APA ITU HAKCIPTA? MEMAHAMI HAKCIPTA MENERUSI PANDUAN AKTA HAKCIPTA (1987) - Bahagian 1.
APA ITU HAKCIPTA? MEMAHAMI HAKCIPTA DI DALAM BAHASA YANG MUDAH.
1. Hakcipta terpelihara? Apa itu Hakcipta (copyright)? Apakah karya atau hasil kerja yang boleh dilindungi di bawah Akta Hakcipta? Bagaimana sesuatu Hakcipta tersebut dilanggar? Apa tindakan yang boleh dilakukan sekiranya berlaku perlanggaran Hakcipta?
2. Di atas adalah sebahagian daripada persoalan-persoalan asas berkenaan dengan Hakcipta yang akan cuba kami rungkaikan secara santai di dalam siri rencana ini.
3. Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, perkara pertama yang anda perlu tahu adalah undang-undang berkenaan dengan Hakcipta di Malaysia adalah diselaraskan melalui Akta Hakcipta 1987. Akta ini akan menjadi panduan dan rujukan utama (dan kajian kes Mahkamah) untuk kita fahami isu-isu berkaitan Hakcipta.
4. Anda juga perlu tahu bahawa badan yang mengurus dan mengawalselia perkara yang berkenaan dengan Hakcipta (dan Harta Intelek secara umumnya) adalah Perbadanan Harta Intelek Malaysia atau lebih dikenali sebagai Myipo.
5. Jadi, apa itu Hakcipta? Hakcipta adalah hak di sisi undang-undang yang diberikan secara eksklusif kepada pencipta karya untuk menentukan bagaimana karya tersebut diguna. Secara mudahnya, Hakcipta adalah hak untuk mengguna atau the right to copy.
6. Hakcipta juga adalah salah satu daripada dua cabang utama Harta Intelek yang merangkumi karya-karya ciptaan yang berasaskan seni, sastera dan juga persembahan.
Sekiranya En. Bustamam Hakim telah mencipta satu karya asli berbentuk lukisan, maka Hakcipta lukisan tersebut adalah harta intelek En. Bustamam Hakim yang mendapat perlindungan di bawah Akta Hakcipta 1987.
7. Jadi, apakah pula Harta Intelek? Secara mudahnya, Harta Intelek adalah satu kategori "Aset" berasaskan ciptaan dari minda seseorang manusia (intangible creations) yang telah dilestarikan di dalam bentuk material (reduced to material form).
En. Bustamam Hakim mempunyai idea untuk mencipta sesuatu karya (ciptaan dari minda). Beliau seterusnya hendaklah merakam idea tersebut kedalam bentuk material seperti kertas tulis, lukis atau skor ataupun rakaman audio visual hatta diukir pada kayu atau batu (dilestarikan di dalam bentuk material).
8. Harta Intelek merangkumi jenis "aset" yang merangkumi Hakcipta (copyright), Cap Dagangan (trademark), Paten (patents), Rekabentuk Perindustrian (industrial design), Petunjuk Geografi (geographical indication) dan Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu (Intergrated Circuit layout design).
9. Apakah jenis karya-karya yang mendapat perlindungan di bawah Akta Hakcipta 1987? Terdapat 6 jenis karya yang dilindungi oleh Akta Hakcipta 1987. Jenis karya-karya tersebut adalah karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi, siaran dan karya terbitan.
10. Ini termasuklah karya terjemahan atau adaptasi ataupun apa jua penggubahan semula sesuatu karya asal yang lindungi oleh Hakcipta selama mana kebenaran atau lesen diperolehi daripada pemegang Hakcipta karya-karya asal tersebut. Ini secara lazimnya dikenali sebagai Kerja Derivatif (Derivative works).
11. Walaupun sesuatu karya tersebut buruk atau hodoh, ianya tetap dilindungi kerana karya-karya ini semua dilindungi tanpa mengira kualiti ataupun tujuan ianya dicipta, selama mana pencipta (author) karya tersebut adalah individu yang berkelayakan (qualified person).
12. Siapakah individu yang berkelayakan disisi Akta Hakcipta 1987? Definisi individu yang berkelayakan disisi Akta adalah individu yang merupakan warganegara ataupun pemastautin tetap (permanent resident) dan untuk badan korporat pula, badan korporat itu itu hendaklah ditubuhkan di Malaysia dan dibawah undang-undang negara.
13. Walaubagaimanapun, Akta Hakcipta 1987 tidak memberi perlindungan terhadap idea, prosedur, cara operasi, kaedah pengendalian dan juga konsep matematik. Kenapa? Kerana perlindungan Hakcipta hanya diberikan kepada sesuatu idea yang TELAH dilestarikan di dalam bentuk material sahaja.
En. Bustamam Hakim telah mencipta satu karya lukisan. Suatu lukisan adalah karya yang dilindungi oleh Akta Hakcipta 1987, namun idea sesuatu lukisan atau cara En. Bustamam Hakim melukis tidak boleh dianggap sebagai satu karya Hakcipta.
14. Sebagai tambahan, karya-karya sastera, muzik dan seni tidak akan mendapat perlindungan Hakcipta melainkan sekiranya karya-karya tersebut adalah asli dan telah ditulis, dirakam ataupun dilestarikan dalam bentuk material.
Sekiranya En. Bustamam Hakim mencipta lagu, maka lagu tersebut hendaklah dilestarikan samada di dalam bentuk tulisan skor (music/score sheet), rakaman audio ataupun di simpan di dalam bentuk material seperti kaset, cakera padat, pemacu pena dan sebagainya.
Untuk maklumat lanjut, rujuk pautan berikut:
👉 Apa itu Hakcipta (Copyright)
👉 Jenis karya yang dilindungi Akta Hakcipta.
👉 Tempoh masa perlindungan Hakcipta
👉 Karya yang tidak dilindungi Hakcipta
👉 Tindakan apabila Hakcipta dilanggar
👉 Kesalahan Hakcipta yang boleh didakwa
Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.