>

TUNTUT HUTANG DAN PERJANJIAN HUTANG

tuntut hutang 2021

TUNTUT HUTANG DAN PERJANJIAN HUTANG

Hutang adalah sesuatu yang seringkali menimbulkan masalah dikalangan masyarakat. Ianya boleh menyebabkan perselisihan faham dan ketidakpuasan hati dikalangan suami isteri, ahli keluarga dan rakan-rakan. Tambah-tambah lagi jika hutang gagal dibayar. Masyarakat dihari ini masih lagi kurang kesedaran berkenaan dengan kepentingan perjanjian hutang. Kenapa perlu perjanjian hutang? Apa kepentingannya?

PINJAMAN PERSAHABATAN

2. Disisi undang-undang, hutang yang diberi, lazimnya, tanpa faedah atau bunga, diantara ahli keluarga atau rakan-rakan, dipanggil hutang atau pinjaman persahabatan ataupun friendly loan. Amaunnya boleh dari sekecil-kecil amaun sehingga sebesar-besar jumlah. Syarat pentingnya adalah bayaran balik yang dilakukan adalah tanpa faedah.

MASALAH TUNTUT HUTANG

3. Masalah kerap berlaku apabila orang yang berhutang, dipanggil penghutang, mula culas atau lansung gagal membayar hutangnya kepada si pemberi pinjam yang dipanggil pemiutang. Ramai pemiutang yang terpaksa mencari peguam untuk tuntut hutang tersebut dan memfailkan tindakan saman di Mahkamah.

4. Oleh kerana pinjaman yang diberikan itu adalah atas dasar persahabatan, maka sangat jarang hutang-hutang ini disandarkan kepada apa-apa perjanjian pinjaman atau perjanjian hutang. Ini sebenarnya adalah perbuatan yang perlu diperbaiki. Namun kenapa perlu kepada perjanjian hutang dan apakah kepentingan suatu perjanjian hutang?

peguam tuntut hutang

PERJANJIAN HUTANG DAN KEPENTINGANNYA

5. Kepentingan yang pertama adalah perjanjian hutang akan memudahkan urusan kedua-dua pihak dimana semua syarat-syarat pemberian hutang dijelaskan secara hitam dan putih. Ini mengurangkan pelbagai masalah dari segi  jumlah, tempoh, tujuan dan syarat-syarat lain yang difikirkan perlu. Ianya juga memudahkan rujukan kedua-dua belah pihak sekiranya terdapat sebarang pertikaian.

6. Kepentingan yang kedua adalah perjanjian hutang akan memudahkan pihak-pihak menentukan jumlah hutang yang diberi, cara pemberian hutang dan juga tempoh pembayaran hutang tersebut. 

7. Ini akan dapat meminimakan risiko pemiutang terlupa atau terlepas pandang tentang perkara-perkara pokok seperti pembayaran balik hutangnya mengikut masa yang ditetapkan.

8. Kepentingan yang ketiga adalah perjanjian hutang dapat menentukan objektif pemberian hutang dengan jelas. Sekiranya ianya pinjaman persahabatan maka pemiutang tidak boleh mencabar objektif hutang itu ataupun mengatakan ianya bukan pinjaman persahabatan tetapi pelaburan, sebagai contoh. 

9. Antara alasan utama yang sering digunakan oleh pemiutang di Mahkamah adalah mendakwa sesuatu pinjaman itu bukanlah pinjaman persahabatan tetapi pelaburan atau usahasama atau pinjaman berfaedah atau pemberian hadiah atau bayaran hutang terdahulu si penghutang kepada pemiutang.

10. Kepentingan yang keempat adalah perjanjian akan memudahkan pihak-pihak terutamanya pihak penghutang sekiranya tuntutan saman terpaksa dibuat untuk menuntut hutang daripada si pemiutang. 

11. Mahkamah pada asasnya akan mengutamakan kandungan perjanjian sebelum menilai apa-apa keterangan lain didalam memutuskan sesuatu kes berkenaan dengan hutang. Ketiadaan perjanjian akan menjadikan proses tersebut menjadi lama, rumit dan sukar.

12. Kepentingan yang kelima adalah perjanjian hutang dapat memudahkan pihak penghutang memenuhi apa sahaja syarat yang perlu dipenuhi sebelum boleh membuat tuntutan melalui saman. Terutamanya dari segi tempoh masa, iaitu bila boleh membuat tuntutan, atau cara bagaimana sesuatu tuntutan boleh dibuat sebelum memfailkan saman. 

13. Ini dapat mengelakkan daripada saman ditolak disebabkan pra matang (saman difailkan sebelum sampai masa atau tanpa memenuhi syarat preseden (condition precedence)).

14. Suatu perjanjian hutang itu tidak semestinya disediakan oleh seorang peguam. Ianya boleh disediakan oleh pihak-pihak itu sendiri namun cara yang terbaik adalah untuk mendapatkan seorang peguam yang berpengalaman untuk menderafkannya. Ini adalah untuk mengurangkan risiko perjanjian tersebut tidak dapat digunakan ataupun tidak memberikan manfaat yang sewajarnya apabila dirujuk ke Mahkamah.

15. Walau apa pun, sekiranya anda memberi hutang kepada seseorang, adalah disarankan agar anda turut sediakan Perjanjian Hutang. Ianya akan membantu anda kelak.

Untuk maklumat lanjut, rujuk pautan berikut:

👉 Tuntut hutang melalui Saman

👉 Proses Saman Sivil

_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.