BICARA DALAM KAMAR - Episod 9
TRIBUNAL PERKAHWINAN
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Norhafeezlaw. Saya doakan anda semua di dalam keadaan sihat walafiat. Nama saya Hafeez dan saya merupakan peguam yang mengendalikan blog ini. Siri Bicara Dalam Kamar ini saya mulakan bagi memberi ruang untuk saya berceloteh dan berkongsi pengalaman harian saya mengendalikan kes-kes sebagai seorang peguam secara santai dan padu. Harapan saya adalah agar setiap perkongsian didalam siri ini boleh memberi sentapan, manfaat, panduan, tauladan dan sempadan kepada para pembaca.
SAYA KE UTARA
1. Pada beberapa minggu yang lepas, saya telah berkelana ke negeri Kedah Darul Aman, negeri Jelapang Padi yang cukup indah dan tenang.
2. Tujuan saya ke sana adalah bagi menghadiri satu proses bicara permohonan di Mahkamah Tinggi Alor Setar dimana Anak Guam saya telah memohon untuk mendapat satu perintah pengecualian rujukan perkahwinan kepada Badan Pendamai atau yang lebih dikenali sebagai Tribunal Perkahwinan.
TRIBUNAL PERKAHWINAN JPN
3. Bagi Non Muslim, sebelum mereka dibolehkan memfailkan perceraian, undang-undang mewajibkan pasangan untuk merujuk masalah mereka kepada Tribunal Perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
4. Ini adalah satu syarat wajib yang perlu diikuti melainkan beberapa keadaan dimana rujukan ke Tribunal Perkahwinan boleh dikecualikan.
5. Proses ini saya kira adalah sebagaimana proses Sulh (صلح) bagi orang islam yang berniat untuk memfailkan perceraian.
6. Kedua dua Suami dan Isteri perlu hadir pada tarikh dan di premis yang ditetapkan di hadapan seorang pegawai yang akan menjadi perantara dengan objektif untuk mencari penyelesaian sebelum pasangan dibolehkan untuk memfailkan perceraian.
PENGECUALIAN TRIBUNAL PERKAHWINAN
7. Namun, sepertimana yang saya nyatakan di atas, terdapat beberapa keadaan di mana proses damai di Tribunal Perkahwinan ini boleh dikecualikan.
8. Namun dalam sesetengah keadaan, pihak-pihak hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi terlebih dahulu untuk mendapatkan Perintah Pengecualian tersebut.
9. Tanpa Perintah Pengecualian daripada Mahkamah Tinggi, apa-apa petisyen perceraian boleh ditolak.
10. Untuk kes saya di Mahkamah Tinggi Alor Setar, alasan yang dikemukan oleh Anak Guam saya diterima oleh Mahkamah.
11. Mahkamah lazimnya akan meneliti alasan-alasan yang diberikan dan akan memastikan alasan-alasan yang diberikan tersebut adalah benar-benar sahih.
12. Ini adalah kerana Mahkamah tidak akan memberikan Perintah Pengecualian tersebut dengan sebegitu mudah atau dengan sewenang-wenangnya.
ALOR SETAR YANG MENDAMAIKAN (LEBIH DAMAI APABILA URUSAN DI MAHKAMAH BERJAYA DISELESAIKAN)
13. Saya juga lega bagi pihak Anak Guam saya. Gembira apabila tugas yang diamanahkan telah selesai dengan jayanya.
14. Selepas itu, saya mengambil peluang untuk membawa isteri dan anak-anak berjalan-jalan sekitar Alor Setar dan sempat juga lah bergambar dihadapan Menara Alor Setar yang masyhur itu.
15. Saya juga sempat membeli belah di Pekan Rabu yang meriah itu dan sempat juga berjalan-jalan ke Darul Aman Mall yang gah lagi ceria itu.
16. Beberapa bulan lagi, saya akan kembali ke Alor Setar untuk menguruskan Petisyen Perceraian Anak Guam saya pula.
17. Agaknya kalau cukup 5 kali pergi Alor Setar, mungkinkah saya akan melupakan Budu dan akan mula bersembang dalam loghat utagha? Im not crossing my fingers on that. Hihi.
TAULADAN
i. Sebelum bercerai, pasangan non muslim perlu menghadiri proses perdamaian di Tribunal Perkahwinan.
ii. Dalam keadaan tertentu, pasangan boleh memohon untuk Perintah Pengecualian rujukan Tribunal Perkahwinan di Mahkamah Tinggi.
iii. Rujuk kepada peguam keadaan-keadaan yang membolehkan rujukan tersebut dikecualikan.
iv. Jangan mereka-reka alasan yang tidak wujud semata-mata kerana mahu penceraian dipercepatkan.
Untuk maklumat lanjut, rujuk pautan berikut:
👉 Proses cerai Non Muslim (Bukan Islam)
👉 Isu yang perlu diputuskan sebelum cerai
👉 Bolehkah bercerai dalam tempoh 2 tahun
👉 Hak penjagaan anak selepas cerai
👉 Pembahagian aset perkahwinan
👉 Soal Jawab ringkas tentang perceraian Non Muslim (BM/BI)
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.