>

SAMAN PENGAMBILAN HARTA PERIBADI (DETINU)

 saman pinjam barang, detinu

SAMAN PENGAMBILAN HARTA PERIBADI (DETINU)

Apabila seseorang telah mengambil suatu barang milik anda dan apabila dituntut agar barang tersebut dipulangkan, seseorang itu tadi enggan memulangkan barang tersebut kembali kepada anda. Apa yang anda boleh buat? Adakah anda boleh memfailkan saman terhadapnya di Mahkamah Sivil? 

1. Apabila seseorang individu mengambil dan menggunakan sesuatu barang yang dimiliki oleh orang lain, apabila beliau enggan memulangkan barang tersebut, individu tersebut boleh di saman di Mahkamah.

ASAS TINDAKAN YANG ADA

2. Kausa atau asas tindakan yang lazimnya akan digunakan untuk kes-kes keengganan untuk memulangkan barang milik orang lain seperti ini disebut sebagai Tort Detinu (Tort of Detinue), Tort Penukaran/konversi (Tort of Conversion) dan Tort Pencerobohan Harta (Trespass to Goods).

3. Melalui rujukan kes-kes terdahulu yang dilaporkan di dalam jurnal hukum, pihak-pihak yang mengambil tindakan di bawah asas tindakan-asas tindakan ini lazimnya akan menggunakan salah satu asas ini dan kadangkala akan menggunakan dua daripadanya atau ketiga-tiganya sekali.

4. Didalam siri rencana pengambilan harta peribadi ini kita akan mengupas setiap satu asas-asas tindakan yang boleh diambil terhadap orang-orang yang mengambil barang-barang kepunyaan orang lain.

APA ITU DETINU / TORT OF DETINUE (TUNTUTAN PEMULANGAN BARANG)

Detinue was of earlier origin. Its gist was the unlawful failure to deliver up good when demanded. It lay when a person wrongfully detained the goods of another, or improperly parted with possession of them - Halsbury Law of England

5. Apa itu Tort Detinu? Tort detinu adalah tindakan undang-undang yang berasaskan kegagalan penyimpan barang untuk menyerahkan semula sesuatu barangan yang dimiliki oleh pemilik barangan selepas barangan tersebut dituntut daripadanya.

6. Secara mudahnya, ianya adalah saman untuk mendapatkan semula sesuatu barangan yang di simpan secara salah oleh orang yang mengambil dan menyimpan barang tersebut.

7. Liabiliti orang yang mengambilnya terbit, bukannya daripada cara beliau mengambil barang tersebut tetapi kegagalan orang tersebut untuk memulangkan barang tersebut apabila dituntut. Ini bermakna, barang itu mungkin diambil secara sah (dipinjamkan, disewakan) atau diambil secara tidak sah (curi). 

8. Sebagai contoh:

En. Bustamam Hakim telah menggunakan kereta yang dimiliki oleh En.Ismadi Marzuki secara sewaan bulanan. Namun, apabila tamat tempoh sewaan tersebut, En.Bustamam Hakim enggan untuk menyerahkan semula kereta tersebut kembali kepada En.Ismadi Marzuki walaupun telah dituntut. Perbuatan En.Bustamam Hakim itu boleh menerbitkan asas tindakan dibawah undang-undang detinu.

SYARAT UNTUK KES-KES DETINU

9. Syarat-syarat untuk tindakan dibawah undang-undang detinu adalah seperti berikut:

(a) barang atau harta boleh alih tersebut dimiliki oleh pemilik atau seseorang itu mempunyai hak serta-merta untuk mendapatkan barang tersebut;

(b) barang atau harta boleh alih tersebut telah dituntut agar dipulangkan;

(b) Penyimpan Barang atau harta boleh alih tersebut enggan memulangkan barang tersebut selepas dituntut.

10. Sekiranya tiada tuntutan untuk memulangkan barang tersebut dibuat, maka penyimpan barang tersebut tidak boleh dikatakan sebagai enggan memulangkan barang tersebut. Oleh yang demikian, elemen tuntutan adalah sesuatu yang sangat penting untuk kes-kes detinu.

CONTOH KES-KES DETINU

11. Contoh kes-kes yang difailkan untuk tindakan detinu adalah seperti berikut:

a) tuntutan pemulangan kargo-kargo plaintif yang enggan dilepaskan dari kapal (vessel) Defendan,

b) tuntutan pemulangan lembu-lembu plaintif yang memasuki ladang milik Defendan;

c) tuntutan pemulangan kereta sementara milik plaintif yang dipinjamkan kepada Defendan sementara kereta Defendan diperbaiki;

d) tuntutan pemulangan barang-barang jualan Plaintif yang enggan dilepaskan dan dikunci di dalam premis oleh Defendan;

e) tuntutan pemulangan jentera-jentera dan peralatan-peralatan Plaintif dari kawasan milik Defendan. 

TUNTUTAN DAN PAMPASAN KES DETINU 

12. Dalam menentukan bentuk pampasan bagi kes-kes detinu, kelaziman perkara yang akan dituntut keatas penyimpan barang itu adalah samada:

i. Nilai harga barang akan ditaksirkan dan kerugian disebabkan oleh keengganan penyimpan untuk memulangkan barang tersebut;

ii. Perintah untuk pemulangan semula barang tersebut atau pembayaran mengikut nilai yang ditaksirkan dan kerugian disebabkan disebabkan oleh keengganan penyimpan untuk memulangkan barang tersebut; atau

iii. Perintah untuk pemulangan semula barang tersebut dan pembayaran kerugian disebabkan disebabkan oleh keengganan penyimpan untuk memulangkan barang tersebut.

detinu, saman pulang barang

*** Untuk rencana berkenaan tuntutan nilai barang yang tidak dipulangkan, baca disini: https://www.norhafeezlaw.com/2021/10/tort-conversion-di-malaysia.html

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

peguam saman simpan barang

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.