>

BICARA DALAM KAMAR - Episod 10 - Scam Dalam Talian

 

scam telefon, scam peguam, scam mahkamah

BICARA DALAM KAMAR - Episod 10

SCAM DALAM TALIAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Norhafeezlaw. Saya doakan anda semua di dalam keadaan sihat walafiat. Nama saya Hafeez dan saya merupakan peguam yang mengendalikan blog ini. Siri Bicara Dalam Kamar ini saya mulakan bagi memberi ruang untuk saya berceloteh dan berkongsi pengalaman harian saya mengendalikan kes-kes sebagai seorang peguam secara santai dan padu. Harapan saya adalah agar setiap perkongsian didalam siri ini boleh memberi sentapan, manfaat, panduan, tauladan dan sempadan kepada para pembaca.

MESEJ WAKTU MALAM

1. Pada penghujung bulan januari yang lalu, saya telah dihubungi oleh seorang individu, seorang wanita berumur lebih kurang 50 tahun, yang menetap di Perak. Saya akan rujuk beliau disini sebagai Kakak.

2. Kakak tersebut ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan satu panggilan yang diterimanya daripada seseorang yang mengaku daripada Mahkamah.

3. Sebaik sahaja kakak tersebut menyatakan bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada Mahkamah, ianya adalah red flag, bendera amaran bagi saya (dan kepada anda semua) bahawa hampir pasti bahawa panggilan tersebut adalah scam.

4. Kenapa? Kerana secara lazimnya pegawai Mahkamah tidak akan menghubungi seseorang yang disaman menerusi panggilan telefon. 

5. Sekiranya ada sekalipun, mungkin hanya penghantar saman Mahkamah sahaja yang akan berhubung melalui telefon. Itupun hanya untuk mendapatkan lokasi bagi proses penghantaran saman sahaja.

MODUS OPERANDI SCAMMER

6. Berbalik kepada kes Kakak tersebut, apa yang berlaku adalah beliau telah dihubungi oleh seorang  yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai daripada Mahkamah.

7. Pegawai Mahkamah tiruan tersebut telah memaklumkan bahawa Kakak tersebut telah didakwa di Mahkamah Majistret kerana kononnya telah terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram.

8. Scammer tersebut seterusnya mengaku bahawa beliau boleh membantu melenyapkan dakwaan dan kes terhadap Kakak tersebut.

9. Syaratnya adalah Kakak tersebut tidak boleh menceritakan tentang kes dan panggilan tersebut kepada sesiapa pun dan Kakak tersebut dikehendaki membuka satu akaun bank baru di mana-mana bank yang berdekatan dan membuat sejumlah pembayaran kedalam akaun bank tersebut.

10. Pembayaran ini kononnya akan diserahkan kepada Bank Negara untuk disimpan. Oh ya, Kakak tersebut juga dikehendaki memberikan kepada scammer itu maklumat online bankingnya serta nombor pin.

RM80,000.00 LESAP BEGITU SAHAJA

11. Kakak tersebut telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau telah membuat pembayaran yang berjumlah lebih RM80,000.00 kedalam akaun bank yang dibuka tadi.

12. Kakak tersebut menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat hanya apabila scammer tersebut meminta bayaran tambahan sebanyak RM25,000.00 kerana kononnya scammer itu ingin menguruskan perlantikan peguam.

13. Saya terus menghubungi Kakak tersebut dan memberikan penjelasan bahawa kemungkinan super besar Kakak tersebut telah discam. Dan wang yang dimasukkan kedalam akaun tadi telahpun lesap. 

14. Saya menasihati beliau agar pergi ke bank dan menutup akaun yang dibukanya, bagi mengelakkan akaun tersebut disalah guna dan mendapatkan penyata akaun daripada pihak bank. Saya juga meminta beliau membuat laporan polis.

saman pelaburan, saman scammer, scammer

15. Dengan harapan, mungkin scammer tersebut terlepas pandang dan membuat pindahan wang dari akaun Kakak tadi secara atas talian masuk kedalam akaun scammer tersebut.

16. Mungkin dengan cara merujuk kepada Penyata Akaun yang dibekalkan, saya akan dapat meneliti trail atau pergerakan wang tersebut dan mungkin dapat digunakan untuk mengesan identiti pemilik akaun scam itu dan seterusnya membantu Kakak tersebut memfailkan tindakan dan membuat laporan Polis.

17. Namun jauh dilubuk hati saya, saya sendiri tidak tahu sejauh mana Kakak tersebut boleh mendapatkan kembali wang beliau.

KESEDARAN DAN ILMU ADALAH SENJATA

18. Saya cukup benci sindiket-sindiket scam sebegini termasuklah sebahagian kecil pengutip hutang yang menggunakan nama firma guaman, peguam dan Mahkamah untuk tujuan-tujuan khusus mereka.

19. Apa yang saya mampu lakukan hanyalah memberikan kesedaran kepada orang awam (yang mana melawat laman dan membaca rencana saya lah) tentang modus operandi atau cara operasi sindiket-sindiket ini dengan harapan agar orang awam tidak terjerumus dan menjadi mangsa penipuan scammer-scammer ini.

20. Scammer-scammer ini tidak akan penat untuk menghubungi dan cuba memperdaya kita semua. Mereka hanya perlukan seorang sahaja sehari untuk berjaya. RM80,000.00 ke RM100,000.00 sekepala setiap hari. Memang pergi umrah balik hari lah.

BERSAHABAT DENGAN PARA PEGUAM 

21. Nasihat saya pada semua yang membaca, rajin-rajinlah merujuk kepada para peguam sebelum membuat apa-apa tindakan sekiranya menerima panggilan-panggilan yang mencurigakan. 

22. Memang kita akan gabra, takut, resah atau gelisah apabila diberitahu kita akan diambil tindakan Mahkamah, namun jangan jadikan kegelisahan dan ketakutan itu sebagai penghalang untuk kita merujuk kepada pihak yang lebih arif.

TAULADAN

i. Pegawai Mahkamah tidak akan menghubungi anda melalui telefon.

ii. Pegawai Mahkamah tidak boleh membantu anda melenyapkan kes anda.

iii. Sesiapa yang menghubungi anda dan mengaku bahawa beliau adalah pegawai Mahkamah, atau peguam, atau Hakim, maka ketahuilah bahawa 99.9% daripadanya adalah scammer.

iv. Jangan buat bayaran sekiranya diminta, walaupun anda gelisah dan takut.

v. Sekiranya anda mempunyai telefon pintar, muat turun aplikasi TrueCaller atau aplikasi seumpamanya.

vi. Rujuk peguam yang anda kenali untuk mendapatkan kepastian sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan. Kalau tak ada peguam yang anda kenal, mari berkenalan dengan saya dengan membelanja saya teh tarik dan nasi goreng ikan masin (bukan scam ya).

vii. Seboleh-bolehnya elakkan menulis data anda di buku-buku log premis, kerana data anda seperti nama dan nombor telefon boleh dimanipulasi oleh pihak yang tak bertanggungjawab. Guna aplikasi Mysejahtera setiap kali mendaftar masuk ke mana-mana premis.

viii. Berkawanlah dengan peguam.

ix. Jangan jadi scammer. Pergi umrah balik hari 200 kali setahun pun sia-sia kalau guna duit hasil scam orang.


saman JMB

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

saman defaulter JMB MC

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.