APA ITU HIBAH? MEMAHAMI KONSEP HIBAH DAN PENGAPLIKASIANNYA DI MALAYSIA.
Apakah itu hibah dan apakah hukumnya memberi hibah? Bagaimanakah cara membuat atau menyediakan hibah? Apakah dokumen-dokumen yang diperlukan di dalam menyediakan hibah? Bagaimana sample-sample hibah yang sering digunakan?
2. Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut berkenaan hibah, kita perlu tahu bahawa secara lazimnya, instrumen pengurusan harta di dalam islam ada 5 iaitu Faraid (baca DI SINI), Wasiat, Wakaf, Sedekah dan termasuk juga Hibah.
3. Kelima-lima instrumen ini bermaksud cara-cara berbeza bagaimana seseorang muslim boleh menguruskan harta yang dimiliki olehnya terutamanya apabila melibatkan harta-harta seorang muslim yang telah meninggal dunia.
APA ITU HIBAH?
4. Hibah, secara mudahnya bermaksud pemberian. Pemberian ini melibatkan pemberian hakmilik sesuatu harta kepada orang lain secara sukarela tanpa meminta sebarang balasan. Pemberian ini juga hendaklah dilakukan semasa pemilik harta/pemberi hibah tersebut masih hidup.
5. Selain hibah, terma kebiasaan yang turut digunakan adalah "alang semasa hidup". Alang semasa hidup ini membawa maksud yang sama dengan Hibah iaitu pemberian sesuatu harta secara sukarela tanpa balasan.
APAKAH HUKUM MEMBERI HIBAH?
6. Hukum memberi dan melaksanakan hibah adalah sunat dan dibenarkan malah digalakkan di dalam islam, terutamanya kepada ahli keluarga yang terdekat.
APAKAH RUKUN HIBAH DAN KEPENTINGANNYA?
7. Hibah hanya boleh dilaksanakan dan diiktiraf di Mahkamah sekiranya ia memenuhi rukun-rukun hibah. Kegagalan untuk memenuhi rukun-rukun ini boleh menyebabkan hibah tersebut batal dan tidak boleh dilaksanakan.
8. Apakah rukun-rukun hibah? Secara umumnya, terdapat empat rukun hibah yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu hibah boleh dilaksanakan. Rukun-rukun tersebut adalah:
(i) Pemberi hibah (wahib) - seorang yang mempunyai hakmilik mutlak terhadap harta yang ingin dihibah, waras dan baligh.
(ii) Penerima hibah (mawhub lahu) - sekiranya penerima hibah tersebut adalah kanak-kanak atau tidak siuman, wali atau pemegang amanah boleh dilantik untuk menguruskan harta pemberian tersebut.
(iii) Lafaz ijab dan qabul (sighah ijab wal qabul) - ungkapan jelas bahawa harta pemberian diberikan oleh pemberi hibah dan diterima oleh penerima hibah.
(iv) Harta pemberian (Mawhub) - harta tersebut mestilah wujud, halal, bernilai, dimiliki secara mutlak oleh pemberi hibah dan boleh dipindahmilik.
9. Keempat-empat elemen ini perlu ada di dalam sesuatu transaksi hibah. Sekiranya salah satu daripada syarat-syarat ini tiada atau cacat maka hibah tersebut tidak boleh dilaksanakan.
PENGESAHAN HIBAH
10. Pengesahan hibah secara umumnya akan dilakukan di Mahkamah Syariah. Enakmen Mahkamah Syariah atau Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam negeri-negeri lazimnya mempunyai peruntukan khusus yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan kes-kes yang berkaitan dengan hibah.
TARIK BALIK HIBAH
11. Hibah yang telah memenuhi syarat dan rukun-rukun hibah dengan sempurna secara umumnya tidak boleh ditarik balik. Namun sekiranya penyerahan (qabd) harta pemberian belum berlaku, ada pendapat yang menyatakan penarikan balik hibah boleh dilakukan.
12. Begitu juga hibah yang dilakukan oleh seorang bapa kepada anaknya. Ianya boleh ditarik balik dengan syarat harta pemberian tersebut masih dimiliki oleh anaknya, tidak dijual atau berlaku apa-apa pertambahan keatas harta pemberian tersebut.
13. Apa yang dimaksudkan dengan penyerahan (qabd)? Ianya bermaksud tindakan yang dilakukan keatas harta pemberian yang menunjukkan ianya diserahkan sebagai contoh; penyerahan, pemindahan, pengasingan harta atau mengosongkan harta seperti rumah.
HIBAH KEPADA KANAK-KANAK (HIBAH AMANAH)
14. Seperti yang kita sedia maklum, hibah kepada individu yang kurang siuman atau kanak-kanak boleh dilakukan dengan syarat terdapat perlantikan pemegang amanah atau wali.
15. Tiada kadar khusus namun di pemberi hibah digalak dan disaran untuk berlaku adil. Ulama-ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat bahawa bahagian hibah itu harus di sama ratakan dan melebihkan bahagian seorang anak daripada yang lain adalah makruh.
CONTOH DOKUMEN HIBAH
16. Sesuatu dokumen hibah tidak mempunyai format yang khusus namun lazimnya, sebagai contoh, pemberi hibah dan penerima hibah akan menandatangani suatu dokumen yang dipanggil Deklarasi Hibah. Selain Deklarasi Hibah, pihak-pihak juga akan menandatangani Surat Kuasa Wakil (power of attorney) yang akan digunakan dalam menyempurnakan hibah tersebut.
17. Sekiranya anda mempunyai sebuah hartanah di mana hartanah tersebut masih dicagarkan kepada bank pembiaya, adakah hartanah tersebut boleh dihibahkan? Ikuti kupasan kami DISINI.
Sekiranya anda berminat untuk menjadi rakan perniagaan kami di dalam mempromosikan perkhidmatan penyediaan hibah kepada awam, sila email kami bagi mendapatkan makluman lanjut dan bagi mendapatkan toolkit istimewa untuk membantu anda.
Perlukan bantuan dalam menyediakan dokumen hibah? Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.