PELEPASAN KEBANKRAPAN KERANA STATUS OKU?
1. Ya, benar. Sekiranya anda mempunyai kenalan yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tidak bernasib baik terpaksa menjadi seorang bankrap / muflis, maka ini adalah maklumat yang mungkin menggembirakan mereka.
2. Seorang Bankrap yang berstatus OKU boleh memohon kepada Ketua Pengarah Insolvensi untuk mendapatkan pelepasan kebankrapan, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan di dalam Akta Insolvensi 1967.
3. Pelepasan yang dimaksudkan adalah pelepasan dibawah seksyen 33A Akta Insolvensi 1967. Seksyen tersebut menyatakan bahawa Ketua Pengarah Insolvensi diberikan kuasa dan budibicara untuk mengeluarkan sijil pelepasan kebankrapan (s.33A (1) Akta Insolvensi).
4. Walau bagaimana pun, terdapat syarat yang perlu dipenuhi sebelum permohonan pelepasan tersebut diluluskan. Syarat utama sebelum sijil pelepasan kebankrapan tersebut di berikan adalah tempoh permohonan untuk pelepasan tersebut hendaklah tidak kurang daripada 5 tahun (s.33A (2) Akta Insolvensi).
5. Ini bermakna, si Bankrap perlu menunggu sehingga luputnya jangka masa selama 5 tahun sebelum boleh membuat permohonan. Ketua Pengarah Insolvensi akan menolak mana-mana permohonan pelepasan sekiranya jangka masa 5 tahun tersebut masih belum tamat.
6. Selepas menerima permohonan daripada si Bankrap, Ketua Pengarah Insolvensi akan mengeluarkan satu Notis yang akan diserahkan kepada Pendaftar dan juga akan diiklankan ke suratkhabar tempatan (s.33A (3) Akta Insolvensi).
7. Sebelum mengeluarkan Sijil Pelepasan tersebut, Ketua Pengarah Insolvensi akan menghantar notis menyatakan niat untuk mengeluarkan sijil perlepasan tersebut kepada semua pemiutang (pemberi hutang) yang memfailkan Bukti Keberhutangan keatas si bankrap (s.33B (1) Akta Insolvensi).
8. Para Pemiutang berhak membantah pengeluaran Sijil Pelepasan tersebut dan akan memberikan Notis yang mengandungi alasan-alasan disebalik bantahan mereka (s.33B (2) Akta Insolvensi).
9. Walau bagaimanapun, undang-undang telah menggariskan bahawa terdapat 4 keadaan dimana para pemiutang tidak dibenarkan membantah (s.33B (2A) Akta Insolvensi). Keadaan tersebut adalah:
(a) Si Bankrap yang dibankrapkan kerana dia adalah Penjamin Sosial. Penjamin Sosial adalah mereka yang dibankrapkan di atas kapasiti mereka menjamin hutang sewa beli kenderaan (hire purchase of vehicles), rumah kediaman (housing loan) dan pembiayaan pelajaran (educational loan).
(b) Si Bankrap yang telah didaftarkan sebagai OKU. Si Bankrap hendaklah menunjukkan bukti-bukti pendaftaran sebagai OKU seperti kad OKU dan sebagainya.
(c) Si Bankrap yang telah meninggal dunia.
(d) Si Bankrap yang disahkan oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan mengidap penyakit yang kronik. Surat pengesahan daripada Hospital Kerajaan adalah salah satu dokumen yang diperlukan dibawah subseksyen ini.
10. Proses ini sebenarnya diguna pakai untuk mana-mana permohonan perlepasan selepas 5 tahun walaupun si Bankrap bukan merupakan OKU. Cuma bagi pemohon yang tidak termasuk di dalam 4 keadaan yang disebut di atas, para pemiutang boleh membantah pengeluaran sijil pelepasan tersebut sekiranya mereka mempunyai alasan-alasan yang kukuh.
11. Malah sekiranya notis bantahan mereka ditolak sekalipun, para pemiutang ini masih boleh membuat permohonan di Mahkamah bagi mendapatkan satu Perintah menghalang Ketua Pengarah Insolvensi daripada mengeluarkan Sijil tersebut (s.33B (4) Akta Insolvensi).
Lawati www.mykebankrapan.com untuk mendapatkan rencana-rencana terbaru tentang kebankrapan di Malaysia.
Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.