>

ATURAN PROSES MAHKAMAH - FASA INTERLOKUTORI

 

Tindakan undang-undang melalui proses Saman di Mahkamah bukanlah proses yang mudah untuk orang awam. Oleh sebab itu pentingnya mendapat nasihat guaman daripada peguam-peguam yang berkredibiliti dan berpengalaman. 

Namun apakah proses-proses lazim yang perlu diketahui apabila anda membuat keputusan untuk memfailkan saman terhadap seseorang? Siri rencana Aturan Proses Tindakan Mahkamah akan mengupas secara mudah apakah perjalanan proses sesebuah tindakan saman sivil di Mahkamah dan juga jangka masanya.

ATURAN PROSES MAHKAMAH - FASA INTERLOKUTORI

1. Apabila Writ Saman dan pliding selainnya telah difailkan ke Mahkamah, Mahkamah pada kebiasaannya akan memberikan arahan kepada pihak-pihak untuk membuat persiapan untuk proses bicara.

2. Namun di dalam pada masa yang sama, mungkin terdapat permohonan-permohonan sampingan yang ingin difailkan oleh pihak Plaintif atau pihak Defendan.


APA ITU PERMOHONAN INTERLOKUTORI?

3. Permohonan-permohonan sampingan inilah apa yang dikenali sebagai permohonan-permohonan interim atau interlokutori. Secara mudahnya, permohonan interim atau interlokutori ini merujuk kepada permohonan yang dibuat diantara dua jangka waktu dimana jangka waktu pertama adalah waktu pemfailan dan jangka waktu kedua adalah waktu Penghakiman.

4. Apa sahaja permohonan yang dibuat diantara dua jangka waktu ini dipanggil fasa interlokutori.

5. Walaubagaimana pun perlu diketahui bahawa fasa ini tidak semestinya ada. ianya bergantung kepada kes dan arahan daripada anak guam-anak guam peguamcara didalam sesebuah kes itu.


CONTOH PERMOHONAN INTERLOKUTORI

6. Diantara contoh permohonan interlokutori yang biasa adalah permohonan untuk mendapatkan Penghakiman Terus, permohonan untuk meminda Pliding, permohonan untuk mendapatkan dokumen, permohonan membatalkan pliding dan sebagainya.


PERTUKARAN AFIDAVIT

7. Permohonan-permohonan ini kebanyakkannya dibuat melalui Notis Permohonan yang akan difailkan bersama dengan Afidavit Sokongan. Ianya akan dihantar kepada peguamcara pihak lawan dan Afidavit tersebut perlu dijawab di dalam masa 14 hari.

8. Menjawab sesuatu afidavit itu pula tidak boleh dibuat sambil lewa tetapi memerlukan ketelitian dan pengalaman. Ini kerana kegagalan menyangkal apa sahaja kenyataan yang dibuat oleh pihak lawan bermakna kenyataan tersebut diterima sebagai fakta. Peguam selalunya akan menderaf afidavit afidavit ini dengan penuh berhati-hati.

9. Afidavit Sokongan akan dijawab dengan Afidavit Jawapan yang seterusnya akan dibalas dengan Afidavit Balasan atau balasan kepada Jawapan yang kemudianyya boleh dijawab kembali dengan Afidavit Jawapan kepada Pembalasan. Pihak-pihak akan bertukar-tukar afidavit sehinggalah selesai dengan setiap satu perlu dijawab di dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan.


HUJAHAN DAN KEPUTUSAN

10. Selepas tiada lagi pemfailan dan proses berbalas afidavit, Mahkamah akan memberikan arahan agar peguam-peguam menyediakan hujahan samada secara bertulis atau secara oral selepas memberikan keputusan dimana permohonan interlokutori itu boleh dibenarkan atau ditolak.

11. Bicara atau pendengaran permohonan interlokutori ini dianggap sebagai mini bicara atau bicara kecil kerana prosesnya seakan-akan sama dengan proses bicara. 

12. Apa yang membezakan bicara kecil dan bicara penuh itu nanti adalah keterangan di dalam bicara kecil interlokutori ini dibuat melalui dokumen dan afidavit semata-mata dimana di dalam bicara penuh, keterangan bukan sahaja didapati daripada dokumen dan juga keterangan saksi-saksi. 

Bacaan lanjut:

Fasa Aturan Proses Mahkamah

Fasa 1 - Tuntutan

Fasa 2 - Pliding

Fasa 3 - Interlokutori/Permohonan sampingan

Fasa 4 - Pra Bicara

Fasa 5 - Bicara

Fasa 6 - Hujahan

Fasa akhir - Keputusan/Penghakiman



Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.


 

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.