BICARA DALAM KAMAR - Episod 2
TUNTUT HUTANG
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Norhafeezlaw. Saya doakan anda semua di dalam keadaan sihat walafiat. Nama saya Hafeez dan saya merupakan peguam yang mengendalikan blog ini. Siri Bicara Dalam Kamar ini saya mulakan bagi memberi ruang untuk saya berceloteh dan berkongsi pengalaman harian saya mengendalikan kes-kes sebagai seorang peguam secara santai dan padu. Harapan saya adalah agar setiap perkongsian didalam siri ini boleh memberi sentapan, manfaat, panduan, tauladan dan sempadan kepada para pembaca.
NAK TUNTUT HUTANG
3. Seperti biasa, di dalam sesi konsultasi yang di adakan, saya pun bertanyalah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan hutang tersebut daripada anak guam saya itu. Katanya, hutang tersebut adalah friendly loan kepada kenalannya yang kononnya ingin memulakan perniagaan.
PINJAMAN PERSAHABATAN
4. Dan yang membuatkan saya menggelengkan kepala adalah transaksi tersebut tidak dimuktamadkan melalui apa-apa perjanjian pinjaman persahabatan. Jangan gelak. Memang itu terma yang diguna pakai oleh sesetengah Mahkamah. Pinjaman persahabatan. Friendly loan.
NOTIS TUNTUTAN HUTANG
5. Anak guam saya memberikan arahan untuk saya mengeluarkan notis tuntutan terhadap kenalannya tersebut, kerana janji untuk membuat bayaran balik tidak ditepati. Perniagaan entah ke mana, hutang pun entah kemana. Yang tak kemana hanyalah alasan demi alasan.
6. Kira-kira seminggu selepas pengeluaran notis tuntutan, kenalan anak guam saya ini menghubungi saya untuk mencari penyelesaian. Macam-macam cadangan diberikan daripada menunggu duit KWSP, menunggu duit pelabur dalam perniagaan beliau hinggalah mahu menjual koleksi-koleksi figura simpanan beliau untuk membayar hutang tersebut.
7. Tetapi pembayaran tersebut hanya akan dilakukan pada tahun
2025. Saya tidak boleh membuat keputusan bagi pihak anak guam jadi saya bergegas
memaklumkan kepada anak guam saya akan cadangan-cadangan tersebut.
8. Entah kenapa, hati anak guam saya ini baik. Beliau menerima cadangan kenalannya itu dan beliau memberikan peluang kepada kenalannya itu sehingga tahun 2025.
HAD MASA 6 TAHUN UNTUK SAMAN TENTANG HUTANG
9. Lama masa yang dipohon. Untuk memfailkan tindakan bagi suatu tuntutan yang berdasarkan perjanjian seperti ini, undang-undang menetapkan bahawa tindakan hendaklah dibawa sebelum tamat tempoh 6 tahun dari tarikh dia sepatutnya bayar.
10. Sekiranya difailkan juga selepas tempoh 6 tahun, tanpa kebenaran Mahkamah, saman anda boleh dibuang. Ini selaras dengan peruntukan di dalam Seksyen 6 Akta Had Masa 1953.
KALAU DAH LEBIH 6 TAHUN?
11. Kalau dah lebih 6 tahun, ada cara lain tak untuk buat tuntutan? Ada. Kalau orang yang berhutang tu buat pengakuan berhutang atau bayar sikit daripada hutang tu, maka tempoh masa 6 tahun tu akan bermula semula dari tarikh pengakuan atau pembayaran dia tadi. Ini selaras dengan Seksyen 26 (2) Akta Had Masa 1953.
12. Saya tidak mempunyai masalah dengan pilihan anak guam saya itu namun saya
menasihatinya agar dibuat satu perjanjian penyelesaian yang akan mengikat
pihak-pihak kelak.
TAK MAHU HITAM PUTIH
13. Perjanjian ini akan berguna untuk menyelaraskan pembayaran hutang itu kelak dan ianya memudahkan urusan pihak-pihak kerana ianya akan mengikat kenalannya itu. Bukan itu sahaja, perjanjian ini akan menjadi bukti sekiranya terdapat keperluan untuk membuat tuntutan melalui saman kelak.
14. Tambahan pula, pinjaman persahabatan yang beliau berikan kepada kenalannya itu tidak disusuli dengan hitam putih jadi perjanjian yang baru ini akan menjadi asas hitam putih terhadap pinjaman tersebut.
15. Sedikit kecewa juga saya apabila beliau memilih untuk tidak menyediakan sebarang perjanjian. Alasannya tidak perlu. Puas saya memberikan nasihat dan pandangan kepada beliau namun anak guam saya itu tetap memilih untuk tidak mengadakan perjanjian. Tidak mahu rumit katanya.
16. Saya hanya mampu merungut di dalam hati. Rumit itu akan tiba bila kenalannya itu gagal membayar balik pinjaman itu kelak. Rumit itu akan tiba bilamana kes dibawah ke Mahkamah, anak guam saya tidak ada sebarang dokumen untuk menyokongnya. Dan yang lebih rumit, bila datang waktu ingin memfailkan saman, saman itu dah terhalang oleh had masa. Namun saya akur sahaja lah.
KEPENTINGAN PERJANJIAN
17. Perjanjian pinjaman persahabatan ini penting kerana ianya akan menjadi asas kepada transaksi pinjaman tersebut. Anda boleh memilih untuk menderafnya sendiri sekiranya anda tahu apa yang perlu ada di dalam sesuatu perjanjian untuk membuatnya kukuh dan berguna. Namun kalau tidak tahu, lantik peguam dan arahkan peguam untuk sediakan perjanjian itu.
18. Nak kena bayar peguam lagi? Ada baiknya berhabisan sedikit untuk mengupah peguam daripada mengalami kerugian yang lebih besar kerana perjanjian penuh kelompangan dan tak boleh diguna pakai atau tidak membantu bila dirujuk kepada Mahkamah kelak.
TAULADAN
i. Apabila meminjamkan wang kepada sesiapa sahaja, pastikan ada hitam putih.
ii. Perjanjian pinjaman boleh saja buat sendiri, kalau tahu tentang klausa-klausa penting yang perlu ada tapi adalah lebih baik mengupah peguam untuk menyediakannya.
iii. Berhabislah sedikit untuk selamat daripada rugi yang lebih besar dikemudian hari.
iv. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian terciduklah jawapnya.
* Untuk baca tentang kepentingan perjanjian hutang secara lanjut, boleh baca disini: https://www.norhafeezlaw.com/2021/09/tuntut-hutang-dan-perjanjian-hutang.html
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.