>

TUNTUT HUTANG MELALUI SAMAN

tuntutan hutang melalui saman Mahkamah


TUNTUT HUTANG MELALUI SAMAN?

Tuntut hutang melalui saman. Apakah proses yang perlu dilalui sekiranya anda ingin menuntut pembayaran hutang melalui saman di Mahkamah? Saman hutang bukanlah sesuatu yang asing bagi pengamal undang-undang namun apakah proses yang anda perlu tahu untuk menyaman orang yang berhutang dengan anda?

1. Sejujurnya, untuk menuntut hutang melalui proses tindakan undang-undang di Mahkamah boleh menelan belanja yang mungkin tinggi dan masa yang sedikit panjang. Pastikan anda terlebih dahulu memahami risiko dan bersedia untuk mengeluarkan belanja dan masa bagi memulakan tindakan saman di Mahkamah.

BERJUMPA & MELANTIK PEGUAM

2. Perkara pertama yang kami sarankan adalah untuk berjumpa dan melantik peguam pilihan anda (ataupun kami) untuk mewakili anda di dalam proses membuat tuntutan tersebut.

DOKUMEN YANG PERLU DIBAWA

3. Sebelum berjumpa dan melantik peguam pilihan anda, pastikan anda mempunyai salinan dokumen-dokumen yang berkenaan dengan hutang tersebut. Sekiranya anda mempunyai Perjanjian Pemberian Hutang, maka ini adalah dokumen yang terbaik untuk anda bawa.

4. Anda juga boleh membawa sebarang bukti yang menunjukkan bahawa anda telah memberikan wang untuk tujuan hutang kepada si penghutang. 

5. Ini termasuklah resit pindahan wang atau apa-apa penyata akaun yang menunjukkan perpindahan wang dari akaun anda ke akaun penghutang.

6. Sekiranya, terdapat bayaran sebahagian daripada hutang tersebut kepada anda dan ianya dilakukan melalui pindahan wang ke akaun anda, dapatkan salinan resit atau penyata akaun tersebut.

7. Dokumen-dokumen ini (jika ada) akan digunakan untuk menyokong dan menguatkan tuntutan anda sekiranya kes anda perlu dibawa ke Mahkamah melalui tindakan saman.

8. Sekiranya hutang diberikan secara tunai dan anda tidak mempunyai sebarang dokumen sokongan, anda tidak perlu khuatir kerana anda masih boleh membuat tuntutan melalui Mahkamah, 

9. Namun ianya mungkin sedikit rumit berbanding sesuatu hutang yang boleh dibuktikan dengan dokumen sokongan yang lengkap.

HAD MASA

10.  Peguam lazimnya akan memastikan sebelum apa-apa tindakan dilakukan, tempoh masa untuk mengambil tindakan masih lagi belum luput. 

11. Undang-undang telah menetapkan bahawa apa-apa tindakan tuntutan hutang hendaklah dibuat di dalam tempoh 6 tahun dari tarikh si Penghutang gagal membuat bayaran.

NOTIS TUNTUTAN

12. Peguam anda akan mengeluarkan Notis Tuntutan terhadap si Penghutang. Oleh yang demikian, adalah penting untuk anda mendapatkan maklumat lengkap berkenaan dengan nama penuh, nombor kad pengenalan serta alamat si Penghutang, bagi memudahkan kerja dan menjimatkan masa.

13. Apakah itu Notis Tuntutan? Notis Tuntutan adalah surat daripada peguam yang mewakili anda dimana surat tersebut pada lazimnya akan mengandungi fakta ringkas berkenaan dengan hutang dan tuntutan agar si penghutang membuat bayaran hutang di dalam tempoh yang ditetapkan, kebiasaannya 7 atau 14 hari.

14. Pengeluaran Notis Tuntutan ini tidak wajib (melainkan tuntutan diwajibkan melalui perjanjian) namun kami menyarankan agar dokumen ini dikeluarkan. Kenapa? Kerana ada si Penghutang yang akan terus membuat bayaran balik hutang sejurus menerima Notis Tuntutan daripada peguam. Walaupun begitu, ada juga yang tetap culas untuk membuat bayaran.

15. Sekiranya si Penghutang gagal untuk membuat sebarang pembayaran, maka anda berhak untuk memfailkan saman terhadap si Penghutang.

saman tuntut hutang

SAMAN

16. Peguam anda, seterusnya akan menyediakan Saman dan Pernyataan Tuntutan bagi pihak anda. Saman dan Pernyataan Tuntutan ini akan difailkan di Mahkamah dan sesalinannya akan diserahkan kepada Penghutang.

17. Apabila Saman dan Pernyataan Tuntutan ini dapat diserahkan kepada Penghutang, beliau mempunyai pilihan samada untuk 

  • tidak mengendahkan Saman dan Pernyataan Tuntutan anda; 

  • mencabar tuntutan anda dengan memfailkan Memorandum Kehadiran dan melantik peguam di dalam masa 14 hari daripada tarikh Saman dan Pernyataan Tuntutan diserahkan;

  • dan/atau bersetuju untuk memasuki Penghakiman Persetujuan 

PENGHAKIMAN

18. Sekiranya si Penghutang gagal memfailkan Memorandum Kehadiran di dalam tempoh 14 hari dari tarikh Saman dan Pernyataan Tuntutan diserahkan kepada beliau, peguam anda akan memfailkan Perakuan Ketidakhadiran dan satu Penghakiman Ingkar akan direkodkan ke atas Penghutang.

