>

KOS PERKHIDMATAN PEGUAM

 


 JENIS BAYARAN KEPADA PEGUAM

Berapakah kos perkhidmatan peguam? Perkara yang paling merisaukan seseorang, sebelum bertemu dengan peguam pada tahun 2022 ini, sudah tentu adalah berkenaan bayaran, caj atau fi guaman peguam yang akan dikenakan untuk sesuatu kes. 

Ada peguam yang mengenakan bayaran yang mahal dan ada juga yang tidak mengenakan sebarang bayaran. Namun, apakah jenis-jenis bayaran yang lazimnya perlu dibuat kepada peguam untuk mendapatkan perkhidmatannya?

1. Bayaran peguam, kadangkalanya, adalah  satu isu yang boleh menimbulkan kekeliruan sekiranya tidak difahami dengan betul. Kekeliruan ini kerapkali menyebabkan salah faham dan kadangkala hingga berlakunya pertengkaran di antara peguam dan anak guamnya. Bahkan sehingga proses saman menyaman.

2. Dengan memahami bayaran dan juga kos-kos yang terlibat sebelum anda memulakan apa-apa tindakan undang-undang melalui peguam anda, tidak akan ada sebarang kekeliruan lagi berkenaan dengan bayaran-bayaran peguam yang perlu anda bayar kepada peguam anda. 

JENIS BAYARAN KEPADA PEGUAM

3. Adalah amat penting untuk anda ambil maklum bahawa bayaran yang perlu dibuat kepada kepada seseorang peguam yang mengendalikan kes anda, secara lazimnya terbahagi kepada 3 jenis bayaran. Bayaran-bayaran itu adalah:

  • Yuran Guaman
  • Yuran Penyelenggaraan/Belanja Hangus
  • Cukai Perkhidmatan

 i) YURAN GUAMAN

APA ITU YURAN GUAMAN, CAJ GUAMAN ATAU FI GUAMAN?

4. Ini adalah jenis bayaran yang seringkali kita dengar. Yuran, caj atau fi guaman ataupun "legal fees" adalah bayaran yang dikenakan oleh peguam untuk mewakili dan menjalankan tindakan bagi anda. Dalam bahasa mudahnya, yuran guaman ini adalah upah peguam. 


5. Bayaran yuran guaman ini termasuklah upah untuk membuka fail, meneliti dokumen, memberikan nasihat undang-undang dan apa sahaja tindakan peguam yang memerlukan kepakaran dan pengalaman peguam berkenaan.

PERBEZAAN CAJ PEGUAM HARTANAH DENGAN PEGUAM JENAYAH ATAU SIVIL

6. Yuran guaman bagi sesuatu kes sivil sebagai contoh, tidak dikawal selia secara khusus oleh undang-undang. Ianya berbeza dengan yuran guaman bagi sesuatu kes pembelian hartanah, sebagai contoh, yang dikawal selia oleh Kaedah-Kaedah/Perintah Saraan Peguamcara 2016. 
 
7. Untuk yuran guaman bagi kes-kes jual beli Hartanah, Kaedah-Kaedah/Perintah Saraan Peguamcara telah menetapkan formula yang wajib diikuti oleh peguam di dalam menetapkan yuran guaman yang akan dikenakan ke atas anak guamnya. 

8. Peguam di dalam kes jual beli hartanah tidak dibenarkan sama sekali untuk mengenakan yuran sesuka hati, ataupun memberikan sebarang diskaun melebihi kadar yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

9. Ianya berbeza dengan kes-kes selain kes jual beli hartanah. Yuran guaman untuk kes-kes sivil, jenayah, korporat atau syariah  bergantung sepenuhnya kepada budi bicara, perbincangan dan persetujuan di antara peguam dengan anak guam.

kos saman sivil, peguam sivil
BUDIBICARA DAN PERSETUJUAN PEGUAM - ANAK GUAM

10. Budibicara untuk menetapkan kadar yuran guaman sesuatu kes sivil ataupun jenayah, sebagai contoh, kebiasaanya bergantung kepada kemahiran dan pengalaman peguam, jenis dan tahap kerumitan kes, jenis dan jumlah dokumentasi atau saksi, masa yang diperlukan dan juga bidangkuasa Mahkamah.

11. Sebagai contoh, sesebuah kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi selalunya memerlukan yuran guaman yang tinggi berbanding dengan kes-kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen. Kes-kes yang melibatkan fakta yang rumit, dokumen yang banyak dan kemahiran serta pengalaman yang tinggi juga kadangkala akan menyebabkan yuran guaman menjadi tinggi.

ii) YURAN PENYELENGGARAAN/BELANJA HANGUS

APA ITU YURAN PENYELENGGARAAN?

