>

APA ITU KARYA HAKCIPTA? MEMAHAMI HAKCIPTA MENERUSI PANDUAN AKTA HAKCIPTA (1987) - Bahagian 2

jenis hakcipta

MEMAHAMI JENIS KARYA-KARYA YANG DILINDUNGI DIBAWAH AKTA HAKCIPTA (1987).

1. Sebagaimana yang telah kita ketahui, jenis karya-karya yang dilindungi di bawah Akta Hakcipta 1987 adalah karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi, siaran dan karya terbitan.

2. Sebagaimana yang kita sedia maklum juga, syarat-syarat utama sesuatu karya itu boleh berhak mendapat perlindungan Hakcipta adalah ianya hendaklah dilestarikan ke dalam bentuk material dan ianya tidak boleh sekadar sesuatu idea yang hanya berlegar-legar di dalam minda penciptanya.

2. Jadi melalui bahagian 2 ini kami akan merungkai apakah jenis karya-karya ini dengan lebih dalam? Jenis karya yang bagaimana yang boleh dikatakan sebagai karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi, siaran dan karya terbitan?

KARYA SASTERA

3. Karya sastera (literary works) adalah karya berbentuk teks (textual) (dengan atau tanpa ilustrasi) tanpa dramatisasi (dramatization) ataupun persembahan. Bahasa mudahnya; apa sahaja karya berbentuk teks yang yang melibatkan:

  • kandungan novel, cerpen, cerita, buku, pamplet dan manuskrip serta karya puitis termasuklah sajak, syair, gurindam dan sebagainya;
  • skrip pementasan teater dan drama, senario filem, koreografi dan pentomim;
  • penulisan sejarah, biografi dan rencana;
  • kandungan ensiklopedia, kamus, thesaurus dan kandungan rujukan yang lain,
  • kandungan surat, laporan dan memo;
  • kandungan ucapan, ceramah, syarahan dan yang seumpamanya;
  • kandungan jadual atau kompilasi.

4. Walaubagaimana pun teks daripada kerajaan atau badan berkanun atau penghakiman Mahkamah, Tribunal dan seumpamanya, atau ceramah dan debat politik; atau hujahan di dalam satu prosiding perundangan dan terjemahannya, tidak termasuk di dalam definisi karya sastera dan tidak dilindungi oleh Hakcipta.

KARYA MUZIK

5. Karya Muzik (musical works) pula adalah setiap karya-karya yang boleh digabung untuk menjadi komponen sesuatu lagu dan muzik seperti gubahan dan susunan melodi dan lirik atau senikata serta gubahan dan susunan (composition and arrangement) muzik dan permainan instrumen.

6. Hakcipta terhadap sesuatu lagu kadang kala melibatkan beberapa pemilik. Ini kerana penggubah melodi, penggubah senikata dan penggubah muzik masing-masing mempunyai Hakcipta terhadap karya mereka secara berasingan. 

KARYA SENI

7. Karya Seni (artistic works) pula adalah karya-karya yang melibatkan unsur-unsur pembuatan kraf seperti karya-karya berikut:

  • rekaan grafik, lukisan, fotografi, ukiran dan kolaj, tanpa mengira mutu;
  • rekaan bangunan atau model bangunan;
  • rekaan seni pertukangan (craftsmanship).

KARYA FILEM

8. Karya filem pula lebih mudah untuk kita fahami sebagai bermaksud apa-apa rakaman di dalam bentuk visual bergerak atau gambar bergerak (motion picture) termasuk juga apa-apa runut bunyi (soundtrack) yang berkait dengan sesebuah filem.

9. Runut bunyi atau soundtrack di sini tidak semestinya merujuk kepada lagu-lagu yang mengiringi sesebuah filem semata-mata, ianya termasuk apa-apa bunyi yang terkandung di dalam sesebuah filem itu. Sebagai contoh; bunyian dialog, deruman enjin kereta ataupun hingar bingar sesuatu tempat yang ada di dalam filem tersebut. 

RAKAMAN BUNYI

10. Rakaman bunyi adalah apa-apa rakaman bunyi-bunyian tidak termasuk apa-apa runut bunyi sesuatu karya filem. Sebagai contoh; rakaman bunyi fauna dan alam semulajadi seperti siulan burung atau dentuman guruh. 

KARYA SIARAN

11. Karya Siaran pula boleh difahami sebagai apa-apa bentuk penyiaran seperti siaran podcast, radio atau television.

KERJA DERIVATIF

12. Apa pula yang dimaksudkan dengan kerja derivatif? Karya yang dilindungi melalui kerja-kerja derivatif secara lazimnya adalah kerja-kerja terjemahan, adaptasi atau gubahan semula sesuatu karya-karya asal. 

13. Syarat utama untuk mendapat perlindungan bagi hasil kerja-kerja terjemahan atau adaptasi adalah ianya perlu mendapat kebenaran atau lesen daripada pencipta atau pemilik hakcipta karya asal tersebut.

En. Bustamam Hakim telah menterjemah siri buku Twilight ke dalam bahasa melayu, sebagai contoh. Hasil terjemahan tersebut akan dilindungi di bawah Akta Hakcipta 1987 selama mana En. Bustamam Hakim mendapat kebenaran atau lesen daripada pemegang Hakcipta siri buku Twilight tersebut.

PERSEMBAHAN

15. Adakah sesuatu persembahan boleh dilindungi oleh Akta Hakcipta 1987? Jawapannya Ya, boleh. Suatu Persembahan adalah merujuk kepada:

  • persembahan sesuatu kerja lakonan termasukkan persembahan yang menggunakan boneka;
  • persembahan muzik;
  • pembacaan karya saster seperti deklamasi sajak, puisi atau syair;
  • persembahan tarian;
  • sarkas;
  • penceritaan serita-cerita rakyat (folklore).

12. Namun sesuatu persembahan berbentuk bacaan berita, bersukan ataupun tindakan penonton turut serta di dalam satu persembahan tidak akan dilindungi oleh Akta.  

Untuk maklumat lanjut, rujuk pautan berikut:

👉 Apa itu Hakcipta (Copyright)

👉 Jenis karya yang dilindungi Akta Hakcipta.

👉 Tempoh masa perlindungan Hakcipta

👉 Karya yang tidak dilindungi Hakcipta

👉 Tindakan apabila Hakcipta dilanggar

👉 Kesalahan Hakcipta yang boleh didakwa

hakcipta malaysia

Hubungi kami di 012 9797 494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.