>

PEMBAYARAN & ADJUDIKASI INDUSTRI PEMBINAAN - APA ITU CIPAA 2012

cipaa 2022

CIPAA 2012 DI DALAM BAHASA MUDAH.

APA ITU CIPAA 2012? 

1. Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (Construction Industry Payment and Adjudication 2012) atau lebih dikenali sebagai CIPAA 2012 mula berkuat kuasa pada 15.4.2014. 

2. CIPAA diperkenalkan oleh Parlimen sebagai salah satu platform alternatif bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan dengan kerja-kerja pembinaan yang telah disiapkan, melalui satu proses yang dipanggil Adjudikasi. 

MAHKAMAH, ARBITRASI ATAU ADJUDIKASI?

3. Sebelum CIPAA diperkenalkan, untuk menyelesaikan sebarang pertikaian, firma-firma industri hanya mempunyai dua pilihan sahaja.

4. Samada mereka membawa pertikaian mereka ke Mahkamah ataupun menyelesaikannya melalui proses Timbangtara. 

5. Proses perbicaraan kes di Mahkamah lazimnya mengambil masa yang lama manakala prosiding timbang tara pula melibatkan kos yang tinggi dan hanya boleh dibuat sekiranya dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat. 

6. Dengan adanya CIPAA, ianya memberikan pilihan yang ketiga untuk menyelesaikan pertikaian.

7. Sepertimana proses Mahkamah dan Timbangtara (arbitrasi), proses Adjudikasi adalah satu proses di mana suatu pertikaian di antara dua (atau lebih) pihak dibawa ke hadapan dan diputuskan oleh seorang Adjudikator. 

8. Ringkasan dan latar belakang legislatif CIPAA ini telah diterangkan dengan cukup mendalam dan terperinci oleh Yang Arif Dato' Mary Lim di dalam kes UDA Holdings Bhd v Bisraya Construction Sdn Bhd.

JENIS PERTIKAIAN CIPAA

9. Tuntutan melalui CIPAA ini secara asasnya adalah untuk membantu masalah cash flow yang seringkali dihadapi oleh firma-firma industri.

10. Terutamanya masalah aliran tunai sub-sub kontraktor disebabkan oleh pertikaian-pertikaian pembayaran dengan principle / main contractor. 

11. Pertikaian ini boleh jadi disebabkan oleh: 

(i) pembayaran lewat

(ii) pembayaran yang tidak mencukupi  

(iii) tiada pembayaran lansung.

MEMBANTU SUBKONTRAKTOR KECIL

12. Banyak subkontraktor - subkontraktor pembinaan kecil yang tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab kontrak disebabkan oleh kesukaran membuat pusingan modal dan masalah berkaitan aliran tunai dan terpaksa gulung tikar.

13. Jadi, untuk menangani permasalahan tersebut, Kerajaan telah memperkenalkan CIPAA. 

14. Ianya adalah satu prosedur yang lebih mudah dan cepat  bagi menyelesaikan sebarang pertikaian yang melibatkan: 

(i) Kerja-kerja yang dilakukan (contractual work done); 

(ii) Pembekalan bahan (material supply); dan 

(iii) Perkhidmatan yang diberikan (services rendered

samada yang telah disempurnakan secara keseluruhan atau sebahagiannya. 

CIPAA LEBIH CEPAT

15. Mengapa ianya lebih cepat dan mudah? Ini berikutan prosedurnya yang bersifat summary atau terus. 

16. Prosedur bersifat summary ini bermaksud penilaian liabiliti bergantung kepada dokumen-dokumen sokongan yang dilampirkan bersama tuntutan. 

17. Ianya tidak melibatkan keperluan untuk mendapatkan keterangan saksi, sebagaimana di Mahkamah yang selalunya akan memakan masa yang lebih lama.

18. Tempoh masa yang telah ditetapkan oleh CIPAA untuk setiap tindakan termasuk pemfailan dan penyerahan kertas kausa serta keputusan yang perlu disediakan oleh Adjudikator adalah jauh lebih pendek berbanding sesuatu proses tuntutan yang dimulakan di Mahkamah.

CIPAA LEBIH EFEKTIF

19. Setelah mendapat sesuatu perintah penguatkuasaan Keputusan Adjudikasi di Mahkamah, Pihak yang Menuntut bukan sahaja boleh menguatkuasakan keputusan tersebut terhadap Responden, bahkan boleh memohon pembayaran terus daripada Syarikat Prinsipal sekiranya Responden enggan mematuhi Keputusan Adjudikasi.

20. Malah di dalam keadaan dan kes tertentu, sesuatu Keputusan Adjudikasi juga boleh menjadi asas untuk menggulungkan sesebuah syarikat yang enggan mematuhi keputusan Adjudikasi.

21. Bukan itu sahaja, subkontraktor yang mendapat keputusan adjudikasi, boleh menggantung atau mengurangkan kadar kemajuan kerja yang masih berbaki sekiranya pembayaran tidak dibuat oleh Responden.

22. Melainkan Keputusan Adjudikasi itu diketepikan (set aside) ataupun perlaksaannya digantung (stayed), Responden tidak mempunyai pilihan lain selain daripada membuat pembayaran mengikut Keputusan Adjudikasi.

23. Firma-firma dan pemain-pemain industri pembinaan, tidak kira kecil, medium atau gergasi industri seharusnya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan hak-hak mereka melalui CIPAA.  

peguam cerai non muslim

Mencari peguam di Kuala Lumpur? Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

 

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.