>

SAMAN MALU / FITNAH. BERBALOIKAH?

 

kos peguam saman fitnah


APAKAH PERKARA YANG PERLU DIPERTIMBANGKAN SEBELUM MENERUSKAN SAMAN MALU / FITNAH?

1. Saya menerima pertanyaan berkenaan dengan saman malu / fitnah hampir saban hari, samada melalui panggilan telefon, mesej melalui Whatsapp ataupun melalui email. Ada kes yang saya ambil selepas saya nilai potensi, fakta dan dokumen sesuatu kes tersebut. 

2. Namun sebahagian besar daripadanya saya tolak dan bergantung kepada masa yang saya ada, saya berikan penerangan secara ringkas tentang apa itu Fitnah.  

3. Bagi saya, ini adalah satu perkembangan yang sihat di kalangan masyarakat. Kita digalakkan untuk bertanya sebelum memulakan apa-apa tindakan, terutamanya apabila ia melibatkan pelaburan dari segi mental, fizikal, masa dan wang ringgit. Bak kata pepatah, malu bertanya sesatlah jalannya, malu mengayuh hanyutlah perahunya.

4. Daripada pengalaman saya hampir 15 tahun beramal sebagai peguam sivil, saya boleh simpulkan bahawa ramai yang masih belum faham tentang konsep saman malu / fitnah. 

5. Ini tidak mengapa. Orang awam memang tidak dijangka untuk tahu selok-belok dan terma-terma undang-undang. Jadi, suka saya tekankan disini bahawa terma saman malu di sisi undang-undang sebenarnya tidak wujud. Yang ada hanyalah saman tort fitnah (Tort of Defamation).

6. Apabila sesuatu fitnah/tuduhan palsu terhadap seseorang itu disebarkan kepada umum, ianya secara tidak lansung akan memalukan dan mengaibkan seseorang. Saya kira, mungkin daripada implikasi fitnah ini lah kenapa saman fitnah mula dirujuk sebagai saman malu. Tidak mengapalah. Bukan itu perkara yang ingin saya kongsikan di sini.

7. Saya, sebagaimana rakan-rakan peguam bijaksana yang lain, akan sentiasa menyarankan anak-anak guam kami, sekiranya sesuatu pertikaian tersebut ada potensi untuk diselesaikan tanpa melibatkan tindakan Mahkamah, maka ianya disyorkan untuk diselesaikan tanpa melibatkan tindakan Mahkamah. Saman menyaman ini seharusnya dijadikan pilihan terakhir (last resort). 

8. Sebelum melantik peguam dan memulakan sesuatu tindakan saman di Mahkamah, banyak faktor yang, saya kira perlu dipertimbangkan oleh seseorang yang ingin menyaman. Apakah pertimbangan tersebut? Di antara lainnya, adalah seperti yang berikut:

a) Apa yang anda mahukan melalui tindakan saman? Lain padang lain belalangnya. Lain orang lain keinginannya. Jadi anda perlu tahu apa yang anda mahukan daripada tindakan saman anda. Ada orang mengambil tindakan saman hanya untuk memuaskan hati. Ada pula yang berharap mendapat pampasan berjutaan ringgit. Ada yang hanya sekadar ingin menunjukkan kekuatan (show of strength). Tetapkan apa yang anda mahukan. 

b) Adakah anda bersedia sekiranya apa yang anda mahukan itu tidak dapat dicapai melalui tindakan saman anda? Setiap kes itu berbeza. Mahkamah membuat keputusan mengikut apa yang disajikan dan dihujahkan di hadapannya. Mungkin pihak lawan mempunyai bukti yang lebih kukuh daripada anda. Mungkin kes anda lemah. Keputusan mungkin berpihak kepada anda dan mungkin juga tidak berpihak kepada anda. Ini adalah risiko yang adan perlu ambil?

