>

ATURAN PROSES MAHKAMAH - FASA HUJAHAN

 

Tindakan undang-undang melalui proses Saman di Mahkamah bukanlah proses yang mudah untuk orang awam. Oleh sebab itu pentingnya mendapat nasihat guaman daripada peguam-peguam yang berkredibiliti dan berpengalaman. 

Namun apakah proses-proses lazim yang perlu diketahui apabila anda membuat keputusan untuk memfailkan saman terhadap seseorang? Siri rencana Aturan Proses Tindakan Mahkamah akan mengupas secara mudah apakah perjalanan proses sesebuah tindakan saman sivil di Mahkamah dan juga jangka masanya.

ATURAN PROSES MAHKAMAH - FASA HUJAHAN

1. Selepas daripada sesi dan proses bicara penuh diselesaikan, dipenghujung sesi tersebut Mahkamah akan memberikan arahan kepada peguam-peguam untuk memfailkan Hujahan Bertulis masing-masing.

2. Peguam-peguam yang mengendalikan kes bagi pihak Plaintif dan Defendan akan menggunakan kepakaran dan pengalaman masing-masing untuk cuba meyakinkan hakim untuk memberikan keputusan yang berpihak kepada anak guam masing-masing.

3. Disinilah peguam-peguam akan mula bersengkang mata untuk anak guam masing-masing. Mereka bukan sahaja terpaksa merujuk semula teks-teks bicara (nota prosiding, dialog yang direkodkan semasa sesi bicara penuh) untuk memastikan keterangan-keterangan saksi-saksi berpihak kepada anak guam mereka.

4. Bukan itu sahaja, peguam-peguam akan meneliti dialog-dialog ini satu persatu untuk mendapatkan sebarang kelompangan atau kelemahan dari kenyataan saksi-saksi pihak lawan boleh digunakan untuk menyokong kes anak guamnya.

5. Selain daripada teks bicara dari nota prosiding, peguam-peguam juga akan merujuk kesemua akta-akta yang relevan dan bersesuaian, dan menelaah berpuluh-puluh buku untuk mendapatkan tafsiran dan penerangan terbaik berkenaan setiap patah perkataan yang digunakan di dalam akta tersebut.

6. Selain akta dan buku, peguam-peguam juga akan merujuk kepada berpuluh-puluh, jika bukan beratus-ratus kes-kes lama yang pernah diputuskan oleh Mahkamah untuk mendapatkan kes-kes yang hampir serupa dengan kes yang dikendalikan dan mengkaji keputusan-keputusan yang dibuat oleh Mahkamah di dalam kes-kes yang terdahulu.

7. Selepas mendapat kesemua maklumat-maklumat ini, peguam akan merangka Hujahan Bertulisnya dengan baik, teratur dan mudah difahami.

8. Selepas Hujahan Bertulis tersebut disediakan, ianya akan difailkan ke Mahkamah dan diserahkan kepada peguam pihak lawan. Pihak lawan juga akan melakukan perkara yang sama. Apabila mendapat Hujahan Bertulis pihak lawan, lazimnya pihak-pihak akan diberikan peluang untuk menjawab hujahan tersebut didalam bentuk Hujahan Jawapan. Maka proses penyelidikan tadi akan bermula semula.

9. Ini adalah diantara tugas-tugas dan kewajipan para peguam yang tidak dapat dilihat oleh anak guamnya. Kadangkala anak guam hanya melihat peguamnya hanya berdiri selama 5 minit di Mahkamah dan mula mempersoalkan kenapa bayaran peguamnya tinggi. Apa yang tidak dapat dilihat oleh anak guam adalah persediaan rapi yang perlu dan terpaksa dibuat oleh peguam-peguam hanya untuk berdiri selama 5 minit di hadapan Hakim itu.

Bacaan lanjut:

Fasa Aturan Proses Mahkamah

Fasa 1 - Tuntutan

Fasa 2 - Pliding

Fasa 3 - Interlokutori/Permohonan sampingan

Fasa 4 - Pra Bicara

Fasa 5 - Bicara

Fasa 6 - Hujahan

Fasa akhir - Keputusan/Penghakiman


Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut. 


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.