Tindakan undang-undang melalui proses Saman di Mahkamah bukanlah proses yang mudah untuk orang awam. Oleh sebab itu pentingnya mendapat nasihat guaman daripada peguam-peguam yang berkredibiliti dan berpengalaman.
Namun apakah proses-proses lazim yang perlu diketahui apabila anda membuat keputusan untuk memfailkan saman terhadap seseorang? Siri rencana Aturan Proses Tindakan Mahkamah akan mengupas secara mudah apakah perjalanan proses sesebuah tindakan saman sivil di Mahkamah dan juga jangka masanya.
ATURAN PROSES MAHKAMAH - FASA PLIDING
1. Apabila orang yang menuntut menghantar Notis Tuntutan kepada orang yang dituntut, lazimnya orang yang menuntut akan memberikan satu tempoh masa untuk Notis Tuntutan tersebut dipatuhi, samada dalam tempoh 7, 14 atau 30 hari bergantung kepada budibicara atau apa-apa terma yang dipersetujui sebelum ini.
2. Selepas daripada tempoh yang diberikan untuk mematuhi Notis Tuntutan tersebut tamat dan orang yang dituntut itu didapati gagal untuk mematuhi tuntutan tersebut, orang yang menuntut berhak untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas orang yang dituntut itu.
3. Peguam yang dilantik oleh orang yang menuntut akan mula menderafkan Saman bagi pihak orang yang menuntut. Apabila Saman ini difailkan ke Mahkamah, orang yang menuntut akan dinamakan sebagai Plaintif manakala orang yang dituntut pula akan dinamakan sebagai Defendan.
APA ITU PLIDING?
4.Saman yang difailkan di Mahkamah inilah yang dinamakan pliding. Pliding secara mudahnya boleh difahami sebagai pernyataan tuntutan atau pembelaan apa-apa kes dalam bentuk dokumen.
5. Secara lazimnya terdapat dua format pliding yang kebiasaannya akan difailkan di Mahkamah. Yang pertama; Writ Saman berserta Pernyataan Tuntuta dan yang kedua; Saman Pemula yang disokong oleh Afidavit Sokongan. Pemilihan format ini bergantung kepada banyak perkara termasuklah jenis-jenis alasan tindakan dan tuntutan yang ingin dituntut di Mahkamah. Proses untuk kedua-dua formatnya ini juga berbeza. Walaubagaimana pun ntuk rencana ini, kita hanya akan fokus kepada proses Writ.
WRIT SAMAN DAN PERNYATAAN TUNTUTAN
6. Writ Saman adalah dokumen yang difailkan oleh Plaintif untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas Defendan. Sesebuah Writ Saman lazimnya akan mengandungi tuntutan kepatuhan dan juga tuntutan yang dibuat terhadap Defendan.
7. Writ Saman akan difailkan bersama dengan satu dokumen yang dinamakan sebagai Pernyataan Tuntutan. Pernyataan Tuntutan ini mengandungi fakta kes dan tuntutan secara terperinci. Pernyataan Tuntutan ini juga perlu terperinci dan mempunyai fakta yang lengkap tanpa boleh tertinggal walau satu pun fakta. Ini untuk memudahkan Defendan memahami apa yang dituntut terhadapnya.
8. Sekiranya Pernyataan Tuntutan disediakan sambil lewa atau tanpa butiran-butiran tuntutan yang lengkap atau ada fakta-fakta yang tertinggal, diwaktu bicara kelak, Plaintif tidak lagi boleh membuat rujukan terhadap fakta-fakta yang tertinggal tersebut. Ini bermaksud, secara lazimnya tuntutan hanya boleh dinilai melalui apa sahaja yang terkandung di dalam Pernyataan Tuntutan tersebut.
9. Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan yang dimeterai (atau bahasa mudahnya, diluluskan dan dicop) oleh Mahkamah hendaklah diserahkan kepada Defendan dalam jangka masa sebulan daripada tarikh Writ. Kegagalan untuk membuat penyerahan tersebut akan menyebabkan Writ Saman tersebut terbatal.
PEMBELAAN
10. Apabila Defendan menerima sesalinan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan daripada peguamcara Plaintif, beliau mempunyai beberapa pilihan. Pilihan pertama adalah dengan mengakui tuntutan dan memasuki Penghakiman Persetujuan. Penghakiman Persetujuan ini adalah penghakiman dimana Defendan bersetuju dengan tuntutan Plaintif dan akan mematuhi tuntutan tersebut serta tidak berhasrat untuk mencabarnya.
11. Pilihan yang kedua adalah dengan melantik peguam dan mencabar tuntutan Plaintif itu di Mahkamah. Peguam yang dilantik akan memfailkan suatu dokumen bernama Memorandum Kehadiran di dalam masa 14 hari daripada tarikh Saman tersebut diterima dan seterusnya akan menyediakan satu dokumen yang dipanggil Pembelaan.
12. Pembelaan ini adalah dokumen yang mengandungi jawapan kepada setiap tuntutan yang dibuat oleh Plaintif di dalam setiap perenggan Pernyataan Tuntutannya. Secara kebiasaannya, setiap perenggan tuntutan Plaintif itu akan dirujuk dan dicabar satu persatu sehingga ke perenggan yang terakhir.
13. Pembelaan ini kemudiannya akan difailkan ke Mahkamah dan akan diserahkan kepada peguamcara Plaintif untuk tindakan lanjut. Sekiranya Plaintif berhasrat untuk menjawab semula setiap perenggan yang terkandung di dalam Pembelaan tersebut, beliau akan memfailkan dokumen yang dipanggil Jawapan Kepada Pembelaan yang seterusnya akan difailkan dan diserahkan kepada Defendan.
TUNTUTAN BALAS
14. Tuntutan Balas adalah dokumen yang lazimnya akan disertakan bersama dengan Pembelaan di dalam keadaan dimana Defendan mempunyai tuntutan yang ingin dituntut terhadap Plaintif yang menyamannya. Dalam bahasa mudahnya, Tuntutan Balas ini boleh difahami sebagai Saman Balas.
15. Proses yang sama akan dilakukan dimana Tuntutan Balas ini akan dijawab satu persatu oleh Plaintif menerusi Pembelaan terhadap Tuntutan Balas.
16. Mahkamah kebiasaannya akan memberikan tempoh akhir untuk memfailkan apa-apa pliding sebelum pliding ditutup. Selepas daripada fasa ini, pihak-pihak tidak lagi boleh memfailkan apa-apa pliding melainkan dengan kebenaran daripada Mahkamah.
Bacaan lanjut:
Fasa Aturan Proses Mahkamah
Fasa 1 - Tuntutan
Fasa 2 - Pliding
Fasa 3 - Interlokutori/Permohonan sampingan
Fasa 4 - Pra Bicara
Fasa 5 - Bicara
Fasa 6 - Hujahan
Fasa akhir - Keputusan/Penghakiman
Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.