>

PENGHAKIMAN INGKAR KEHADIRAN. APA KESANNYA?

 

penghakiman ingkar kehadiran



TIDAK HADIR KE MAHKAMAH. APAKAH KESANNYA?

1. Anda telah menerima Saman namun anda memilih untuk tidak mengendahkannya kerana menyangka ianya adalah perkara kecil dan tiada apa-apa yang boleh berlaku terhadap anda. Anda memilih untuk tidak pening kepala untuk waktu itu. Anda salah.

2. Kami sentiasa mengesyorkan dan menggalakkan kepada sesiapa sahaja yang telah menerima Saman berserta dengan surat peguam, untuk merujuk kes anda kepada seorang peguam yang berpengalaman. Jangan sekali-kali cuai di dalam tindakan yang perlu anda ambil.

3. Ini adalah kerana apabila anda gagal merekodkan kehadiran setelah anda menerima Saman, anda boleh dikenakan Penghakiman Ingkar Kehadiran. Apa itu Penghakiman Ingkar Kehadiran? Penghakiman Ingkar Kehadiran adalah satu dokumen Penghakiman yang mengesahkan tuntutan terhadap anda melalui Mahkamah. Ianya diperolehi kerana anda gagal hadir ke Mahkamah.

4. Apa kesan Penghakiman Ingkar Kehadiran terhadap anda? Ini bermakna orang yang memfailkan saman terhadap anda sudah boleh melaksanakan atau menguatkuasakan (execute) Penghakiman tersebut. Di sini lah anda akan menghadapi seribu satu masalah kerana penguatkuasaan Penghakiman boleh dijalankan melalui beberapa cara terhadap anda dan diantaranya adalah:

(a) sekiranya Penghakiman tersebut berasaskan tuntutan hutang yang melebihi RM100,000.00, maka anda boleh diisytiharkan bankrap atau muflis. Apa sahaja alasan anda di dalam prosiding kebankrapan sudah tidak boleh digunapakai. Apabila anda dibankrapkan, ianya akan menjejaskan pengurusan kewangan anda dan menyukarkan anda membuat sebarang pinjaman bank kerana nama anda telah disenaraihitam. Untuk keluar daripada kebankrapan pula memerlukan kos yang tinggi kerana anda perlu membayar hutang anda secara sekaligus. Untuk mengetahui cara keluar dari bankrap, anda boleh rujuk DI SINI

(b) harta dan aset anda boleh disita dan dijual. Orang yang memfailkan saman anda boleh mendapatkan perintah Mahkamah untuk menyita dan melelong aset anda kepada orang awam. Pegawai Mahkamah akan datang kerumah anda dan akan menyenaraikan apa sahaja barang-barang yang ada di dalam rumah anda dan seterusnya akan melelong barang-barang tersebut. Bukan sahaja barang anda dilelong bahkan ianya memalukan.

(c) anda boleh dikenakan perintah Saman Penghutang Penghakiman. Sekiranya anda menerima Saman ini, maka anda tidak boleh lagi mengelak untuk hadir ke Mahkamah. Anda akan diheret ke Mahkamah melalui waran tangkap jika enggan hadir. Anda akan disoal oleh peguam dan Mahkamah tentang perbelanjaan anda dan Mahkamah akan menetapkan suatu amaun yang sesuai yang anda wajib bayar setiap bulan. Gagal untuk membayar jumlah ini boleh menyebabkan anda diheret ke penjara.

5. Di atas hanya lah beberapa cara sesuatu Penghakiman Ingkar Kehadiran boleh dikuatkuasakan terhadap anda. Hanya kerana anda enggan atau gagal hadir Mahkamah. 

6. Anda mengelak untuk pening kepala dengan tidak hadir ke Mahkamah dan akhirnya anda mendapat pening kepala yang lebih berpanjangan. Jangan begitu. Hadir ke Mahkamah, ikuti langkah-langkah yang perlu diambil untuk merekodkan kehadiran. Hubungi peguam mengikut surat peguam yang anda terima untuk mendapat maklumat lanjut ataupun lebih baik, anda lantik peguam anda sendiri. Jangan hanya berdiam diri. 

penghakiman ingkar

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut. 



6 Pertanyaan & Jawapan

  1. Bagaimana sekiranya surat perintah untuk hadir ke mahkamah diterima lewat dan telah terlepas dari tarikh yang sepatutnya hadir ke mahkamah.Adakah perlu memaklumkan kepada pihak pendakwa / peguambela bahawa alasan untuk tidak hadir ke mahkamah disebab kan menerima surat lewat dari tarikh hadir ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bergantung kepada cara dan proses surat tuntutan dan tarikh surat dihantar. Bergantung juga kenapa surat tersebut lewat diperolehi. Perlu lihat kepada fakta.

      Padam
  2. Jika plaintif sudah mendapat perintah mahkamah untuk draf ingkar kehadiran mahkamah terhadap defendan. Adakah plaintif sudah menang kes tanpa bicara?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Secara asasnya Ya. Namun Penghakiman Ingkar tersebut masih boleh dicabar dan boleh dibatalkan sekiranya ada alasan yang munasabah dan pembelaan yang kukuh.

      Padam
  3. Jika pihak plaintif dan defendent bersetuju untuk selesai diluar mahkamah dan mejelaskan hutangnya. Perlukan defendent mengupah peguam untuk mengetepikan JID tersebut? Atau selepas bayaran di buat, pihak plaintiff akan menarik semula jid dan sebagainya?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kedua-dua tidak perlu. Permohonan untuk mengenepikan penghakiman lazimnya difailkan sekiranya cik berhasrat untuk mencabar Saman tersebut. Plaintif pula tidak boleh menarik balik Penghakiman tersebut kerana Mahkamah sudah Functus Officio. Sekiranya terkesan dengan CTOS, tulis surat kepada CTOS untuk maklumkan pembayaran penuh jumlah JID telah pun dibuat dan pohon nama dikeluarkan dari senarai CTOS.
      Kesan Penghakiman Ingkar

      Padam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.