CERAI BUKAN ISLAM (NON MUSLIM) DAN PERSEDIAAN AWAL
Anda dan pasangan telah membuat keputusan untuk memfailkan permohonan perceraian (untuk bukan islam) secara bersama. Apakah persediaan awal yang anda dan pasangan perlu lakukan sebelum meneruskan dengan permohonan perceraian tersebut? Di dalam rencana ini kami telah senaraikan kepada anda beberapa perkara yang perlu anda dan pasangan anda putuskan sebelum bercerai.
1. Sebagaimana yang kita tahu, perceraian bukanlah sesuatu yang diingini oleh mana-mana pasangan. Namun sekiranya perkahwinan anda sudah tidak dapat diselamatkan, maka perceraian mungkin adalah langkah yang paling munasabah (dan pilihan akhir) untuk anda dan pasangan.
2. Berdasarkan kes-kes cerai yang kami uruskan, disini kami senaraikan tujuh (7) perkara-perkara asas yang perlu diputuskan terlebih dahulu oleh anda dan pasangan anda secara bersama sebelum perceraian. Keputusan awal terhadap perkara-perkara ini akan memudahkan dan melancarkan proses perceraian anda dan pasangan.
KEPUTUSAN MUKTAMAD
3. Tidak dapat dinafikan bahawa keputusan untuk bercerai itu sendiri hendaklah diputuskan secara muktamad. Undang-undang amat menjaga kesucian institusi perkahwinan dan sebolehnya mahu sesebuah perkahwinan itu kekal. Malah Tribunal Perkahwinan diwujudkan untuk membolehkan pasangan cuba untuk mencari jalan damai agar sesuatu perkahwinan itu dapat diteruskan dengan baik.
4. Oleh yang demikian, anda dan pasangan tidak seharusnya menjadikan perceraian sebagai jalan mudah untuk lari dari masalah. Anda dan pasangan perlu memastikan bahawa keputusan untuk bercerai itu adalah jalan yang paling akhir yang terpaksa ditempuh.
NAFKAH ATAU ALIMONI
5. Anda dan pasangan sebolehnya dinasihatkan agar berbincang tentang jumlah bayaran nafkah yang akan dibayar kepada pasangan. Bayaran nafkah atau alimoni adalah bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh suami (lazimnya) atau isteri kepada pasangan.
6. Ianya boleh dibayar dalam bentuk bayaran bulanan ataupun satu amaun sekaligus sebagai bayaran nafkah. Pihak-pihak juga boleh bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan nafkah.
HAK PENJAGAAN ANAK-ANAK
7. Sekiranya anda dan pasangan mempunyai anak (atau anak-anak) yang berumur bawah 18 tahun, adalah disarankan agar anda dan pasangan berbincang tentang hak penjagaan anak-anak tersebut. Hak penjagaan anak-anak bermaksud siapakah di antara anda dan pasangan berhak untuk menjaga anak-anak tersebut.
8. Di dalam membuat keputusan ini, anda dan pasangan hendaklah mengenepikan emosi dan ego dan seterusnya adalah dinasihati agar kepentingan dan kebajikan anak-anak anda didahulukan.
HAK LAWATAN ANAK-ANAK
9. Anda dan pasangan juga perlu membuat keputusan tentang hak lawatan bagi pihak yang tidak mendapat hak penjagaan. Hak dan tempoh untuk melawat anak-anak adlah terpulang kepada persetujuan anda dan pasangan samada seminggu sehari atau lebih, sebulan sehari atau lebih atau setiap kali cuti persekolahan dan hari perayaan.
10. Sekali lagi kami nasihatkan di dalam membuat keputusan ini, anda dan pasangan hendaklah mengenepikan emosi dan ego dan seterusnya adalah dinasihati agar kepentingan dan kebajikan anak-anak anda didahulukan.
KEPERLUAN KEWANGAN DAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK
11. Anda dan pasangan seterusnya perlu membuat keputusan tentang keperluan kewangan anak-anak dimana anda dan pasangan boleh membuat keputusan siapa yang perlu menanggung perbelanjaan bulanan anak-anak. Begitu juga pendidikan anak-anak terutamanya keperluan persekolahan dan di mana anak-anak anda akan bersekolah.
12. Buatlah pilihan terbaik demi anak-anak memandangan pendidikan adalah tunjang di dalam memastikan anak-anak anda mempunyai masa depan yang cerah.
PEMBAHAGIAN ASET ATAU HARTA PERKAHWINAN
13. Sekiranya anda dan pasangan mempunyai aset-aset yang dibeli sewaktu perkahwinan, maka perbincangan yang baik wajar diadakan dari segi bagaimana untuk membahagikan aset-aset atau harta-harta tersebut.
14. Aset-aset atau harta-harta perkahwinan ini termasuklah rumah, kenderaan, barang kemas, simpanan wang dan sebagainya. Harta adalah di antara punca utama kenapa proses perceraian kadang-kadang memakan masa yang lama dan menyebabkan pasangan saling bercakaran di Mahkamah.
PERLANTIKAN PEGUAM DAN KOS PERMOHONAN
15. Keputusan yang terakhir yang anda dan pasangan perlu putuskan adalah perlantikan peguam dan bagaimana untuk menanggung kos bayaran peguam. Anda perlu memastikan anda melantik peguam yang mempunyai pengalaman bukan sahaja untuk mengendalikan permohona anda, malah sebagai pemudah cara bagi anda dan pasangan.
16. Dari segi kos pula, anda dan pasangan boleh memilih untuk menanggung kos peguam secara bersama mengikut ketetapan bahagian yang dipersetujui. Ianya boleh dibahagikan sama rata atau mana-mana kadar yang anda dan pasangan persetujui. Kos peguam boleh juga ditanggung oleh salah satu pihak sekiranya pasangan itu mahu.
17. Itulah tujuh persoalan asas yang perlu anda dan pasangan putuskan sekiranya anda dan pasangan bersetuju untuk memfailkan perceraian di Mahkamah.
18. Dengan keputusan-keputusan ini, anda dan pasangan akan lebih bersedia apabila bertemu dengan peguam pilihan. Ianya akan memudahkan urusan permohonan perceraian, menjimatkan masa dan kos dan yang lebih penting, ianya tidak akan merumitkan keadaan yang sudah tersedia rumit.
Untuk maklumat lanjut, rujuk pautan berikut:
👉 Proses cerai Non Muslim (Bukan Islam)
👉 Isu yang perlu diputuskan sebelum cerai
👉 Bolehkah bercerai dalam tempoh 2 tahun
👉 Hak penjagaan anak selepas cerai
👉 Pembahagian aset perkahwinan
👉 Soal Jawab ringkas tentang perceraian Non Muslim (BM/BI)
Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.