KENA SAMAN? APA TINDAKAN JIKA KENA SAMAN?
Di saat waktu rakyat Malaysia mengalami kesukaran dari segi mental dan kewangan tiba-tiba anda terima surat saman? Perlu hadir ke Mahkamah? Apa perlu anda buat sekiranya kena saman?
1. Saman adalah sesuatu yang cukup ditakuti oleh kebanyakan orang awam, apatah lagi apabila menerima sesuatu surat Saman daripada sesuatu pihak yang lain.
2. Ianya boleh mengganggu dan merunsingkan fikiran, mencuri tenaga dan masa dan yang paling penting sekali memerlukan kos yang boleh dan sepatutnya digunakan untuk perkara-perkara yang lebih penting tambah-tambah lagi di dalam tahun 2021 yang penuh kesukaran ini.
3. Namun, sekiranya anda menerima Saman, apakah tindakan yang perlu anda lakukan? Ikuti beberapa langkah dibawah bagi memastikan langkah yang anda ambil itu langkah yang tepat sebelum merujuk kepada pihak peguam.
4. Rencana ini penting kerana banyak pihak yang mengambil kesempatan terhadap kekurangannya pengetahuan awam tentang saman. Bukan sedikit saman-saman palsu yang tidak mengikut format yang digunakan pelbagai pihak untuk pelbagai tujuan.
|
Contoh Writ Saman 2021 |
a. SIAPA YANG SAMAN?
5. Pada muka surat pertama sesuatu Writ Saman akan menunjukkan nama orang yang menyaman anda. Lazimnya beliau akan dinamakan sebagai Plaintif manakala anda pula adalah Defendan.
b. PASTIKAN NAMA DAN NO. KAD PENGENALAN ANDA ADALAH TEPAT.
6. Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah menyemak nama dan nombor kad pengenalan anda yang akan tertera pada muka surat pertama Writ Saman tersebut. Pastikan Nama dan No. Kad Pengenalan anda adalah tepat sepertimana yang tertera didalam kad pengenalan anda. Kadang-kadang kesilapan penyerahan saman kepada orang yang tidak sepatutnya diserahkan saman boleh berlaku.
c. CATITKAN NO. SAMAN, LOKASI MAHKAMAH, TARIKH SERTA MASA UNTUK HADIR.
7. Selalunya sesuatu Saman akan diserahkan bersama dengan sesalinan surat iringan yang mengandungi maklumat berkenaan nombor saman, lokasi Mahkamah, masa dan tarikh yang mana anda diwajibkan untuk hadir berserta Notis Pengurusan Kes.
8. Sekiranya anda perlu hadir ke Kompleks Mahkamah seperti Mahkamah Shah Alam ataupun Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, terdapat berpuluh dewan Mahkamah yang berbeza, jadi nombor saman adalah penting untuk digunakan sebagai rujukan di kaunter pertanyaan Mahkamah. Kakitangan Mahkamah akan membantu anda mendapatkan lokasi dewan Mahkamah yang tepat.
d. PASTIKAN KANDUNGAN PERNYATAAN TUNTUTAN.
9. Sesuatu Saman akan diserahkan bersama dengan Pernyataan Tuntutan. Pernyataan Tuntutan mengandungi sebab dan alasan kenapa anda disaman secara terperinci.
10. Baca dan pastikan kandungan Pernyataan Tuntutan tersebut. Anda boleh menghubungi peguamcara Plaintif untuk sebarang pertanyaan berkenaan dengan kandungan Pernyataan Tuntutan atau merujuk kepada peguam yang anda lantik.
e. FAILKAN MEMORANDUM KEHADIRAN.
11. Sekiranya Saman yang anda terima adalah Saman daripada Bank ataupun sebarang saman yang melibatkan hutang, anda mempunyai masa selama 14 hari untuk memfailkan kehadiran. Anda tidak harus berlengah untuk memfailkan Memorandum Kehadiran yang selalunya akan dikepilkan bersama dengan Saman.
12. Anda perlu mengisi Memorandum Kehadiran, hadirkan diri ke Mahkamah didalam masa 14 hari dari tarikh menerima Saman, pergi ke kaunter pemfailan dan membuat bayaran bagi pemfailan Memorandum Kehadiran tersebut.
13. Atau cara yang lebih mudah, dalam masa 14 hari dari tarikh anda menerima Saman tersebut, anda boleh melantik peguam dan peguam seterusnya akan memfailkan Memorandum Kehadiran tersebut bagi pihak anda.
f. HADIR KE MAHKAMAH.
14. Tarikh pertama untuk anda hadir ke Mahkamah selalunya disebut sebagai tarikh pengurusan kes atau tarikh sebutan. Memandangkan pada tahun 2021, pengurusan kes lazimnya dilakukan secara online melalui sistem e-review Mahkamah, sekiranya anda melantik peguam, kehadiran biasanya akan diuruskan oleh peguam yang anda lantik dan anda tidak perlu hadir ke Mahkamah.
15. Namun sekiranya anda tidak berkesempatan untuk melantik peguam, anda perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada Mahkamah berkenaan cara untuk meneruskan kes.
16. Hakim selalunya akan memberikan masa untuk anda melantik peguam. Jangan sesekali memilih untuk tidak memfailkan kehadiran ke Mahkamah.
g. LANTIK PEGUAM
17. Banyak langkah-langkah yang perlu dilakukan dan dokumen-dokumen yang perlu difailkan ke Mahkamah. Cara yang lebih mudah adalah dengan melantik seorang peguam untuk menguruskan kes anda di Mahkamah.
18. Anda mungkin perlu mengeluarkan kos bagi membayar yuran guaman peguam tetapi anda sudah tidak perlu pening kepala dengan prosedur dan proses seterusnya. Bagaimana untuk melantik peguam? Baca DI SINI dan DI SINI.
19. Apa kesannya jika anda tidak hadir ke Mahkamah? Baca DI SINI.
20. Anda juga boleh mengisi Borang Kes Defendan DI SINI.
_______________________
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
1 Pertanyaan & Jawapan
ok
BalasPadamAnda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.