19. Namun Penghakiman Ingkar ini boleh diketepikan sekiranya si Penghutang selepas itu melantik peguam, membuat permohonan untuk mengetepikan Penghakiman Ingkar tersebut dan Mahkamah mendapati beliau mempunyai Pembelaan yang wajar didengarkan.

20. Sekiranya si Penghutang memilih untuk mencabar tuntutan anda, maka keputusan samada tuntutan anda tersebut patut dibenarkan ataupun ditolak akan ditentukan melalui proses Bicara Penuh yang merupakan proses di mana setiap dokumen sokongan dan keterangan saksi-saksi akan dinilai.

21. Satu Penghakiman akan diberikan selaras dengan keputusan Hakim di Mahkamah.

22. Sekiranya anda ingin menjimatkan masa, peguam anda lazimnya akan mengesyorkan satu permohonan yang dinamakan Permohonan untuk Penghakiman Terus (turut dikenali sebagai permohonan Order 14). 

23. Permohonan ini melibatkan penilaian dokumen dan keterangan afidavit semata-mata dan tidak melibatkan saksi-saksi. Lazimnya untuk berjaya di dalam permohonan ini, dokumen-dokumen yang ada untuk menyokong hutang anda perlulah lengkap dan terperinci. Perintah Penghakiman Terus akan direkodkan sekiranya anda permohonan anda dibenarkan.

24. Si penghutang boleh juga bersetuju untuk merekodkan Penghakiman Persetujuan sekiranya beliau tidak berhasrat untuk mencabar tuntutan anda.

25. Katakanlah anda telah berjaya mendapat suatu Penghakiman, tidak kiralah ianya Penghakiman Ingkar, Penghakiman Persetujuan, Penghakiman Terus atau Penghakiman Selepas Bicara, adakah proses tersebut tamat disitu? Jawapannya tidak.

PERLAKSANAAN PENGHAKIMAN

26. Penghakiman yang anda ada adalah penghakiman kertas (paper judgment) semata-mata. Anda perlu meneruskan dengan tindakan untuk melaksanakan penghakiman yang anda ada.

27. Sekiranya si Penghutang tidak mahu Penghakiman tersebut dilaksanakan keatas beliau, lazimnya, si Penghutang akan membuat bayaran sebagaimana terma yang dinyatakan di dalam Penghakiman tersebut.

Untuk maklumat lanjut, rujuk pautan berikut:

👉 Kepentingan Perjanjian Hutang

👉 Proses Saman Sivil


ANDA JUGA BOLEH MENGISI BORANG KES HUTANG DIBAWAH UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT RINGKAS BERKENAAN DENGAN TUNTUTAN ANDA.

peguam hutang, tuntutan hutang, saman hutang

Sekiranya ada pihak telah memfailkan saman menuntut hutang terhadap anda, anda juga boleh mendapatkan penilaian ringkas kes anda dengan mengisi Borang Kes Defendan DI SINI.

_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

11 Pertanyaan & Jawapan

  1. salam puan, sekiranya si penghutang membayar balik hutang dalam jumlah yang sedikit untuk mengelakkan beliau untuk di kenakan saman padahal hutang yang ditanggung adalah dalam amaun yang banyak iaitu melebihi rm100,000, apakah yang harus saya lakukan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Masih boleh diambil tindakan. Hubungi saya untuk mendapat maklumat lanjut di 0129797494.

      Padam
  2. Slm,sekiranya penghutang itu sykttidak mempunyai aset ,bagaimana kita nak menuntut ,boleh kah kita tuntut dari aset peribadinya.tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Boleh gulungkan syarikat. Boleh tuntut sekiranya ada dokumen directors guarantee dan indemnity.

      Padam
  3. Assalamualaikum puan , bagaimana jika si pemberi hutang mengaibkan penghutang menggunakan Facebook dan menyalah guna gambar peribadi tujuan jahat,adakah saman tersebut akan diteruskan jika si penghutang saman malu

    BalasPadam
  4. Bolehkah kos guaman di masukkan pada tuntutan kepada penghutang?

    BalasPadam
  5. Hi, saya ingin bertanya, jika penghutang adalah customer yang menyewa sesuatu barang dari syarikat kami, bagaimanakah cara untuk kami menuntut semula duit kami..kes sudah berlarutan hampir setahun..tiada langsung khabar dari pihak mereka untuk membayar semula kepada kami, walhal operasi mereka,masih berjalan seperti biasa. Apa yang perlu kami lakukan?

    BalasPadam
  6. Maaf saya ingin bertanya sekiranya hanya ada maklumat nama penuh dan bukti transaksi beserta perbualan whatapp adakah masih boleh dituntut hutang tersebut?

    BalasPadam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.