>

HUTANG 6 TAHUN?

tuntut hutang 6 tahun, hutang lebih enam tahun, hutang lapok, saman hutang

HUTANG 6 TAHUN?

Adakah anda mempunyai hutang lapuk yang belum dilangsaikan? Menurut undang-undang, terdapat tempoh masa tertentu untuk membuat tuntutan hutang. Sekiranya hutang tersebut sudah melebihi tempoh masa yang ditetapkan, anda mungkin tertanya-tanya, adakah masih ada cara untuk menuntut hutang lapuk ini? 

Artikel ini akan membincangkan tempoh masa tuntutan hutang, implikasi undang-undang jika tuntutan dibuat selepas tempoh masa, dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menuntut hutang yang telah melebihi had masa.

HUTANG LAPUK

1. Sesuatu hutang boleh berlaku bukan sahaja melalui pinjaman-pinjaman yang diberikan kepada seseorang, malah ianya boleh berlaku hasil daripada apa-apa ikatan kontrak yang sah, pembelian barangan, ataupun bayaran bagi sesuatu perkhidmatan yang diberikan. 

2. Apabila bayaran yang sepatutnya dibayar, gagal dibayar maka bayaran tersebut akan menjadi hutang. Apabila usia hutang itu lama, maka ianya akan menjadi hutang lapuk. 

3. Oleh yang demikian, hutang lapuk secara lazimnya boleh difahami sebagai hutang lama yang masih belum dibayar oleh seseorang penghutang (debtor).

JANGKAMASA TUNTUTAN HUTANG

4. Undang-undang telah menetapkan tempoh masa – tempoh masa yang tertentu untuk setiap tindakan undang-undang yang ingin difailkan di Mahkamah. Ini termasuklah juga untuk setiap tindakan undang-undang untuk menuntut sesuatu hutang.

5. Akta Hadmasa 1953 (Limitation Act 1953) telah mensyaratkan bahawa apa-apa saman untuk sesuatu tindakan yang berasaskan perjanjian hendaklah difailkan di dalam tempoh enam (6) tahun daripada tarikh kausa tindakan ataupun secara mudahnya hak untuk menuntut itu bermula.

6. Apa-apa tindakan tuntutan hutang yang ingin dimulakan selepas luputnya tempoh masa enam tahun itu adalah tidak dibenarkan oleh undang-undang dan terhalang oleh hadmasa. 

7. Disisi pengamal undang-undang dan para peguam, keadaan ini dikenali sebagai Statute Barred.

6 TAHUN DARI TARIKH KAUSA TINDAKAN?

8. Bagaimana pula cara pengiraan 6 tahun itu? Bilakah tempoh masa itu bermula? Seperti yang kita sedi maklum, Akta Hadmasa menggariskan bahawa 6 tahun tempoh masa itu bermula daripada tarikh wujudnya kausa tindakan.

9. Apa yang dimaksudkan dengan wujudnya kausa tindakan? Secara mudahnya, tarikh wujudnya kausa tindakan boleh difahami sebagai tarikh bermulanya hak untuk membuat tuntutan.

10. Sebagai contoh, sekiranya anda meminjamkan wang kepada saya dengan syarat wang tersebut hendaklah dibayar selepas 3 bulan daripada tarikh anda memberikan pinjaman tersebut, maka hak untuk membuat tuntutan bermula daripada tarikh luput 3 bulan tempoh masa yang dijanjikan.

11. Tempoh had masa 6 tahun untuk membuat tuntutan pula akan dikira daripada tarikh luput 3 bulan tadi sehinggalah tarikh terakhir tahun keenam tempoh masa tersebut. 

12. Apa-apa tuntutan diluar tempoh 6 tahun tersebut dianggap sebagai terhalang oleh hadmasa.

Deskripsi

Tarikh pemberian hutang - 1.1.2000

Tarikh janji bayar – 1.3.2000

Tarikh kausa tindakan bermula – 1.3.2000

Tarikh luput hadmasa – 1.3.2006  


saman hutang, hutang lebih 6 tahun, hutang 7 tahun


CARA MEMBUAT TUNTUTAN HUTANG MELEBIHI 6 TAHUN?

13. Adakah terdapat cara untuk mengambil tindakan undang-undang untuk hutang yang telah melebihi 6 tahun? Jawapan umumnya adalah tiada. Walau bagaimana pun tempoh masa 6 tahun itu boleh diperbaharui melalui beberapa keadaan tertentu. 

14. Apabila keadaan-keadaan ataupun situasi ini berlaku, secara tak lansung ianya akan memperbaharui hak anda untuk memulakan tindakan saman. Apakah keadaan-keadaan itu?

A. JANJI PEMBAYARAN DIPERBAHARUI

15. Janji pembayaran diperbaharui adalah satu keadaan dimana terdapat komunikasi diantara anda dengan penghutang yang mana si penghutang mengesahkan hutang lapuk tersebut dan telah memberikan satu tarikh baru untuk membuat pembayaran hutang. Maka hak untuk menyaman akan bermula semula daripada tarikh baru yang diberikan.

16. Janji tarikh baru untuk pembayaran hutang ini tidak semestinya berlaku melalui satu perjanjian formal. Ianya boleh berlaku melalui komunikasi elektronik seperti melalui khidmat pesanan ringkas SMS, Whatsapp ataupun mesej peribadi platform media sosial.

17. Jadi sekiranya anda membuat tuntutan pembayaran suatu hutang lapuk daripada penghutang, sebagai contohnya, melalui whatsapp, pastikan rujukan dibuat kepada hutang tersebut secara khusus.

18. Apabila penghutang memberikan janji bahawa pembayaran akan dibuat pada suatu tarikh tertentu, maka pastikan anda menyimpan tangkapan skrin komunikasi tersebut bersama dengan tangkapan skrin maklumat penghutang atau pemilik mesej (tangkapan skrin nombor telefon atau alamat platform media sosial berserta nama atau gambar yang boleh memberikan indikasi tambahan tentang pemilik mesej tersebut).

B. TERDAPAT PEMBAYARAN SEBAHAGIAN HUTANG (PART PAYMENTS)

19. Pembayaran sebahagian hutang ataupun part payments berlaku apabila si penghutang membuat sedikit pembayaran terhadap hutang tersebut kepada anda. 

20. Apabila keadaan ini berlaku, maka tempoh masa 6 tahun tadi akan diperbaharui dan akan bermula daripada tarikh part payment itu.

KESIMPULAN

21. Anyone who sleeps over his rights is bound to suffer. Undang-undang tidak akan bersimpati terhadap sesiapa sahaja yang tidur ataupun tidak cakna dengan haknya. Oleh yang demikian, lengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan berkenaan dengan hak anda dan pastikan anda ambil pusing tentangnya.

PERSEDIAAN UNTUK MEMULAKAN SAMAN HUTANG? BACA DISINI.


ANDA JUGA BOLEH MENGISI BORANG KES HUTANG DIBAWAH UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT RINGKAS BERKENAAN DENGAN TUNTUTAN ANDA.

peguam hutang, tuntutan hutang, saman hutang

_______________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.


1 Pertanyaan & Jawapan

  1. Salam tuan,baru2 ni ada pihak dari bank call saya untuk menuntut tunggakkan bayaran kereta yg telah mereka tarik.Persoalannya apakah hutang itu masih boleh dituntut .agrement beli kereta tahun 2007-2012. 5 Tahun ikat.mohon pendapat dan nasihat tuan apa yang perlu saya buat.terima kasih

    BalasPadam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.