c) Adakah anda bersedia untuk menanggung kos? Sepertimana yang saya seringkali pesan dan nyatakan, kos guaman untuk apa-apa tindakan saman lazimnya bukanlah murah, lebih-lebih lagi tindakan saman fitnah. Ianya boleh mencecah puluhan ribu atau ratusan ribu. Kenapa ianya mahal? Boleh baca DI SINI. Anda juga perlu pertimbangkan jika keputusan tidak berpihak kepada anda, anda mungkin diarahkan untuk membayar kos pihak lawan yang anda heret ke Mahkamah itu. 

d) Masa. Adakah anda mempunyai kesabaran untuk turun naik Mahkamah. Umum mengetahui bahawa tindakan Mahkamah mungkin tidak sepantas yang anda inginkan. Kadangkala keadaan ini tidak dapat dielakkan. Selain daripada anda, ratusan malah ribuan lagi individu seperti anda yang turut sama ingin menyelesaikan pertikaian mereka melalui Mahkamah. Walaupun kini Mahkamah telah dilengkapi dengan sistem yang sedikit sebanyak membantu mempercepatkan perjalanan sesuatu kes, namun jika anda harapkan untuk kes anda didengarkan dalam jangka masa beberapa minggu itu, ianya adalah hampir mustahil.  

e) Pertimbangan yang terakhir dan yang paling penting; berbaloikah? Seperti yang saya nyatakan pada awal-awal rencana tadi, tindakan Mahkamah melibatkan pelaburan. Ianya adalah pelaburan dari segi mental, fizikal, masa dan kewangan. Maka persoalan yang perlu anda jawab adalah adakah ianya berbaloi?

9. Jangan salah faham. Ini bukanlah rencana untuk mematahkan semangat anda yang berkobar-kobar mahu menyaman jiran sebelah, mak mertua atau bekas suami/isteri anda, tetapi anggaplah rencana ini sebagai panduan dan peringatan tentang apa yang perlu anda hadapi sekiranya anda memilih untuk memulakan tindakan di Mahkamah. 

10. Anda perlu bersedia untuk berhadapan dengan sesuatu diluar jangkaan. Baik dari segi proses dan prosedur, masa dan kewangan malah keputusan dan pengakhiran.

11. Sekiranya perkara-perkara ini tidak diendahkan atau tidak diberi pertimbangan sewajarnya, ia mungkin akan menjerat anda sendiri dan mungkin meletakkan anda (dan peguam anda) di dalam situasi yang rumit. 

12. Bagi peguam, kami akan tetap berhujah untuk keadilan di Mahkamah tanpa rasa takut atau memihak (without fear or favour) selagi mana ianya boleh membantu Mahkamah untuk mendapatkan keputusan yang adil dan saksama. Namun begitu, perlu diingat, anda menang atau kalah, perkhidmatan kami tetap perlu dibayar.

13. Seorang peguam yang baik dan beretika akan sentiasa memberi pilihan-pilihan yang wajar kepada anak guamnya. Pilihan akan sentiasa berada ditangan anak guam (anda). Namun sebelum memilih, ketepikan dahulu ego, marah, tidak puas hati atau dendam yang tersemat. Jangan memilih dengan emosi. 

14. Namun sekiranya anda benar-benar merasakan anda mempunyai hak terhadap sesuatu dan sudah tiada jalan lain yang boleh menyelesaikan masalah anda, maka sebagai jalan akhir, anda adalah dialu-alukan untuk mendapatkan perkhidmatan kami. Kita boleh berbincang sambil menikmati secawan kopi. Jangan lupa belanja.

Kami juga menyediakan Borang Kes yang anda boleh isi untuk mengetahui secara lebih mudah dan cepat samada anda mempunyai kes fitnah atau pun tidak. Klik BORANG KES FITNAH NORHAFEEZLAW

SIRI RENCANA SAMAN MALU

i) Apa itu Saman Malu?

ii) Bagaimanakah cara untuk memfailkan Saman Malu? 

iii) Apakah cara melawan Saman Malu dan apakah pembelaan yang anda ada?

iv) Apa dokumen yang perlu ada untuk mulakan saman malu?

v) Kos peguam Saman Malu?

vi) Pampasan dan gantirugi Saman Malu / Fitnah?

vii) Fitnah media sosial (facebook, twitter, instagram) 

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.