MEMAHAMI MAKSUD HIBAH HARTA BERCAGAR DAN PENGAPLIKASIANNYA
1. Di dalam rencana sebelum ini, kita telah memahami apa itu hibah (baca DI SINI), rukun dan syarat-syarat hibah serta sedikit sebanyak tentang hukum hibah secara umum. Apa pula yang dimaksudkan dengan hibah harta bercagar dan mengapa ianya menjadi polemik di kalangan sarjana?
APA ITU CAGARAN?
2. Sebelum itu, kita perlu fahami apa itu cagaran. Cagaran adalah satu instrumen sekuriti atau jaminan berdaftar di mana sesuatu harta itu di jadikan jaminan kepada bank pembiaya sebagai pertukaran kepada sesuatu kemudahan pembiayaan atau pinjaman yang diberikan.
3. Sebagai pertukaran kepada pemberian sesuatu kemudahan pembiayaan atau pinjaman, bank pembiaya diberikan hak-hak tertentu terhadap harta yang dicagarkan itu sekiranya peminjam gagal membuat bayaran balik pembiayaan atau pinjaman yang diberikan.
APA ITU HARTA BERCAGAR?
4. Apakah yang dimaksudkan dengan harta bercagar? Harta bercagar bermaksud harta-harta, kebiasaannya hartanah berbentuk rumah atau lot tanah, yang dicagarkan kepada bank pembiaya.
5. Secara lazimnya, apabila seseorang itu ingin membeli sebuah rumah atau hartanah, beliau akan mendapatkan kemudahan pinjaman atau pembiayaan daripada mana-mana bank yang akan bertindak sebagai pembiaya.
6. Telah menjadi kelaziman, bagi mendapatkan kemudahan pinjaman tersebut, rumah atau hartanah tersebut akan dicagarkan kepada bank untuk memastikan pembayaran bulanan dibuat dengan sempurna. Di sini bank pembiaya akan bertindak sebagai pemegang cagaran.
7. Apabila keseluruhan pinjaman telah dibayar secara penuh kepada bank pembiaya barulah hakmilik rumah atau hartanah tersebut akan diserahkan semula kepada peminjam. Sekiranya peminjam gagal membuat bayaran, maka bank pembiaya berhak untuk menjual rumah atau hartanah tersebut melalui proses lelongan.
ADAKAH HARTA BERCAGAR BOLEH DIHIBAH?
8. Ini adalah polemik yang sering menjadi isu di Malaysia sejak bertahun lamanya. Pendapat sarjana berbza-beza dan Mahkamah kadangkala mengambil pendekatan yang berbeza.
9. Kenapa hibah harta bercagar ini menjadi isu? Ini kerana ianya bersangkutan dengan rukun hibah itu sendiri. Rukun hibah, sepertimana yang kita bincangkan sebelum ini ada 4 kesemuanya iaitu, pemberi hibah, penerima hibah, harta yang dihibahkan serta sighah ijab dan qabul.
10. kriteria utama yang perlu dipenuhi bagi sesuatu pemberi hibah dan juga harta yang dihibahkan adalah harta tersebut hendaklah dimiliki sepenuhnya oleh pemberi hibah dimana pemberi hibah mempunyai kuasa mutlak untuk menghibahkan harta tersebut sekiranya dia mahu.
11. Jadi apabila harta tersebut dicagarkan kepada bank pembiaya dan bank pembiaya adalah pemegang gadaian keatas harta tersebut, maka secara amnya, pemberi hibah tidak mempunyai kuasa mutlak keatas harta tersebut. Ini akan menyebabkan rukun hibah itu sendiri tidak dapat dipenuhi.
12. Pandangan ulama dari keempat-empat mazhab itu sendiri berbeza, dimana pandangan dari mazhab Syafi'e dan Hanbali berpendapat hibah harta bercagar adalah tidak sah kerana pemilikan harta tidak sempurna. Walaubagaimana pun pandangan dari mazhab Hanafi dan Maliki menyatakan hibah tersebut dibolehkan tetapi dengan syarat ia mendapat kebenaran dari pemilik harta tersebut. Pemilik disini merujuk kepada pemegang gadaian.
STATUS HIBAH HARTA BERCAGAR DI MALAYSIA
13. Bagaimana pengaplikasian hibah harta bercagar di Malaysia? Terdapat dua kes utama yang menjadi rujukan di dalam membincangkan isu ini.
14. Kes pertama adalah sebuah kes yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu iaitu kes Raihanah Mohd Ali v Kamaruddin Mohd Nor, Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan bahawa pemberi hibah semasa hayatnya hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada pembiaya hartanah tersebut sebelum hibah tersebut diiktiraf.
15. Di dalam kes tersebut, Mahkamah telah mendapati Plaintif gagal untuk membuktikan bahawa semasa hayatnya, pemberi hibah telah mendapatkan kebenaran pembiaya sebelum menghibahkan hartanahnya. Selaras dengan itu, Mahkamah telah menolak permohonan Plaintif untuk pengesahan hibah di Mahkamah.
16. Kes yang kedua pula adalah kes Yati Suraya v Supiah Binti Abu. Kes yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah di Negeri Sembilan ini pula menyatakan bahawa harta bercagar boleh dihibahkan, walaupun tanpa kebenaran daripada pemegang gadaian dengan syarat harta yang dihibahkan dilindungi sepenuhnya oleh insuran.
17. Jadi bagaimana hibah harta bercagar sekarang? Jawapannya, hibah harta bercagar adalah dibolehkan selama mana ianya memenuhi salah satu dari syarat-syarat yang dinyatakan melalui kes-kes di atas iaitu:
(a) Pemberi hibah telah mendapat kebenaran daripada pemegang gadaian atau pembiaya hartanah tersebut untuk menghibahkan harta tersebut; atau
(b) Harta yang dihibahkan itu telah dilindungi sepenuhnya oleh insuran.
Sekiranya
anda berminat untuk menjadi rakan perniagaan kami di dalam
mempromosikan perkhidmatan penyediaan hibah kepada awam, sila email kami
bagi mendapatkan makluman lanjut dan bagi mendapatkan toolkit istimewa
untuk membantu anda.
Perlukan bantuan dalam menyediakan dokumen hibah? Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.