Tindakan undang-undang melalui proses Saman di Mahkamah bukanlah proses yang mudah untuk orang awam. Oleh sebab itu pentingnya mendapat nasihat guaman daripada peguam-peguam yang berkredibiliti dan berpengalaman.
Namun apakah proses-proses lazim yang perlu diketahui apabila anda membuat keputusan untuk memfailkan saman terhadap seseorang? Siri rencana Aturan Proses Tindakan Mahkamah akan mengupas secara mudah apakah perjalanan proses sesebuah tindakan saman sivil di Mahkamah dan juga jangka masanya.
ATURAN PROSES MAHKAMAH - FASA KEPUTUSAN / PENGHAKIMAN
1. Fasa terakhir di dalam suatu proses Saman adalah fasa dimana Hakim di Mahkamah akan memberikan keputusan terhadap tuntutan yang difailkan. Fasa ini dinamakan sebagai fasa Keputusan atau Penghakiman.
2. Sebelum membuat sebarang keputusan, lazimnya seseorang Hakim bertanggungjawab menilai kesemua dokumen-dokumen yang telah difailkan, keterangan-keterangan yang diperolehi daripada saksi melalui proses bicara dan juga hujahan-hujahan daripada peguam kedua-dua belah pihak.
3. Beban pembuktian bagi sesuatu proses saman sivil, adalah satu prinsip yang dikenali sebagai "imbangan kebarangkalian" atau Balance of Probabilities.
4. Apa yang dimaksudkan dengan Imbang Kebarangkalian? Secara mudahnya, prinsip ini boleh difahami sebagai penilaian keterangan dan bukti bagi kedua-dua pihak dan membuat imbangan keterangan yang manakah yang lebih berat dan kuat.
5. Ianya seolah-olah keterangan daripada kedua-dua pihak akan diletakkan di atas satu neraca atau dacing dan melihat yang manakah lebih berat kekuatan keterangannya.
6. Ini adalah sebab kenapa peguam lazimnya tidak akan bahkan tidak boleh memberikan sebarang agakan potensi kemenangan sesuatu kes yang beliau uruskan, melainkan beliau tahu dengan pasti kekuatan keterangan pihak lawan.
7. Keputusan atau penghakiman yang diberi oleh Mahkamah boleh merangkumi keputusan seperti yang berikut:
(a) tuntutan Plaintif dibenar;
(b) tuntutan Plaintif ditolak;
(c) dibenarkan sebahagian tuntutan;
(d) dibenarkan dengan pindaan yang suai manfaat.
8. Disamping itu, Mahkamah juga mempunyai budibicara untuk memberikan kos kepada pihak-pihak yang sesuai, lazimnya pihak yang tewas perlu membayar kos yang ditetapkan oleh Mahkamah kepada pihak yang menang.
9. Apa sahaja keputusan yang diberikan oleh Mahkamah, pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dibenarkan memfailkan r1yuan di dalam tempoh masa tertentu.
10. Rayuan terhadap keputusan atau penghakiman tersebut akan difailkan dan didengarkan di Mahkamah yang lebih tinggi daripada Mahkamah yang mengeluarkan keputusan.
11. Sebagai contoh, sekiranya keputusan itu dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah (Majistret atau Sesyen), maka rayuan terhadap keputusan itu akan didengarkan oleh Mahkamah Tinggi.
12. Sekiranya keputusan itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi maka rayuan terhadap keputusan tersebut akan dibuat ke Mahkamah Rayuan.
13. Undang-undang membuka pintu yang luas untuk mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah untuk membuat dan memfailkan rayuan.
14. Sekiranya pihak-pihak yang tewas di dalam kes tersebut mengambil keputusan untuk akur dan tidak mahu membuat rayuan, maka mereka bolehlah mematuhi keputusan dan penghakiman yang diberikan di dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk mengelakkan daripada penghakiman tersebut dilaksanakan.
Bacaan lanjut:
Fasa Aturan Proses Mahkamah
Fasa 1 - Tuntutan
Fasa 2 - Pliding
Fasa 3 - Interlokutori/Permohonan sampingan
Fasa 4 - Pra Bicara
Fasa 5 - Bicara
Fasa 6 - Hujahan
Fasa akhir - Keputusan/Penghakiman
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.