan secepat mungkin.
2. Ini adalah untuk memastikan kes anda dapat diuruskan oleh peguam anda dengan baik, lancar dan tanpa sebarang masalah.
3. Pembayaran bil guaman di dalam tempoh masa yang ditetapkan adalah penting kerana proses yang dijalankan di Mahkamah lazimnya terikat dengan tempoh waktu yang singkat dan ketat.
4. Oleh yang demikian, kelancaran perjalanan dan pengurusan sesuatu kes itu bergantung kepada pematuhan tempoh waktu - tempoh waktu yang telah ditetapkan oleh undang-undang dan juga oleh Mahkamah.
5. Namun apa yang akan berlaku sekiranya anda enggan atau gagal membayar bil peguam anda? Terdapat beberapa kemungkinan yang boleh berlaku.
PERJALANAN KES BOLEH TERTANGGUH
6. Sepertimana yang telah dinyatakan diatas, proses pengurusan sesuatu kes di Mahkamah adalah terikat ketat dengan tempoh waktu yang wajib dipatuhi.
7. Kelancaran pengurusan kes tersebut bergantung kepada pematuhan-pematuhan tempoh waktu yang telah ditetapkan.
8. Apabila anda gagal melunaskan yuran guaman peguam anda, maka kes anda boleh tertangguh kerana peguam tidak dapat menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan di Mahkamah mengikut tempoh waktu tersebut.
9. Ini akan menyebabkan kes anda menjadi tertangguh dan di dalam kes-kes tertentu kes anda boleh dibatalkan.
PEGUAM MENARIK DIRI DARI MEWAKILI ANDA
10. Kegagalan untuk membayar caj guaman juga boleh menjadi faktor untuk peguam anda menarik diri daripada mewakili anda di Mahkamah.
11. Apabila peguam anda menarik diri, peguam anda tidak lagi bertanggungjawab untuk memberikan sebarang makluman berkenaan perkembangan kes tersebut kepada anda.
12. Anda perlu mendapatkan maklumat-maklumat tersebut secara sendiri dan dalam kes-kes tertentu, proses ini adalah rumit sekiranya anda tidak biasa dengan proses dan cara kerja Mahkamah.
13. Anda juga mungkin terpaksa melantik peguam lain untuk menggantikan peguam lama anda. Lazimnya untuk seseorang peguam mengambil alih sesuatu kes dipertengahan jalan, caj yang dikenakan selalunya lebih tinggi.
14. Apatah lagi sekiranya anda mempunyai rekod atau sejarah enggan membayar bayaran kos peguam anda, peguam yang baru anda lantik selalunya tidak akan berkompromi atau bertolak ansur dengan anda berkenaan dengan caj guaman. Itupun sekiranya ada peguam yang mahu mewakili anda.
DOKUMEN-DOKUMEN ANDA AKAN DITAHAN
15. Undang-undang membenarkan peguam anda menahan dokumen-dokumen dan kertas-kertas kausa Mahkamah yang berada di dalam simpanannya daripada dipulangkan kepada anda sekiranya anda mempunyai hutang bayaran guaman.
16. Ini pastinya akan menyukarkan anda untuk melantik peguam baru. Peguam baru yang ingin anda lantik lazimnya akan meminta sesalinan dokumen-dokumen dan kertas-kerta kausa mahkamah yang telah difailkan di Mahkamah sebelum memutuskan untuk mengambil alih sesuatu kes.
17. Lazimnya peguam baru akan memohon salinan dokumen-dokumen ini daripada peguamcara yang lama. Peguamcara yang lama berhak untuk tidak memberikan salinan dokumen-dokumen tersebut kepada anda atau peguam baru anda selagi mana hutang yuran guaman tidak dilunaskan terlebih dahulu.
18. Dokumen-dokumen tersebut hanya akan dilepaskan selepas daripada anda membayar hutang-hutang yuran guaman peguam lama anda.
ANDA DISAMAN DI MAHKAMAH
19. Kegagalan membayar yuran guaman juga boleh menyebabkan anda di saman dan diheret ke Mahkamah oleh peguam anda.
20. Ini bukan sahaja memalukan anda, bahkan anda terpaksa pula mengeluarkan kos-kos tambahan untuk melantik peguam bagi mencabar saman tersebut.
21. Ianya pasti membuang masa, tenaga dan juga kewangan anda. Apatah lagi di dalam kes-kes tertentu, Mahkamah tidak akan memberi muka kepada anak guam yang enggan atau culas untuk membayar kos guaman peguamnya.
KESIMPULAN
22. Pastikan anda membuat pembayaran caj, kos dan yuran guaman peguam anda mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
_______________________
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.