>

BICARA DALAM KAMAR - Episod 1 - KENA SAMAN MALU.

 

peguam hafeez

BICARA DALAM KAMAR - Episod 1

KENA SAMAN MALU

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Norhafeezlaw. Saya doakan anda semua di dalam keadaan sihat walafiat. Nama saya Hafeez dan saya merupakan peguam yang mengendalikan blog ini. Siri Bicara Dalam Kamar ini saya mulakan bagi memberi ruang untuk saya berceloteh dan berkongsi pengalaman harian saya mengendalikan kes-kes sebagai seorang peguam secara santai dan padu. Harapan saya adalah agar setiap perkongsian didalam siri ini boleh memberi sentapan, manfaat, panduan, tauladan dan sempadan kepada para pembaca.

KENA SAMAN MALU

2. Pada beberapa bulan yang lepas, saya telah dilantik oleh seorang anak guam untuk mengendalikan kes beliau di Mahkamah Sesyen di Melaka. Anak Guam tersebut telah disaman dibawah undang-undang fitnah. Di saman malu lah ceritanya.

3. Setelah dilantik, saya bergegas menghubungi peguamcara bagi pihak orang yang menyaman (dipanggil Plaintif) anak guam saya (yang kena saman dipanggil Defendan) tersebut untuk mendapatkan maklumat tentang status kes tersebut di Mahkamah.

4. Terkejut juga saya apabila dimaklumkan bahawa Penghakiman Interlokutori telah pun difailkan ke atas anak guam saya. Perkara tersebut juga saya sahkan sendiri melalui carian fail yang saya buat di Mahkamah.

PENGHAKIMAN INTERLOKUTORI

5. Apa itu Penghakiman Interlokutori? Penghakiman Interlokutori ini adalah penghakiman yang difailkan oleh Plaintif apabila pihak Defendan gagal memasukkan kehadiran di Mahkamah selepas 14 hari penerimaan Saman. 

6. Penghakiman Interlokutori ini juga adalah penghakiman yang khusus untuk kes-kes yang mana tuntutan gantiruginya belum dapat ditetapkan, dan perlu kepada penaksiran gantirugi oleh Mahkamah seperti kes-kes tort seperti fitnah dan kecuaian.

SAMAN TERIMA TAPI LAMBAT LANTIK PEGUAM

7. Bergegas pula saya mendapatkan penjelasan daripada anak guam. Anak guam memaklumkan kepada saya yang sebenarnya beliau telah menerima sesalinan Saman lebih sebulan yang lepas namun di atas sebab-sebab tertentu beliau tidak melantik peguam. Beliau hanya melantik saya beberapa lama selepas itu.

8. Saya hanya mampu menggelengkan kepala dan memberikan nasihat yang sewajarnya kepada anak guam saya itu.

DAH KENA PENGHAKIMAN, APA PERLU BUAT?

9. Disisi undang-undang, walaupun satu penghakiman telah direkodkan keatas anda, peguam anda masih boleh memfailkan permohonan untuk mengenepikan penghakiman tersebut. Ianya dikenali sebagai Permohonan untuk Mengenepikan Penghakiman selaras dengan Aturan 42 Kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

10. Permohonan ini sememangnya dibenarkan oleh undang-undang namun samada untuk membenar atau menolak permohonan tersebut, terletak kepada budi bicara Mahkamah dan pemenuhan syarat-syarat tertentu dari segi tempoh masa, cadangan pembelaan, alasan kegagalan memfailkan kehadiran dan sebagainya.

11. Kecuaian untuk melantik atau mendapatkan nasihat peguam sejurus selepas menerima Saman boleh menyebabkan pelbagai kerumitan yang tidak anda ingini kerana ianya melibatkan kos guaman dan penyelenggaraan tambahan untuk memfailkan permohonan, pembaziran dari segi masa dan tenaga dan juga risiko permohonan tersebut ditolak.

12. Sekiranya permohonan tersebut ditolak sekalipun, anda masih berpeluang untuk membuat rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi namun ini semua memerlukan kos tambahan yang sepatutnya boleh anda elakkan sekiranya anda tidak cuai atau gagal melantik peguam.

BAYAR LAWYER MAHAL 

13. Saya faham bahawa kos untuk melantik peguam memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan mahal, namun sekiranya kecuaian untuk melantik peguam itu menyebabkan anda dikenakan penghakiman, sepertimana apa yang dilalui oleh anak guam saya tadi, maka perbelanjaan yang mahal tadi akan bertambah dan menjadi jauh lebih mahal.

14. Pada waktu itu, anda sudah tidak punya pilihan lain dan terpaksalah membayar kos guaman yang berkali ganda harganya kerana penghakiman yang tidak diketepikan boleh dikuatkuasakan melalui prosiding perlaksanaan. Bertambah masalah.   

TAULADAN

i. Jangan buat benda yang boleh menyebabkan anda kena saman.

ii. Tapi kalau dah kena saman, jangan berlengah-lengah untuk mendapatkan nasihat atau melantik seorang peguam.

iii. Jangan mengabaikan apa-apa dokumen yang anda terima daripada peguam. Sekiranya tidak faham isi kandungannya, dapatkan nasihat daripada peguam anda. 

iv. Jangan mengharapkan ehsan peguam yang dilantik oleh orang yang menyaman anda untuk bantu anda. Dapatkan nasihat daripada peguam lantikan anda sendiri.

v. Apabila anda disaman, masa adalah intipati dan akan berjalan laju. Semua proses dan prosedur bergerak mengikut masa yang ditetapkan. Ianya takkan berhenti atau bersimpati kepada keadaan anda.



0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.