TUNTUTAN MELALUI CIPAA 2012; APAKAH KELEBIHANNYA BERBANDING PROSES MAHKAMAH DAN TIMBANG TARA?
1. Sepertimana yang kita sedia maklum, Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 ataupun Construction Industry Payment and Adjudication Act 2012, yang kita kenali sebagai CIPAA adalah satu Akta yang diwujudkan dengan tujuan untuk memudahkan pembayaran bagi kerja-kerja pembinaan yang telah dilakukan.
2. Fungsi utama CIPAA adalah untuk memudahkan.
3. CIPAA 2012 diwujudkan untuk melindungi kepentingan subkontraktor yang sebelum ini sentiasa mengharapkan belas ihsan kontraktor utama dan juga pemilik sesuatu projek pembinaan.
4. Jadi CIPAA diformulasikan untuk memperuntukkan
satu bantuan terus (summary relief) kepada subkontraktor.
5. Ianya memberikan kemudahan untuk mendapatkan bayaran secara teratur dan mengikut waktu bagi tuntutan-tuntutan yang sah.
6. Ianya bertujuan untuk mengurangkan masalah aliran
tunai (cashflow) di dalam industri pembinaan yang pada akhirnya akan
memberi kesan terhadap ekonomi negara.
7. Kita juga tahu
bahawa sebelum CIPAA diperkenalkan dan dikuatkuasa pada 15 April 2014,
mana-mana subkontraktor yang ingin membuat tuntutan bayaran daripada kontraktor
utama untuk semua atau sebahagian kerja-kerja atau perkhidmatan pembinaan yang
telah dilakukan, hanya mempunyai dua pilihan. Samada membuat tuntutan melalui
Mahkamah ataupun melalui proses timbang tara.
Apakah sebenarnya kelebihan tuntutan melalui CIPAA berbanding tuntutan melalui Mahkamah atau melalui proses timbang tara?
8. Kelebihan Tuntutan CIPAA yang pertama adalah keputusan tuntutan dapat diperolehi dalam masa yang lebih singkat.
9. Walaupun proses tuntutan melalui adjudikasi CIPAA juga memerlukan penyerahan kertas-kertas kausa (pleadings) kepada pihak responden (syarikat yang dituntut) dan Adjudikator, waktu yang diperuntukkan untuk pihak-pihak menyerahkan jawapan balas adalah jauh lebih singkat.
10. Malah
Adjudikator juga perlu menyerahkan keputusan beliau didalam masa yang terhad.
11. Proses Mahkamah pada lazimnya memakan masa yang jauh lebih lama.
12. Ini berikutan keperluan pihak-pihak untuk menyempurnakan penyampaian dan pemfailan kertas kausa dan proses mendapatkan keterangan saksi-saksi melalui proses bicara dan juga pemfailan hujahan-hujahan daripada pihak peguam.
13. Ini tidak termasuk sekiranya mana-mana
pihak perlu memfailkan apa-apa permohonan interlokutori yang akan memanjangkan
lagi masa.
14. Tanpa kewajiban
proses bicara (kecuali dipohon oleh pihak-pihak atau dikira sebagai perlu oleh
Adjudikator) ataupun permohonan interlokutori, pihak-pihak yang menuntut melalui
CIPAA, tidak boleh tidak, akan mendapat keputusan terhadap tuntutannya di dalam
jangka masa yang singkat.
15. kelebihan Tuntutan melalui proses Adjudikasi CIPAA yang kedua adalah ianya bersifat terus (summary).
16. Tanpa kewajiban untuk melaksanakan proses mendapat keterangan saksi melalui proses bicara penuh, sebagaimana di Mahkamah, sesuatu keputusan Adjudikasi dapat diperolehi dengan hanya berpandukan dokumen-dokumen sokongan yang jelas.
17. Ianya lebih kurang sama dengan proses untuk mendapatkan Penghakiman
Terus (Summary Judgment) melalui Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
18. Sesuatu keputusan yang dibuat berpandukan dokumen semata-mata sudah pasti mempunyai pro dan kontra.
19. Akan tetapi memandangkan objektif utama CIPAA, di antara lainnya, adalah
untuk berfungsi sebagai platform untuk mendapatkan penyelesaian yang lebih
cepat, maka di atas dasar itu lah kepercayaan penuh perlu di letakkan kepada
para Adjudikator yang berkaliber untuk menjalankan tanggung jawab beliau.
20. Kelebihan adjudikasi CIPAA yang ketiga adalah dari segi kosnya yang jauh lebih murah.
21. Umum mengetahui bahawa kos proses timbangtara lazimnya adalah sedikit tinggi. Kos untuk membuat tuntutan CIPAA pula adalah lebih munasabah.
22. Apatah lagi
yuran-yuran Adjudikator boleh dirunding, malah sekiranya yuran tersebut tidak
dapat dpersetujui, skala yuran/fi standard Pusat Arbitrasi Antarabangsa Asia
(AIAC) akan terpakai.
23. Kelebihan tuntutan melalui CIPAA yang keempat adalah pihak-pihak bebas untuk memilih untuk menyelesaikan pertikaian mengenai pembayaran melaluinya.
24. Ini adalah jauh
lebih mudah berbanding dengan proses timbang tara yang memerlukan persetujuan
kedua belah pihak atau memerlukan adanya satu klausa berkenaan timbangtara yang
akan mengikat pihak-pihak terbabit.
25. Yang pastinya, tuntutan melalui CIPAA adalah satu alternatif yang tidak seharusnya diketepikan sebelum membuat keputusan akhir.
26. Walaubagaimana pun begitu, proses tuntutan
CIPAA tidak seharusnya diambil secara lewa. Di sini lah peri pentingnya fungsi
para konsultan yang berwibawa di dalam memastikan setiap langkah dan proses
yang dijalankan adalah selaras dengan ketetapan yang dinyatakan di dalam Akta.
Mencari peguam di Kuala Lumpur? Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.