12. Yuran penyelenggaraan, ataupun belanja hangus, di dalam satu kes sivil adalah bayaran yang dikenakan keatas anak guam, bagi menampung kos-kos pemfailan dokumen-dokumen di Mahkamah dan juga kos-kos sampingan yang ditanggung oleh Peguam. 

13. Apa yang dimaksudkan dengan kos-kos pemfailan dokumen-dokumen di Mahkamah? Anda perlu tahu bahawa bagi setiap dokumen yang perlu difailkan, Mahkamah akan mengenakan bayaran kepada setiap satu dokumen tersebut. 

14. Writ Saman, Pembelaan, Notis Rayuan adalah contoh-contoh dokumen dimana yuran pemfailan perlu dibayar ke Mahkamah sebelum pemfailannya diterima. Pembayaran-pembayaran ini akan dicaj kembali kepada anda sebagai yuran penyelenggaraan.  

15. Yuran penyelenggaraan ini termasuk juga kos-kos yang perlu dibayar oleh peguam kepada mana-mana pihak ketiga seperti Jabatan Insolvensi, Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan lain-lain lagi, bagi maksud untuk menguruskan kes anda.

16. Apa pula kos-kos sampingan yang ditanggung oleh peguam? Secara lazimnya, ianya adalah kos perjalanan, kehadiran Mahkamah, penginapan, cetakan dan fotostat, penyerahan dokumen dan sebagainya.

BEZA YURAN GUAMAN DENGAN YURAN PENYELENGGARAAN

17. Yuran penyelenggaraan adalah berbeza dengan yuran guaman. Jika Yuran guaman adalah upah untuk menjalankan kes bagi pihak anak guam, maka Yuran Penyelenggaraan adalah "out of pocket expenses" ataupun belanja hangus.

18. Bagi membolehkan sesuatu kes itu diuruskan dengan lancar, kos-kos penyelenggaraan atau belanja hangus ini memang tidak dapat dielakkan.

iii) CUKAI PERKHIDMATAN

19. Cukai perkhidmatan adalah cukai yang dikenakan oleh Kerajaan untuk sesuatu perkhidmatan. Setakat rencana ini ditulis Cukai Perkhidmatan SST yang dikenakan oleh kerajaan adalah pada kadar 6%. Cukai Perkhidmatan ini selalunya akan dikira berdasarkan jumlah Yuran Guaman yang dikenakan.

KEPENTINGAN MEMAHAMI JENIS BAYARAN KEPADA PEGUAM

20. Seperti yang dinyatakan pada awal rencana tadi, adalah amat penting bagi anda untuk memahami atau mendapatkan penjelasan terperinci daripada peguam anda tentang jenis-jenis bayaran guaman yang perlu dibuat kepada peguam. 

21. Ini adalah untuk mengelakkan berlakunya sebarang salah faham, pertikaian ataupun lebih teruk, pertengkaran di antara anda dengan peguam anda tentang bayaran guaman. 
 
22. Pada kebiasaannya, sebutharga yang diberikan oleh seseorang peguam hanya meliputi Yuran Guaman dan tidak termasuk Yuran Penyelenggaraan dan Cukai Perkhidmatan. 

23. Dapatkan perincian yang jelas daripada peguam anda berkenaan anggaran kos bagi setiap satu bayaran-bayaran yang perlu dikeluarkan.

24. Ini adalah bagi membolehkan anda merangka perbelanjaan untuk kes anda dan supaya anda tidak dikejutkan dengan bil-bil yang dihantar oleh peguam anda.

25. Sekiranya amaun yuran guaman telah dipersetujui, buatlah bayaran di dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh peguam anda untuk mengelakkan sebarang masalah berhubung dengan fail anda di Mahkamah. 
 
26. Kegagalan membuat bayaran boleh menyebabkan peguam tidak dapat meneruskan perkhidmatannya bagi pihak anda, ataupun kelewatan untuk melakukan tindakan yang sepatutnya dilakukan dan menahan akses terhadap sebarang dokumen di dalam simpananya sehinggalah baki yuran guaman dijelaskan.

27. Bukan itu sahaja, peguam anda boleh menyaman anda kerana gagal membayar yuran guaman sekiranya kerja-kerja guaman telah dilakukan. 

bayaran peguam malaysia

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.



0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.